Kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijadualkan berlangsung kurang 10 hari lagi semakin dirasai dan pemimpin parti kini sedang sibuk berkempen bagi meraih sokongan dan undi rakyat Malaysia.
Lebih 21 juta pengundi berdaftar dijangka akan mengundi pada PRU15 kali ini dan setiap satu undi sememangnya sangat bermakna berikutan akan jadi penentu kepada pemimpin baru yang bakal mentadbir negara.
Baca juga: PRU15: Pertama Kali Nak Mengundi? Ini Panduan Berguna Untuk Anda
APA AKAN JADI KEPADA NEGARA KALAU ANDA TAK KELUAR MENGUNDI?
Walau bagaimanapun, masih ada juga segelintir pengundi berdaftar enggan keluar mengundi dan tindakan tersebut sudah tentunya akan memberi impak kepada negara dan ekonomi. Berikut merupakan kesan jika tidak keluar mengundi:
PEMERINTAHAN TERPILIH MUNGKIN TIDAK BAGUS
Kesannya adalah pemerintahan yang terpilih mungkin tidak bagus. Hal ini kerana, parti terpilih tidak menepati kriteria yang diinginkan seperti tidak berjiwa rakyat dan mementingkan diri sendiri.
Sikap tersebut secara tidak langsung akan meninggalkan kesan dalam jangka masa lima tahun kerana pemimpin yang terpilih tidak menjalankan tugas dengan baik dan telus.
Penting untuk semua rakyat Malaysia keluar mengundi bagi menentukan siapa yang layak memimpin kerajaan Malaysia supaya sentiasa berada di bawah pentadbir yang adil dan saksama.
PEMIMPIN YANG LAYAK TIDAK DAPAT DIANGKAT
Selain itu, jika anda memilih untuk tidak mengundi, anda mungkin menyebabkan pemimpin yang layak tidak dapat diangkat. Seperti contoh, bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa.
Meskipun tewas kepada Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun pada 2018, Titiwangsa tetap istimewa di hatinya kerana dilahirkan dan bersekolah di kawasan itu, sekali gus ingin terus berkhidmat kepada masyarakat setempat untuk sentiasa hidup harmoni. Beliau turut membantu syarikat-syarikat terkenal di Malaysia dan memegang jawatan kanan dalam industri korporat.
Beliau sebelum ini menegaskan agar pengundi sentiasa bijak menilai, pilih pemimpin cekap dan berkualiti supaya boleh memimpim negara dengan baik.
Di PRU15, Johari akan menentang wakil Muda Siti Rahayu Baharin, Wakil AMANAH Khalid Samad, Wakil PAS Dr Rosni Adam dan wakil Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Sementara itu, Rina akan bertanding di kerusi Sepang sebagai calon Bersatu.
PEMBANGUNAN EKONOMI & TEKNOLOGI NEGARA TERKESAN
Seterusnya, jika anda tidak keluar mengundi ia akan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi dan teknologi negara. Seperti laporan Berita Harian, kestabilan pembangunan ekonomi dapat dicapai melalui kestabilan politik. Ketidakstabilan politik sejak awal tahun 2020 menyebabkan ekonomi Malaysia jatuh sebanyak 5.6 peratus dan ramai peniaga terpaksa ‘tutup pintu’ kerana tidak mampu bertahan.
Krisis ekonomi global dan ketidakstabilan politik dijangka akan menghadapi risiko sekiranya pilihan raya umum diadakan pada tahun depan.
Oleh itu, dengan bakal berlangsungnya PRU15, diharapkan pemimpin yang dipilih oleh rakyat Malaysia mampu mengalakkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi lebih pesat.
Ini bermakna setiap satu undian sangat berharga dan penting dalam memastikan ekonomi kekal stabil. Tunaikanlah kewajipan sebagai seorang rakyat Malaysia kerana andalah yang memilih bakal pemimpin untuk masa depan negara dan ekonomi.