Terapi

Sains Jelaskan 5 Sebab Anak Anda Takut Dengan Badut

270
SHARES

“Laa… Apa yang takut badut sampai menangis-nangis, menyorok belakang pintu. Bukannya badut tu kacau, dia kan kelakar?”

Badut di Malaysia ini rasanya tak ada yang sampai tahap menyeramkan. Kebanyakannya cuma menghiburkan dengan telatah lucu dan membuat belon pada sambutan hari jadi kanak-kanak.

Memang ramai yang seronok tengok badut sebab mereka ini mesra dan ada pula yang pandai membuat magik. Tapi, kenapa anak kecil dan sesetengah orang dewasa takut badut?

5 Sebab Anak Anda Takut Dengan Badut

Berikut ada beberapa sebab yang diterangkan secara psikologi dan saintifik mengapa sesetengah orang, terutamanya anak kecil takut badut.

1. Sesuatu Yang Jarang Dilihat

Kita sering melihat sesetengah hospital membawa badut sebagai hiburan kepada anak-anak, seperti dalam filem terkenal, Patch Adams. Tetapi, dalam sebuah tinjauan daripada Universiti Sheffield, 250 orang kanak-kanak sekitar usia 4 tahun hingga 16 tahun ditanyakan tentang hal ini. Hasilnya mendapati kebanyakan mereka tidak sukakan badut dan ada yang benar-benar takutkan mereka.

Beliau menambah, “Sangat sedikit kanak-kanak yang sukakan badut. Badut adalah berbeza, unfamiliar, dan mereka adalah dari dunia yang lain. Mereka tidak lucu, tetapi pelik.”

Malah, BBC melaporkan bahawa Royal Hospital for Sick Children di Glasgow telah membuang semua imej badut yang pernah dilukis di dinding hospital dan meminimakan dekorasi dalaman mereka atas sebab ini.

Foto Kredit: elmeme.me

2. Ada Apa Di Sebalik Solekan Dan Hidung Merah?

Menurut Psych Central, ahli psikologi mempercayai bahawa ramai yang takut badut bukan kerana badut itu atau siapa di belakang badut itu. Namun, apa yang menakutkan mereka adalah kombinasi sesuatu yang normal dan tidak normal; iaitu seorang manusia normal dengan kostumnya yang meriah. Sesetengah kanak-kanak mungkin membayangkan apakah sebenarnya di sebalik wajahnya yang bersolek putih, mulut yang luas dan merah, rambut berwarna-warni, kasut yang besar, hidung bulat, dan sebagainya.

Sebuah artikel National Geographic memberi perumpamaan sebuah robot. Apabila kita melihat robot yang berbadan besi, bergerak tersekat-sekat, kita merasakannya normal. Tapi, jika sebuah robot dibuat sehingga menyerupai manusia, ia boleh kelihatan pelik dan mungkin amat menakutkan.

anak takut badut

Foto Kredit: nbcnews.com

3. Pengaruh Media

Rasanya cerita-cerita badut seram pun bukanlah berasal dari Malaysia. Tetapi, kini sudah begitu banyak akses terhadap media Barat yang memperlihatkan imej badut yang menyeramkan.

Watak The Joker dalam filem Batman contohnya adalah salah satu karakter yang agak popular. Ia bukan saja memainkan watak jahat, tetapi juga seorang yang mengalami kekeliruan emosi. Selain itu, banyak lagi karakter lain seperti dalam filem ‘It’ atau kartun-kartun di Youtube yang menampilkan watak badut jahat.

Foto Kredit: thesun.co.uk

4. Salahtanggapan Umum

Jadi, mungkin selama ini ibu bapa atau orang dewasa telah mempunyai tanggapan yang salah bahawa kanak-kanak sepatutnya menyukai badut. Malah, terdapat perkataan caulrophobia, iaitu istilah tidak rasmi dalam psikiatri yang digunapakai untuk menjelaskan fobia terhadap badut.

Dr Penny Curtis, dalam sebuah artikel mengulas tentang isu ini berkata, “Sebagai orang dewasa, kita sering membuat tanggapan terhadap apa yang terbaik untuk kanak-kanak. Kami mendapati bahawa badut secara universalnya memang tidak disukai oleh kanak-kanak. Malah, bagi mereka badut adalah amat menakutkan.”

anak takut badut

Foto Kredit: pinterest.com

5. Bukan Sekadar Kanak-kanak

Dalam sebuah artikel menerangkan bahawa sebuah survei oleh Morning Consult pernah dijalankan di Amerika untuk menilai pendapat orang ramai tentang badut. Tinjauan menunjukkan sejumlah 42% daripada mereka mempunyai rasa takut atau kurang selesa dengan kehadiran badut.

Menariknya, ia tinjauan ini bukanlah dibuat terhadap kanak-kanak, tetapi orang dewasa yang berusia terdiri daripada usia 18 tahun hingga 65 tahun.

Foto Kredit: clownsunlimited.com

Jangan Ketawakan Kalau Anak Takut Badut

Sekarang kita tahu bahawa sebenarnya tak pelik pun kalau kanak-kanak takut badut, kan? Jadi, janganlah ketawakan mereka atau memaksa mereka sukakan badut.

Apapun, kebiasaannya ketakutan ini akan dapat diatasi apabila anak semakin meningkat umurnya. Kerana, satu hari nanti mereka tentu akan faham bahawa badut ini hanyalah seorang manusia biasa yang menyeronokkan!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×