“Mama, susahnya adik nak berak ni…sakit la perut adik…”
Susah untuk membuang air besar atau sembelit merupakan situasi yang anak-anak kian membesar alami. Hal ini kerana, kekurangan air dalam badan dan jenis makanan yang dimakan menjadikan anak-anak susah untuk membuang air besar. Namun, penting untuk ibu bapa tahu bahawa sembelit bukanlah dikategorikan sebagai penyakit kerana situasi ini adalah normal. Tetapi, bila anak dah mengadu sakit, mesti cuak juga kan?
Jadi, jom baca perkongsian dari pakar tentang bagaimana untuk elak dan rawat sembelit dalam kalangan anak-anak tanpa menggunakan ubat.
SAKIT PERUT SAMPAI NAK LURUSKAN BADAN PUN TAK BOLEH
Jam sudah menunjukkan jam 2 pagi. Baru saja selesai merawat seorang wanita yang datang mengalami sengugut. Nak berjalan pun tak mampu. Sakit yang amat. Setelah buat pemeriksaan dan beri ubat tahan sakit barulah lega dan pulang dengan tersenyum lebar. Saya berbaring sambil memandang siling. Cuba untuk lelapkan mata. Tiba-tiba dapat panggilan dari klinik.
“Doktor, ada seorang pesakit budak lelaki 4 tahun,sakit perut”
“Ok baik, saya datang”
Setiba di klinik, kelihatan seorang budak lelaki diriba ibunya. Menangis meraung kesakitan. Nak luruskan badan pun tak boleh. Tangannya menekan perut. Saya terus minta ibu dukung anaknya dan masuk ke bilik pemeriksaan.
“Dah berapa lama jadi begini?”
“Malam tadi ok je. Tiba-tiba dia terjaga dari tidur meraung sakit perut”
“Ada muntah? Ada cirit-birit?”
“Takde doktor. Tapi dia dah 2 hari tak berak”
“Ada masalah usus sebelum ini? Kentut ada?”
“Takde masalah usus. Kentut ada”
“Baik,saya kena buat pemeriksaan dulu”
Saya buat memeriksa perut dan ultrasound scan.
“Anak puan sembelit. Takpe, saya akan masukkan ubat dari punggung. Bila dah berak, dia akan lega” Saya minta ibunya ‘standby’ di tandas. Selang beberapa minit, anaknya dah membuang air besar. Keluar tandas, muka tersenyum. Siap berlari lagi. Ibunya terpaksa kejar nak pakai seluar. Sakan ye dik, tadi nak berdiri pun tak boleh. Bila tengok pesakit hilang derita, saya pun gembira.
Artikel berkaitan: ‘Sembelit Bukan Penyakit’- Doktor Kongsi 3 Cara Elak Sembeli Tanpa Ubat
Cara elak sembelit tanpa guna ubat
1. Bagi bayi kurang 6 bulan, baringkan bayi dengan kaki ke atas dan cuba lakukan pergerakan seolah-olah sedang mengayuh basikal di udara. Ini akan merangsangkan pergerakan najis dalam usus.
2. Boleh rangsang lubang dubur dengan menggunakan putik kapas. Buat ‘circular motion’ di sekeliling lubang dubur.
3. Bagi bayi 6 bulan ke atas dan menyusu susu formula, boleh berikan makanan separuh pepejal seperti lobak yang dikisar dan disediakan secara segar.
4. Bagi kanak-kanak yang berumur satu tahun ke atas boleh diberikan air buah-buahan seperti tembikai atau air mineral suam dalam kadar yang berpatutan.
Jika ibubapa telah mencuba langkah-langkah tersebut tetapi tidak berjaya, maka bolehlah menggunakan ubat. Ubat yang selamat digunakan untuk bayi enam bulan ke atas ialah Lactulose.
Bagi bayi berumur 11 bulan hingga ke 5 tahun, ubat Lactulose 3.1-3.7g/5ml oral solution diberikan 2.5-5 ml dua kali sehari. Bagi kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas, ubat Lactulose 3.1-3.7g/5ml oral solution diberikan 5-10 ml dua kali sehari. Bagi bayi yang kurang setahun, sebaiknya bawa jumpa doktor untuk buat pemeriksaan dan pemberian dos yang lebih tepat.
Kongsikan pada mak ayah lain dan keluarga tips ini supaya lebih ramai yang tahu untuk elakkan anak sembelit.
Sumber: Dr. Ahmad Samhan