Apa yang setiap pasangan suami isteri nantikan dalam sebuah perkahwinan adalah zuriat. Jika mempunyai tanda kehamilan seperti lewat datang bulan, pasti isteri sudah teruja untuk melakukan ujian kehamilan. Ada juga situasi di mana ujian kehamilan menunjukkan double line tapi sebenarnya tak hamil.
Keadaan ini dapat menambah kekecewaan lebih-lebih lagi kepada suami isteri yang mengimpikan zuriat. Oleh itu, jom ikut penulis berkongsi punca ujian kehamilan positif tapi tidak hamil.
Baca juga: Bukan Hamil Je Punca Rasa Nak Muntah & Loya, Ini Sebab Lain Anda Kena Tahu!
PUNCA UJIAN KEHAMILAN POSITIF TAPI SEBENARNYA TAK HAMIL
Suami isteri pasti berasa ‘frust’ apabila mendapati ujian kehamilan (UPT) mereka memberikan keputusan positif palsu. Jadi, jom ikuti pakar menerangkan sebab ujian kehamilan menunjukkan positif tetapi sebenarnya tidak hamil.
1. Membiarkan kit ujian terlalu lama
Penting untuk para isteri menyemak keputusan mengikut arahan khusus ujian jika mereka mengambil ujian kehamilan standard dengan penunjuk garis.
Ini kerana jika membiarkan kit terlalu lama sebelum membaca keputusan, air kencing pada kit ujian boleh menyejat lalu menyebabkannya kelihatan seperti anda mempunyai 2 garis dan bukannya 1. Ini bermakna keputusan ujian kehamilan anda adalah positif sedangkan realitinya negatif.
2. Ujian kit telah tamat tempoh
Kit ujian yang telah melebihi tamat tempohnya akan menyebabkan bahan kimia yang mengesan hCG (human chorionic gonadotropin) tidak dapat berfungsi dengan baik lantas memberikan keputusan yang salah untuk anda.
3. Sedang mengambil ubat kesuburan
Anda juga boleh mendapat keputusan positif palsu jika mengambil ujian kehamilan terlalu awal selepas pengambilan ubat kesuburan yang mengandungi hCG. Contohnya, seperti sesetengah suntikan dalam prosedur persenyawaan in vitro (IVF).
4. Hormon hCG masih ada selepas bersalin atau keguguran
Kebiasaannya, wanita mengalami keguguran kehamilan dalam 13 minggu pertama kandungan. Malah, situasi ini berlaku sebelum mereka mengetahui diri hamil.
Selalunya, HCG boleh kekal dalam tubuh badan selepas melahirkan anak atau keguguran. Anggarannya adalah dalam tempoh masa 4-6 minggu untuk tahap hCG kembali normal.
5. Mengalami kehamilan ektopik
Kehamilan ektopik juga merupakan kehamilan luar rahim. Ia berlaku apabila telur yang disenyawakan berkembang di luar rahim iaitu dalam tiub fallapio. Malah, ia juga boleh terjadi dalam ovari atau serviks.
Kebiasaannya, kehamilan jenis ini tidak boleh berkembang kerana embrio tidak berada di tempat ia boleh membesar iaitu rahim. Disebabkan oleh hormon hCG yang masih terhasil, keputusan ujian kehamilan anda menjadi positif.
Kehamilan ektopik ini boleh membawa maut. Jika mempunyai simptom seperti berikut, segera berjumpa dengan doktor:
- Sakit teruk di perut atau pelvis semasa hamil
- Pendarahan faraj
- Pening teruk, sakit kepala atau pengsan
- Sakit bahu
- Dorongan untuk buang air besar
- Sebarang simptom lain yang membuat anda rasa bimbang
6. Kehamilan kimia
Kehamilan ini adalah keguguran yang berlaku sebelum minggu ke-5 kehamilan kerana embrio yang dapat ditanam di dalam rahim tidak bertahan lama. Malah, anda mungkin tidak mengetahui yang diri sedang hamil.
Dalam kehamilan ini, embrio juga masih mengeluarkan hCG menyebabkan ujian kehamilan anda positif.
Kehamilan kimia berlaku bukan disebabkan kelakuan atau ketidakupayaan isteri namun kerana:
- Fibroid
- Parut tisu
- Jumlah hormon tertentu yang rendah seperti progesteron
- Kelainan pada bentuk rahim
7. Keadaan perubatan
Keadaan perubatan para isteri juga kadang-kadang boleh membuatkan ujian kehamilan anda memberikan keputsan positif palsu. Keadaan perubatan itu adalah seperti:
- Sista ovari
- Penyakit buah pinggang
- Jangkitan saluran kencing
- Masalah pituitari
- Dalam sesetengah kes, kanser ovari dan penyakit serius yang lain
Anda boleh mendapatkan rundingan bersama doktor jika mendapati keputusan ujian kehamilan menunjukkan positif palsu untuk memeriksa keadaan kesihatan anda.
Sumber: Hello Doktor