Hamil ketika tempoh Covid-19 bukanlah satu perkara yang dilarang namun pasangan suami isteri disarankan agar menunda atau merancang kehamilan sekiranya mereka mengalami masalah ekonomi atau mempunyai ketidakupayaan sosial serta dapat mengurangkan risiko bahaya ke atas si ibu.
Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, berkata dalam keadaan sukar begini ada baiknya jika lebih suami isteri berbincang secara mendalam mengenai perancangan untuk memiliki zuriat demi keharmonian keluarga.
Baca juga: 3 Level Prihatin Ayah Kena Cakna Tentang Anak, Bukan Sekadar Dunia Sahaja
TUNDA NIAT UNTUK HAMIL PADA TEMPOH COVID-19
Tambah Dr Harlina Halizah, walaupun pasangan mengamalkan kaedah semula jadi ianya tetap akan timbul situasi hamil tanpa dirancang berikutan jutaan sperma memasuki reproduktif wanita.
“Begitu juga ibu yang menyusukan bayi mereka tetap berpotensi hamil lagi, walaupun tidak didatangi haid, terutama ibu yang mengepam susu dan tidak memberikan secara langsung kepada bayi berikutan tempoh empat hingga enam jam itu, boleh terjadi kehamilan tidak dirancang,” jelasnya.
Bila melihat data WHO pula, perancangan keluarga dapat mencegah kira-kira satu pertiga kadar kematian berkaitan kehamilan serta 44 peratus kematian bayi, berikutan masa dan jarak kehamilan. Ini bermakna sekurang-kurangnya dua tahun antara kelahiran diperlukan supaya dapat mencegah kehamilan yang bermasalah.
Jadi, rancanglah keluarga dengan efektif serta berkesan demi memastikan kehidupan berkualiti serta dapat mengurangkan kadar kematian ibu.
“Kepentingan merancang keluarga amat meruncing dalam konteks pandemik ini yang mana jika berbuat demikian tidak bermakna mereka menolak anak, tetapi penting untuk memastikan kehamilan berlaku secara optimum,” katanya.
Berbaliklah dengan menjadikan Rasulullah sebagai ikutan dan model hidup agar kehidupan kekeluargaan sentiasa harmoni dan bahagia.
PENGGUGURAN BUKANLAH KAEDAH MERANCANG KELUARGA
Walau bagaimanapun, pengguguran janin bukanlah satu kaedah untuk merancang keluarga dan data akhir-akhir ini mengenai kehamilan remaja menurun, sesuatu mencemaskan berikutan mereka mungkin mengambil pil pengguguran tanpa nasihat doktor.
“Sebagai pengamal perubatan, kaedah pengguguran tidak harus dilihat kaedah perancang keluarga. Namun, sekarang ada menggugurkan janin guna ubat, lebih mudah dan murah dengan sekadar mengambil pil sahaja.
“Pada kami, kaedah itu tidak sepatutnya kerana gugur kandungan walaupun di klinik tetap membabitkan prosedur pembedahan, anesthesia, jadi apabila seseorang itu hamil tanpa kemahuan, dia datang klinik dan akan berulang setiap kali kehamilan,” luahnya.
Sumber: BH Online