Pemakanan yang sihat adalah elemen penting dalam memastikan badan sihat termasuk buat para ibu yang sedang hamil. Hal ini adalah untuk mengelak dari berlakunya masalah kesihatan kepada kandungan seperti jaundis. Namun, seperti biasa ramai dalam kalangan ibu yang masih keliru dengan pantang larang jenis makanan dek kerana lambakan petua di media sosial. Yang mana satu betul?
Oleh itu, doktor ini berkongsikan antara beberapa persoalan yang diajukan oleh pesakitnya iaitu ibu hamil tentang jenis makanan yang boleh diamalkan serta tidak boleh diamalkan terutama untuk anda yang menjalani rawatan IVF.
MAKANAN APA YANG SESUAI DIMAKAN UNTUK MEREKA YANG MENGANDUNG?
Soalan yang popular untuk pasangan yang hadir kepada saringan awal untuk masalah kesuburan adalah tentang makanan yang sesuai untuk mereka yang ingin mengandung. Apa yang disyorkan oleh para doktor dan juga apa yang perlu dielakkan. Saya akan cuba memberi penerangan serba sedikit.
Salah satu kajian skala besar yang telah diterbitkan oleh ‘Oxford Journal of Human Reproduction’ pada tahun 2018 menunjukkan mereka yang mengikuti diet Mediterranean mempunyai peratusan kejayaan IVF 60% lebih tinggi daripada mereka yang tidak mengikut rancangan makanan yang khusus semasa proses IVF. Apakah komponen diet Mediterranean? Ia merangkumi sayur sayuran, buah buahan, kekecang, bijirin, ubi kentang, ikan dan makanan laut tanpa cangkerang serta minyak zaitun. Ini adalah tahap utama yang perlu diambil dalam kuantiti paling banyak.
MAKANAN SIHAT ALA DIET MEDITERRANEAN
Tahap kedua yang perlu dimakan dengan sederhana adalah ayam, telur, keju dan susu masam. Makanan yang perlu dielak dalam diet ini sama sekali adalah daging merah seperti daging lembu dan kambing serta gula dan makanan yang diproses seperti sosej, nuggets dan sebagainya. Makanan digoreng memang tidak digalakkan langsung. Gula memang merupakan kegemaran rakyat Malaysia tetapi inilah yang paling banyak memudaratkan peratusan kejayaan rawatan kesuburan.
Ikan yang dipilih termasuk Salmon, Sardin, Tenggiri dan Trout. Cara masakan rebus atau grill/panggang diutamakan berbanding dengan digoreng. Makanan laut lain yang disyorkan adalah udang, tiram dan kerang (walaupun ini ada cangkerang). Sayur sayuran dalam diet in terdiri daripada kubis bunga, tomato, sawi, bayam, brokoli, lobak dan timun. Kekacang yang banyak dimakan oleh orang Mediterranean adalah almond, walnut, hazelnut, cashewnut, pumpkin seeds dan sunflower seeds. Bijirin dan karbohidrat yang terbaik adalah oats, brown rice, barli dan wheat pasta. Buah buahan pula terdiri daripada pisang, epal, oren, strawberry dan anggur.
Makanan yang perlu dielak adalah kek manis, kuih muih, margarin, ais krim, minuman bergas, minuman manis, makanan mentah, soyabean dan minyak soybean. Alkohol juga perlu dijauhkan. Diet ini lazimnya sepatutnya dimulakan 2 ke 3 bulan sebelum rawatan kesuburan untuk memberi peluang yang terbaik untuk berjaya. Saya harap ini boleh tolong semua follower saya. Diet ini bukan sahaja untuk mereka yang membuat IUI atau IVF tetapi juga untuk mereka yang mencuba untuk kandungan secara semulajadi dan untuk kesihatan badan yang umum.
Sumber: Dr. Pravin Peraba