Hebahan

Kidzania Congrezz 2016 Anjur Program Amal ‘Caring Project’ Dengan Komuniti Orang Asli

12
reads

Bersempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, KidZania CongreZZ 2016 telah menjayakan program amal di Kampung Orang Asli Bukit Kepong hari ini. Inisiatif yang bertujuan untuk memupuk nilai hormat-menghormati dan kesefahaman di antara etnik-etnik berlainan ini melibatkan sesi perkongsian budaya dan pengetahuan di kalangan kanak-kanak yang mengambil bahagian. Program ini adalah sebahagian daripada KidZania CongreZZ ‘Caring Project’, sebuah usaha Tanggungjawab Sosial Korporat oleh ahli CongreZZ Kidzania Kuala Lumpur, sebuah pusat pembelajaran bertema tertutup di Malaysia yang pernah memenangi anugerah.

Dua puluh orang ahli KidZania CongreZZ yang berusia antara 7 hingga 12 tahun telah mengambil masa selama 2 bulan untuk merancang program amal ini. Mereka telah bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Budimas untuk merangka program, menguruskan logistik dan mengadakan kutipan barangan berupa pakaian, buku dan permainan untuk penduduk kampung.

kidzania-congrezz-caring-project-5_lr

“Saya tidak pernah berpeluang berkongsi pengalaman dengan kanak-kanak daripada komuniti Orang Asli sebelum ini. Saya berasal dari bandar, jadi ini sememangnya sesuatu yang baharu bagi saya!” kata Ng Zhang En, 12 tahun, ahli CongreZZ Kid dan pelajar ‘homeschool’. “Banyak yang saya pelajari daripada mereka dan saya rasa mereka juga mempelajari banyak perkara menarik tentang kami juga. Saya percaya, setiap kanak-kanak suka belajar dan berseronok. Kami semua sama sahaja, tapi kemahiran kami berbeza kerana dibesarkan dengan cara berlainan dan dikelilingi persekitaran yang jauh berbeza.”

“Kami berbangga dengan ahli CongreZZ tahun ini kerana telah meluangkan masa dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merancang program amal ini. Ini sememangnya selari dengan tema kami iaitu ‘Learn Life Today’ untuk memperkasakan kanak-kanak dengan kemahiran dan pengalaman hidup sebenar,” kata Shahrul Nizar Ahmad, Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur.

“Kami ingin bekerjasama dengan ibu bapa untuk membentuk pembangunan holistik kanak-kanak, ini termasuklah memupuk kesedaran sosial dan nilai murni. Program Caring Project merupakan platform untuk ahli CongreZZ Kid menanam nilai persefahaman kepada kanak-kanak daripada latar belakang berbeza. Secara langsung, mereka akan menyedari yang setiap orang mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Di samping itu, program ini turut memberi mereka pendedahan untuk merancang dan menjayakan keseluruhan program amal ini dari permulaannya.”

kidzania-congrezz-caring-project-3_lr

“Program amal seumpama ini dapat meningkatkan perpaduan negara dan memupuk kesedaran di kalangan kanak-kanak sejak muda tentang pentingnya persefahaman dan perkongsian kepelbagaian budaya kerana ia merupakan asas yang membentuk negara kita hari ini. Kami sangat menghargai usaha KidZania Kuala Lumpur dalam menerajui inisiatif murni ini dan kami mengalu-alukan lebih banyak inisiatif seumpama ini pada masa akan datang,” kata Omar bin Goming, Pemangku Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli.

“Kami berbesar hati dan bersyukur dapat bekerjasama dengan KidZania Kuala Lumpur; kami sentiasa percaya yang melalui kasih sayang dan harapan, komuniti Orang Asli akan menjalani masa depan yang lebih cerah,” kata Anne Rajasaikaran, Pengetua Yayasan Kebajikan Budimas. “KidZania CongreZZ Caring Project berkongsi matlamat dan inisiatif yang sama dengan yayasan kami, iaitu memberi manfaat kepada kanak-kanak kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian dan bantuan.”

kidzania-congrezz-caring-project-1_lr

KidZania CongreZZ adalah kumpulan yang terdiri daripada 20 orang kanak-kanak yang dipilih setiap tahun untuk mengawal selia KidZania Kuala Lumpur dan menyampaikan pandangan dalam proses membuat keputusan. Mereka akan berkumpul setiap 3 bulan setahun untuk membincangkan topik-topik yang memberi manfaat kepada ahli KidZania seperti media, hiburan, pendidikan dan kesusasteraan, di samping merancang acara dan inisiatif seperti Caring Project yang diadakan setiap tahun untuk membantu masyarakat kurang bernasib baik. Sebelum ini, ahli-ahli CongreZZ Kids ini telah menjadi hos dan melawat kanak-kanak kurang bernasib baik di dua rumah kebajikan pada tahun 2014 dan mengadakan Konsert Mini Amal KidZania CongreZZ pada tahun 2015.

KidZania Kuala Lumpur mempunyai lebih 100 pengalaman lakon peranan dalam bandar yang mesra kanak-kanak dengan 60 ruangan aktiviti di mana mereka boleh mendapat pengalaman dan belajar tentang kerjaya-kerjaya berbeza, perkhidmatan awam, pengurusan kewangan dan banyak lagi kemahiran kehidupan dalam dunia sebenar. Selari dengan misi KidZania Kuala Lumpur untuk membantu kanak-kanak mempelajari tentang dunia sebenar melalui kempen ‘Learn Life Today’, pengalaman-pengalaman lakon peranan sentiasa diperbaharui untuk menepati keperluan dan jangkaan kanak-kanak dengan input istimewa daripada KidZania CongreZZ yang menghargai pembelajaran melalui pengalaman yang berasaskan kemahiran hidup yang kekal hingga dewasa.

 

Mengenai KidZania Kuala Lumpur

KidZania Kuala Lumpur merupakan pusat pendidikan keluarga yang menawarkan pembelajaran interaktif dan pengalaman melakonkan watak bagi kanak-kanak.

 

 

Mengenai Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd

Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn. Bhd. merupakan syarikat pegangan pelaburan yang ditubuhkan bertujuan untuk membangun, mengurus dan menyelia destinasi tarikan. Ditubuhkan oleh dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad.

 

 

Mengenai Yayasan Budimas

Yayasan Budimas merupakan organisasi bukan kerajaan dan bukan keuntungan, dengan misi untuk membimbing dan memberi dana bagi menyokong kebajikan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik di Malaysia.

 

Yang Popular

To Top