40 Minggu

Kekal Patuhi Jadual Imunisasi Anak Sebagai Langkah Pencegahan- Kementerian Kesihatan

28
SHARES

“Cucuk anak ni nak kena buat ke tak time PKP?”

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan ibu bapa untuk mematuhi jadual imunisasi anak mereka dengan mendapatkan suntikan vaksin di klinik berdekatan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan program imunisasi di semua fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa dan ibu bapa disarankan menepati jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang ditetapkan oleh petugas kesihatan.

Katanya, kelewatan penerimaan imunisasi boleh meningkatkan risiko pendedahan bayi dan kanak kanak terhadap penyakit cegahan vaksin seperti campak dan polio.

PERLINDUNGAN BUAT ANAK-ANAK

Menurut Dr. Noor Hisham, pihak kementerian menyedari risiko gangguan dalam program imunisasi serta penurunan jumlah kedatangan bayi dan kanak- kanak ke klinik kesihatan bagi tujuan imunisasi disebabkan keperluan mematuhi amalan penjarakan sosial serta kebimbangan masyarakat kepada jangkitan virus COVID-19.

“(Kelewatan menerima suntikan vaksin) boleh menyebabkan berlakunya peningkatan wabak penyakit cegahan vaksin yang juga akan mengancam nyawa jika tidak dibendung. Justeru, KKM ingin menegaskan, program imunisasi di semua fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa dan elakkan dari keciciran imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak,” 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Minggu Imunisasi Sedunia yang disambut pada 24 hingga 30 April setiap tahun.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata bagi ibu bapa yang kini berada di kampung hendaklah membuat temujanji imunisasi anak mereka di mana-mana klinik kesihatan kerajaan atau swasta yang berdekatan dengan tempat mereka.

IMUNISASI PALING EFEKTIF

Dr Noor Hisham berkata, imunisasi sudah terbukti sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan efektif dalam mengurangkan kematian penyakit cegahan vaksin.

“Sejarah dan fakta membuktikan bahawa imunisasi sudah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia. Bagaimanapun, dalam dua tahun kebelakangan ini, beberapa negara di seluruh dunia mengalami penularan wabak penyakit cegahan vaksin seperti measles (campak) dan polio.”

Bukan itu sahaja, Malaysia juga turut dikejutkan dengan kemunculan kes polio yang pertama pada Disember tahun lalu selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit berkenaan. Sehingga kini, terdapat empat kes polio yang disahkan melalui ujian makmal serta dua kes polio serasi (compatible) yang menepati ciri klinikal penyakit polio di mana kesemua kes ini berlaku di Sabah.

Majoriti kes terbabit tidak menerima suntikan vaksin. Terdapat juga kes berlaku dalam kalangan bayi yang belum sampai umur atau layak untuk menerima suntikan vaksin.

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×