Famili

Boleh Cakap Beberapa Perkataan Saja, Sebut Pun Hujung-hujung. Ibu Ini Kongsi 5 Saranan Speech Therapist

2.2K
SHARES

Kadangkala, bila kita tengok anak orang lain dah petah bercakap, kita mula rasa risau dan tertanya-tanya sama ada anak kita sengaja tak nak bercakap atau mempunyai masalah tertentu dalam pertuturan.

Menurut pakar, seorang kanak-kanak dikategorikan sebagai ‘late talker’ apabila mereka yang berumur antara 18-30 bulan hanya boleh menggunakan perkataan yang terhad untuk tahap umur mereka. Namun, mereka mempunyai kefahaman bahasa yang baik dan biasanya mengikut perkembangan normal dalam kemahiran bermain, motor, pemikiran serta sosial.

Dianggarkan sekitar 13% daripada kanak-kanak yang berusia 2 tahun adalah ‘late talker’. Sebenarnya ini merupakan fenomena biasa terutamanya jika dalam sejarah keluarga, ada ahli keluarga yang juga lambat bercakap tetapi kemudian tiada masalah pertuturan.

Dalam artikel kali ini, kami berbesar hati untuk berkongsikan sedikit pengalaman dan perkongsian daripada seorang ibu, Puan Basyirah Ahmad yang berhadapan dengan masalah anak lambat bercakap.

Mari ikuti perkongsian beliau ini selanjutnya.

‘Dah Nak Masuk 3 Tahun Tapi Cuma Boleh Cakap Beberapa Perkataan, Sebut Pun Hujung-hujung’

Bulan 7 nanti, Zahra akan masuk 3 tahun. Dalam umur begini, dia baru boleh bercakap beberapa perkataan saja. Itu pun sebut yang hujung-hujung. Nasi jadi ‘cik’, makan jadi ‘kan’. Kadang-kadang mengamuk juga dia kalau Mak dia lambat betul nak faham apa yang dia nak.

Anak yang seorang ini, walaupun berat mulut, tapi ringan punggung. Asyik memanjat sana sini dan sibuk betul nak menolong.

Apapun, saya ada bawa dia jumpa speech therapist. Baru-baru ini dia ada tunjukkan saya beberapa jurus untuk stimulate bahasa. Jadi saya nak kongsikan di sini apa yang dia beritahu.

Kalau rajin buat begini, mana tahu esok lusa nanti anak kita boleh bercakap macam Menteri di Parlimen!

5 Langkah Mudah Bantu Anak Cepat Bercakap

1. Kena Ada ‘Eye Contact’ Dengan Anak

Ini paling basic. Bila nak bagi sesuatu arahan, tengok mata dia. Anak akan belajar tiru dari pergerakan mulut kita. Jangan kita bagi arahan tapi mata tumpu pada hero sado dekat TV. Lepas tu bila budak tu tak faham kita cakap apa, kita pula yang ‘meroyan’.

“Eh. Apa tak faham-faham Mama cakap ni?” Budak tu dalam hatinya mesti cakap, “Padan muka. Sapa suruh sibuk layan drama Korea!”

Mata ke mata ini penting untuk kita tengok sama ada anak kita boleh faham dan terima arahan yang simple.

cara ajar anak bercakap

Foto Kredit: praxisvita.de

2. Kurangkan Tanya Soalan

Ini spesis sayalah ni. Asyik-asyik tanya soalan. Memanglah budak tu tak reti nak jawab.

‘Zahra nak mandi?’
‘Zahra dah makan?’
‘Tadi kat rumah mak Zahra buat apa?’

Kau rasa dia akan bagi rumusan apa yang dia tengah buat ke? Memang taklah. Mati katak gitu saja perbualan macam ni.

Kalau nak bertanya, boleh. Tapi bagi soalan yang budak boleh jawab ‘nak’ atau angguk kepala. Atau boleh bagi option.

Contohnya, ‘Nak nasi ke susu?’.

