40 Minggu

7 Cabaran Yang Terpaksa Dihadapi Bila Mengandung Rapat-rapat

57
SHARES

“Ish, macam tak percaya UPT test ni positif, padahal semua tips menjarakkan kehamilan kita dah ikut. Patutlah rasa tak sedap badan, mengandung rupanya. Tapi baby baru nak masuk 8 bulan… Bolehkah aku melalui semua ni nanti?”

Itulah yang dinamakan rezeki. Secara idealnya ibu disarankan untuk menunggu 2 tahun bagi kehamilan yang seterusnya. Tapi adakalanya kehamilan tetap boleh berlaku walaupun segala perancangan telah dilakukan dengan sempurna.

Dari segi kesihatan, tempoh 2 tahun adalah paling ideal bagi memberi peluang kepada tubuh ibu untuk pulih sepenuhnya daripada proses bersalin yang lalu. Tidak mustahil seorang ibu boleh melahirkan seorang bayi lagi dengan jarak kehamilan yang lebih rapat, dan ramai wanita yang telah melaluinya dengan selamat. Walaubagaimanapun, keadaan ini tentulah agak mencabar.

7 Cabaran Yang Terpaksa Dihadapi Bila Mengandung Rapat-rapat

Berikut adalah antara cabaran yang terpaksa dilalui bagi wanita yang tak berpeluang menjarakkan kehamilan selepas beberapa bulan kelahiran bayi.

1. Rasa Takut pada Awalnya

Ketika pertama kali mendapat tahu tentang berita kehamilan ini, mungkin ada wanita yang rasa antara percaya atau tidak. Seolah-olah sukar menghadapi kenyataan dengan yang perasaan bercampur-baur. Takut, gementar, gugup, dan tak tahu apa yang patut dilakukan.

Tentunya, sokongan pasangan dan ahli keluarga yang terdekat amat diperlukan agar kita mampu melaluinya dengan baik.

Kira Waktu Subur Wanita Supaya Cepat Hamil

Foto Kredit: huffingtonpost.com

2. Komen ‘Pelik’ Orang Sekeliling

Jika sebelum ini kita menjangkakan ucapan tahniah dan selamat, kini mungkin kita akan menerima pelbagai komen yang ‘pelik’ selain daripadanya. Sesetengah mereka ini tidak menyedari bahawa kata-kata tersebut boleh menyakitkan hati. Kadangkala, bingung juga sama ada kita yang terlebih sensitif atau mereka yang bercakap ‘tak beralas’.

Antara yang selalu kita dengar termasuklah:

  • “Wah, suburnya kau ni…!”
  • “Cepatnya dah ada adik, kesian dekat abangnya tu…” 
  • “Relakslah dulu… Tak merancang ke?” 

Terasa seperti dimalukan dengan statement begini. Hakikatnya, menjarakkan kehamilan bukanlah semudah yang disangka bagi sesetengah pasangan. Ada wanita yang tak serasi mengambil pil perancang, IUD, suntikan, implan dan sebagainya. Begitu juga lelaki yang tidak selesa dengan beberapa kaedah seperti penggunaan kondom. Tapi, takkan semuanya mahu diceritakan kepada orang ramai, bukan?

pengalaman bersalin caesar

Foto Kredit: malibuvist.com

3. Keletihan Yang Melampau

Seperti yang diketahui umum, kehamilan adalah suatu proses yang memenatkan. Mood swing, loya tekak, mual, sakit badan, masalah pencernaan, bengkak kaki adalah antara simptom kehamilan yang terpaksa ditempuhi oleh ibu.

Dalam keadaan ini, tentulah sukar untuk fokus di pejabat, menjaga bayi yang sedia ada, apatah lagi menguruskan kerja-kerja di rumah. Rasa tak pernah cukup rehat, lebih-lebih lagi dek kerana asyik ‘dikejutkan’ oleh bayi setiap malam. Memang letih sampai boleh rasa tertekan dan menangis!

hamil anak kedua

Foto Kredit: healthline.com

4. Kesukaran Untuk Menyusu Badan

Sesetengah wanita mungkin tidak bermasalah meneruskan penyusuan badan. Tapi, ada yang tidak dapat melakukannya lagi kerana susu badan tiba-tiba merudum.

