Asuh

10 Bahasa ‘Dosa’ Dalam Berbicara Dengan Anak Menurut Pakar Psikologi, Take Note!

174
SHARES

Gaya pertuturan dengan anak-anak khususnya yang masih kecil amat penting supaya dapat membentuk sikap mereka dewasa kelak. Kata orang, kalau kasar percakapan kita dengan mereka, kasar jugaklah pertuturan mereka dengan orang lain. Jadi, ini adalah 10 jenis bahasa atau ayat yang ‘berdosa’ untuk ibu bapa ungkapkan kepada anak-anak menurut pakar psikologi. Jangan sampai tersalah ayat ya!

10 BAHASA DOSA DALAM BERBICARA DENGAN ANAK

Bab besarkan anak, ada 10 “Bahasa Dosa Dalam Berbicara”, menurut Dr. Azlina Roszy Mohamad Ghaffar Pakar Psikologi Klinikal, Hospital Pakar An-Nur yang menjadi penyebab anak degil dan bermasalah yang perlu dielakkan ketika bercakap dengan anak.

1. Bahasa Melaknat

Contohnya, sumpah, maki hamun, menggunakan perkataan yang buruk. Anak yang ditengking dan dimaki cenderung sama ada menjadi seorang yang keras jiwanya dan rebellious ataupun seorang yang kurang keyakinan diri.

2. Bahasa Menyindir (Sarcasm)

Contoh ayat;

“Asyik-asyik mintak duit je” Kamu ingat ayah ni kerja cop duit?”

“Kan dah jatuh. Mata letak kat mana, kat lutut?”

Bahasa sebegini sangat merobek emosi. Hakikatnya, anak-anak tak faham bahasa sindiran. Lebih baik berterus-terang dan gunakan ayat yang direct namun tidak mengguris.

3. Bahasa Berdusta/Menipu

Contoh ayat;

“Jangan nangis ya, nanti ibu belikan aiskrim.” (Tapi akhirnya tak beli pun, cuma untuk memujuk supaya diam)

“Jangan nakal-nakal, nanti polis tangkap.” “Jangan main kat situ, ada hantu.”

Ayat-ayat di atas biasa diucapkan untuk diamkan anak pada masa itu. Namun kesan panjangnya masuk dalam kepala hati anak, dan boleh membentuk emosi negatif pula. Terbaiknya usahlah berbohong kepada anak. Ia akan menghilangkan kepercayaan anak pada ibu bapa dan akhirnya meniru perbuatan tersebut.

4. Bahasa Menemplak

Contohnya, “Padan muka.” “Tu lah, tak nak dengar cakap ibu. Kan dah luka. Lain kali buatlah lagi.”

Anak-anak tak dapat belajar apa-apa daripada ayat yang memancing emosi sebegini. Sepatutnya, beritahu saja apa kesilapan tersebut dan nasihatkan supaya tak mengulanginya.

5. Bahasa Membandingkan

Contoh ayatnya;

“Cuba kamu tengok abang, rajin tolong ibu di rumah. Tak macam kamu ni, asyik nak main je.”

“Kenapalah kamu ni tak pandai macam adik. Asyik dapat nombor corot je.”

Perbuatan melebihkan anak-anak tertentu (favoritism @ pilih kasih) hanya akan menjadikan anak-anak lain rasa rendah diri, tidak disayangi dan depressed. Hubungan antara anak-anak juga akan retak dan dalam banyak keadaan, sibling rivalry akan berterusan sekalipun setelah dewasa dan beranak-pinak.

6. Bahasa Mengkritik/Membebel

Yang ni mungkin ramai ibu biasa buat, tapi ianya memang tak bagus untuk anak sebab tiada siapa suka dileteri. Kalau nak berikan arahan ataupun menegur, gunakan ayat yang ringkas janji mereka faham. Fokus pada kebaikan yang mereka buat. Hakikatnya, anak yang sentiasa dikritik takkan maju ke depan, malah akan hilang keyakinan diri mereka.

7. Bahasa Mengungkit

Contohnya, “Kenapa result teruk macam ni? Buat penat je ayah/ibu hantar pergi tuisyen, belikan buku dan macam-macam. Tapi tak pandai-pandai juga.” Kuncinya, ikhlaskan hati dan banyakkan bersabar dalam mendidik anak-anak.

8. Bahasa Mengugut

Contohnya, “Kalau lepas main tak nak kemas, ayah/ibu buang semua mainan.” “Kalau tak berhenti menangis, ayah/ibu tinggal.” “Kalau tak nak dengar cakap, ayah/ibu pukul.” Jangan ugut atau menakut-nakutkan anak. Anak-anak memang perlu diajar tentang akibat sesuatu perbuatan, tapi bukan dengan mengugut. Sebab itu, ibu bapa perlu tetapkan peraturan untuk terapkan disiplin.

9. Bahasa Menuduh

Contohnya “Macam mana barang boleh hilang? Ni mesti tadi kamu cuai masa main sampai tercicir.” “Kenapa adik menangis ni? Abang/kakak buat ya?”

Sebaiknya siasat dulu untuk tahu keadaan sebenar dan berikan anak peluang untuk menerangkan hingga habis. Itu memberikan mereka keyakinan dan keberanian untuk berterus-terang dan mengaku kesalahan (jika bersalah) dengan jujur.

10. Bahasa Bisu (Silent Treatment)

Dengan mendiamkan diri tak akan membantu anak untuk membetulkan kesalahan mereka. Bahkan akan membuatkan mereka rasa lebih tidak disayangi serta menjauhkan diri. Parenting sememangnya sangat mencabar dan memerlukan kekuatan mental emosi yang tinggi. Ia juga satu perjuangan yang panjang dan melelahkan.

Tapi tiada yang lebih manis apabila anak yang kita didik dan asuh itu membesar menjadi manusia yang baik dan bermanfaat kepada orang lain, serta menjadi pemimpin kepada lingkungan masing-masing.

Sama-samalah kita perbaiki yang salah. InsyaAllah.

Sumber : Noraliza Alwi

Most Popular

To Top