Seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu bakal dikenakan enam hukuman sebatan di khalayak ramai oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, kerana kesalahan khalwat berulang.
Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
TUKANG RUMAH BAKAL DISEBAT DI KHALAYAK
Kamalruazmi memerintahkan hukuman sebatan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu pada 6 Disember depan selepas solat Jumaat sebaik tamat tempoh rayuan.
Selain itu, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Baca juga: Elak Jadi MANGSA Projek Rumah Terbengkalai, Semak Pemaju Hartanah Dengan 4 Langkah Ini!
Tertuduh sudah berkhalwat tiga kali
Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakiman berkata, dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, matlamat utama dalam syariat dan daripada segi agama adalah memberi pengajaran, pendidikan dan sebagainya suatu pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang khususnya ke atas tertuduh dan juga sebagai peringatan pencegahan ke atas orang awam secara amnya.
“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Kamu (Mohd Affendi) pernah disebat dan dipenjara tetapi buat lagi (berkhalwat). Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya.
Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan ketiga tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada jam 1.40 pagi pada 16 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Baca juga: Anak Tak Boleh Masuk MRSM Jika Ibu Bapa Dalam ‘Blacklist’ MARA – Datuk Rubiah Wang
Tertuduh pernah dijatuhkan hukuman sebat atas kesalahan sama
Untuk rekod, pada 19 Februari itu, Mohd. Affendi juga menjadi pesalah khalwat pertama yang dijatuhi hukuman empat sebatan di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen tersebut.
Di mana, tertuduh mengaku salah bagi pertudugan khalwat pada 25 Januari lalu
Sebelum itu, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan yang sama pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Zaid Mohd Noor