Lepas tu tunggu dia respon atau tunjuk pada benda yang dia nak. Yang penting ada komunikasi dua hala di situ. Kita tanya, dia jawab. Bukan kita tanya, dia senyap.

anak malas

Foto kredit : makesmokinghistory.org.au

3. Banyakkan Komen

Boleh cuba bagi 1 mainan dekat anak dan tengok macam mana dia nak main. Tengok mata dia fokus dekat bahagian apa.

Lepas tu tunggu apa respon yang dia nak buat. Atau tengok apa bunyi yang dia nak keluarkan atau cakap.

Tapi kalau dia cuma pegang saja mainan tu, tak apa. Ajar perlahan-lahan. Lepas tu kita bolehlah komen dekat mainan yang dia pegang tu.

Contohnya, kita bagi anak patung. Dia pegang bahagian rambut. Kita boleh cakap ‘Rambut panjang’ atau ‘Sikat rambut’. Komen ikut level dia.

Jangan pula kita komen sampai 15 patah perkataan dalam satu nafas. Patah hati budak tu nanti.

‘Rambut dia ni tak dijaga rapi sebab tu la kusut dan banyak kelemumur’

Jenuh!

Kalau dia sebut tu tak cukup, kita cukupkanlah. Contohnya bila dia pegang dekat baju dan dia sebut ‘ju’, kita tekankan balik perkataan tu – ‘Baju’. Biar bulat, jelas dan berulang.

tips komunikasi dengan anak

Foto Kredit: understood.org

4. Cara Pilih Mainan Yang Betul

Bila nak pilih mainan atau objek untuk anak anak, pastikan kita praktis dulu. Tengok kita sendiri kreatif atau tercungap nak cari perkataan. Words yang kita nak ajar kena ada semua.

Ada kata nama, kata kerja, ada preposisi. Ha gelabah. Itu dulu cikgu BM ajar tak dengar, kan? Padanlah muka kita.

Paling senang, pilih mainan masak-masak.

Boleh mula dengan soalan dulu. Contohnya ‘Mana pinggan?’ Aras rendah. Jangan bagi soalan aras tinggi.

‘Zahra, boleh beritahu Mama apa beza pinggan jenama Corella dengan Arcopal?” Kena hempuk dengan pinggan tu karang.

Ini saya bagi contoh ala cikgu BM repeat paper.

Kata nama : Pinggan
Kata kerja : Basuh pinggan atau Jom simpan pinggan
Preposisi : Letak dalam, letak atas dan sebagainya

Carilah beberapa perkataan lagi yang berkaitan.

Jangan bagi puzzle ABC, nombor, alif ba ta. Itu kemudian. Kalau 4 tahun ke atas baru sesuai.

5. Panjangkan Ayat

Ni kita nak ajar dia cara buat ayat. Contohnya kalau dia cuma sebut ‘jom’, kita sambunglah ayat dia.

“Jom pergi mandi”. Ha macam tu. Tapi wajib ambil balik perkataan yang dia sebut dan expand 2-3 perkataan.

Nak best lagi, masukkan unsur-unsur intonasi.

“Jommmmm mandi. Wuuuu..”
“ Pakai baju. Cantiknyaaaa.”

Part ni kena pergi kelas copywriting. Kena masuk emosi sikit dekat situ. Nanti tambahkan pula struktur ayat tu. Biar ‘jom’ benda lain pulak. Faham?

Mesti Sabar Dan Konsisten!

Sebenarnya banyak tips dia bagi, tapi rasanya cukuplah dulu setakat ini. Ini pun dah bercampur-campur. Yang penting kita praktikkan. Nanti trauma pula kalau bagi banyak sangat.

Akhir sekali, ingat ya keyword yang paling penting – SABAR & KONSISTEN.

– Basyi

 

Perkongsian asal oleh Puan Basyirah Ahmad ini telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan atau tips-tips lain, boleh follow beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×