Pelbagai usaha dicuba demi membolehkan penyusuan badan diteruskan. Ada yang ambil suplemen, ada yang mencari sumber milkbooster semulajadi. Risaunya memikirkan susu badan yang semakin menyusut. Dalam sesetengah kes, penyusuan badan terpaksa dihentikan atas sebab kesihatan. Setiap kali pandang wajah anak, timbul rasa bersalah kerana tak mampu menyusukannya.

Foto Kredit: kellymom.com

5. Kurang Masa Untuk Bayi Pertama

Rasa bersalah tak menyusukan bayi dah satu hal. Tapi, satu lagi rasa bersalah yang tak dapat dielakkan adalah kurangnya masa untuk memenuhi keperluan mereka sepertimana bayi lain.

Dalam keadaan tubuh yang semakin membesar, kita berasa cepat letih, moody, tak sedap badan, dan mungkin tidak mampu melayan mereka dengan senyuman dan nyanyian. Tambahan pula dengan temujanji doktor setiap bulan. Bila ada masa terluang, tubuh ini seolah-olah memberitahu kita untuk tidur dan berehat tanpa diganggu. Nak mendukung bayi pun makin susah, apatah lagi melayannya untuk bertatih atau merangkak di lantai.

Foto Kredit: paidorama.com

6. Malu Dengan Reaksi Orang Luar

Sepatutnya, tak ada apa yang patut dimalukan apabila mengandung kerana ia adalah keputusan peribadi sesebuah keluarga. Tapi, kadangkala sukar untuk kita menahan ‘malu’ apabila berhadapan dengan orang luar yang melihat kita mengusung bayi dengan perut yang semakin membesar.

Walaupun mata-mata ini tidak mengeluarkan sebarang kata-kata, tetapi ia cukup menjadikan diri ini rasa seperti dihakimi. Malah, ada masanya rasa seperti ‘gagal’ dan tak bertanggungjawab kerana tidak mampu menjarakkan kehamilan.

uri di bawah

Foto Kredit: scoopnest.com

7. Perancangan Bersalin Lebih Rumit

Dengan bayi yang baru menyesuaikan diri di taska atau pengasuh, anda pasti terfikir nanti bagaimana dengannya apabila kita bersalin di hospital nanti. Berpantang pula macam mana?

Bukan semua orang boleh mengharapkan ibu bapa untuk menjagakan anak dan memasakkan kita sepanjang tempoh kita bersalin nanti. Dengan seorang bayi dan seorang anak kecil, proses berpantang tentunya memerlukan perancangan yang rapi dan kerjasama yang tak berbelah bagi daripada pasangan.

tips menjarakkan kehamilan

Foto Kredit: dissolve.com

Apapun, Ia Mungkin Lebih Mudah Berbanding Apa Yang Anda Sangkakan

Yang penting, kita perlu berfikiran positif untuk menghadapi semua cabaran ini. Sebagai ibu, kita dahululah yang perlu menerima kenyataan ini dengan hati yang terbuka. Apabila kita redha, mudah-mudahan segala urusan kita akan dipermudahkan. Cuba fokus pada kehamilan dan anggap ia sebagai satu hadiah istimewa dari Tuhan.

Ramai juga wanita yang rasa lebih mudah apabila bersalin dalam jarak yang rapat kerana mereka masih ingat apa yang berlaku dalam proses kehamilan serta kelahiran yang terdahulu. Mereka mahir menjangkakan apa yang bakal berlaku semasa hampir bersalin, dah ada semua persiapan yang bakal diperlukan oleh bayi, dan tak perlu membeli apa-apa lagi dalam masa terdekat ini. Malah, ia mungkin lebih mudah daripada apa yang anda sangkakan!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×