Asuh

7 Cara ‘Reading Aloud’ Bantu Anak Anda Cepat Bercakap

107
SHARES

“Dah selalu berbual dan menyanyi dekat Irdina supaya dia bercakap, tapi dia respon sikit-sikit je. Apa lagi nak buat ya? Dah nak masuk 2 tahun ni, risau pula kalau dia lambat bercakap.”

Tahukah anda, selain berbual dan bermain dengan anak, kajian telah mendapati bahawa membaca untuk anak atau ‘reading aloud’ adalah salah satu aktiviti yang mampu meningkatkan kemahiran bahasa serta kemahiran komunikasinya.

Umumnya kita tahu bahawa membaca atau ‘reading’ memiliki banyak kelebihan dalam menambah pengetahuan. ‘Reading aloud’ juga memiliki kelebihan yang sama, namun dengan kuasa suara yang digunakan, ia merupakan fasa penting yang membantu anak-anak mendengar serta mengenalpasti sesuatu perkataan dengan lebih jelas. Malah, laporan pakar menerusi Psychology Today berpendapat bahawa aktiviti membaca untuk anak adalah sama pentingnya dengan menukar lampin mereka!

Berikut adalah peranan ‘reading aloud’ dalam mempertingkatkan kemahiran komunikasi anak-anak serta menggalakkannya cepat bercakap.

7 Cara ‘Reading Aloud’ Bantu Anak Cepat Bercakap

1. Memperkenalkan Bunyi & Bahasa Kepada Bayi

Walaupun bayi belum memahami perkataan, sejak lahir lagi ‘reading aloud’ memperkenalkan bayi kepada bunyi-bunyian dan bahasa.  Ibu bapa perlu menggalakkan anak meniru apa yang disebut. Dengan melakukan aktiviti menghasilkan bunyi atau perkataan seperti ini setiap hari, potensi anak untuk bercakap akan lebih terserlah.

Kajian mendapati bahawa umur 0-3 tahun adalah tempoh paling kritikal bagi anak dalam membina kemahiran bahasa. Jadi, ambil peluang memanfaatkan tempoh ini sebaiknya.

pengasuh bayi

Foto Kredit: huffingtonpost.com

2. Mempelbagaikan Penggunaan Perkataan

Berbeza dengan bercakap, membaca atau ‘reading aloud’ memberi peluang kepada anak kecil untuk mendengar suatu perkataan baru dalam konteks yang baru.

Hal ini akan meluaskan lagi perbendaharaan kata mereka di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian bahasa di seluruh dunia.

anak petah bercakap

Foto Kredit : inhabitots.com

3. Memahamkan Anak Tentang Ekspresi & Emosi

Emosi negatif anak yang terpendam mempengaruhi perkembangan anak, terutamanya dari sudut bahasa. Kanak-kanak mempunyai kemahiran yang  terhad untuk meluahkan perasaan serta keinginan mereka. Mereka selalunya menggunakan tangisan, rengekan atau amukan bagi meluahkan apa yang terpendam. Apabila anak semakin besar, cara berkomunikasi seperti ini kurang efektif kerana mereka mempunyai lebih banyak kemahuan berbanding bayi.

Pembacaan ibu bapa yang disertai dengan lakonan, gaya, serta emosi dapat menggalakkan ana kecil untuk mengekspresikan perasaan mereka sendiri. Malah, sesebuah kisah juga boleh menjadi sebuah medium untuk si kecil meneroka atau meluahkan isi hati mereka.

Foto Kredit: readbrightly.com

4. Melatih Anak Untuk Lebih Fokus

Sungguhpun ada ibu ayah mengakui bahawa Youtube boleh membantu anak mereka bercakap, namun video seperti itu tidak mampu memberi respon yang tepat dan sesuai dengan emosi anak pada saat tersebut.

Aktiviti ‘reading aloud’ berbeza dengan TV atau video interaktif kerana ia lebih perlahan, boleh digayakan dalam pelbagai nada, serta mengambil kira tahap kefahaman anak. Semua ini dapat menggalakkan anak untuk fokus dan menjadi pendengar yang baik. Bila anak lebih fokus, mereka lebih cepat belajar!

Foto Kredit: parentsindia.com/

5. Menggalakkan Anak Bertanya

Bak kata orang, lebih banyak kita membaca, lebih banyak yang kita tak tahu. Kalau setakat sembang, mungkin anak-anak kurang berminat dan tidak begitu tertarik untuk bertanya soalan. Namun apabila kita memegang buku, menunjukkan gambar dan mula bercerita, ia memberikan satu aura yang cukup berbeza.

Oleh itu tidak dinafikan lagi, ‘reading aloud’ menjadi jalan utama untuk mencetuskan sifat ingin tahu atau curiosity mereka. Impaknya luarbiasa dan anak-anak akan terdorong untuk lebih banyak bertanya.

Foto Kredit: speech4hearing.com

6. Mengeratkan Bonding

Anak yang lambat bercakap biasanya kurang mempedulikan orang sekeliling dan asyik di dalam dunia mereka. Apabila dipraktikkan sebagai rutin, aktiviti ini boleh menjadi masa berkualiti antara ibu bapa dengan anak. Tanpa disedari, terbinalah sebuah connection yang mendalam hanya melalui sebuah buku cerita.

Dengan terbinanya hubungan lebih erat, maka lebih banyak cerita dapat dikongsikan, idea-idea dapat diutarakan, semua pertanyaan dapat dirungkaikan, dan perbezaan pendapat juga diraikan.

Foto Kredit: angelibebe.com

7. Membina Keyakinan Diri

Sesetengah anak lambat bercakap kerana mungkin mereka kurang selesa dan tidak yakin mereka dapat difahami oleh orang yang mendengarnya. Dengan menjadikan aktiviti ini sebagai rutin yang santai, lahirlah minat anak untuk turut serta dalam proses penceritaan tersebut, tidak kiralah untuk bertanya soalan, memberi pendapat, atau ikut bercerita.

Sedikit demi sedikit, semua proses ini akan membina keyakinannya untuk bersuara dan bercakap dengan spontan. Mereka juga berasa lebih konfiden untuk menggunakan perkataan yang baru didengar dan belajar menyesuaikannya dalam kegunaan harian. Bahkan melalui aktiviti ini mereka berpotensi menuturkan bahasa kedua, contohnya Bahasa Inggeris, dengan mudah dan lancar.

tips anak yang bijak

Foto Kredit: leiturainfantil.com.br

Kembangkan Potensi Anak

Bukan sekadar membantu anak bercakap dan mahir berkomunikasi, tetapi aktiviti ‘reading aloud’ juga akan menanamkan kecintaan anak-anak terhadap tabiat membaca.

Apa yang menarik, ia juga memberi kesan positif terhadap prestasi anak di sekolah. Dalam sebuah kajian oleh Melbourne Institute of Applied Economic And Social Research, apabila ibu bapa membaca untuk anak mereka setiap hari, anak-anak ini menjadi setahun lebih advanced berbanding mereka yang tidak dibacakan buku setiap hari.

Sungguhpun begitu, ibu bapa perlu faham bahawa semua anak mempunyai potensi yang berbeza dan mungkin ‘tersembunyi’. Ada anak-anak yang cepat bercakap manakala sebahagiannya pula lambat bercakap walaupun diberi pendedahan yang sama. Maka, ibu bapa perlu sentiasa positif dan tidak berputus asa mencari pendekatan yang sesuai untuk anak masing-masing.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×