Dividen ASB 2025 dilihat semakin positif berikutan unjuran ekonomi negara yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Menurut penganalisis, pulangan ASB tahun ini berpotensi meningkat sehingga 6.0 sen seunit, mengatasi agihan 5.75 sen yang diumumkan bagi tahun kewangan sebelumnya.
Baca juga: Iklan Palsu Video AI Menyamar Ustaz Wadi, Nenek Terpedaya Datang Dari Perlis Cari Ubat Mata
DIVIDEN ASB 2025 DIJANGKA SEHINGGA 6.0 SEN SEUNIT

Kredit: Scoop
Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berpandangan bahawa kadar dividen asas bagi tahun 2025 dijangka sekitar 5.50 sen, manakala bonus tambahan mungkin mencecah 0.50 sen, selari dengan keadaan kadar faedah, inflasi serta dasar monetari yang lebih stabil.
Beliau menjelaskan bahawa prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor perbankan menjadi faktor penting kerana kedua-dua bidang tersebut merupakan pegangan utama dalam portfolio pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa persekitaran global yang tidak menentu, termasuk konflik geopolitik dan perubahan iklim, masih boleh memberi impak terhadap prestasi pulangan ASB.
Untuk rekod, pada 2024 ASNB mengumumkan agihan 5.75 sen seunit, merangkumi 5.50 sen dividen dan 0.25 sen bonus yang memanfaatkan lebih 11 juta pemegang unit di seluruh negara.
Secara umum, beberapa faktor ekonomi kebangsaan turut menjadi penyumbang penting kepada jangkaan dividen yang lebih baik.

Freepik
Antara faktor tersebut adalah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan peningkatan konsisten, termasuk prestasi eksport yang kembali mengukuh serta pelaburan langsung asing (FDI) yang bertambah akibat pembukaan projek teknologi berskala besar.
Nilai ringgit yang semakin stabil serta prestasi Bursa Malaysia yang kembali melepasi paras 1,600 mata juga menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pasaran negara. Situasi ini memberi kesan langsung kepada dana pelaburan utama seperti ASB yang memiliki pendedahan besar terhadap saham tempatan.
Selain itu, perkembangan pasaran global yang lebih seimbang, khususnya di Amerika, Eropah dan Asia, turut membantu mengurangkan risiko ketidaktentuan pasaran.
Kepelbagaian portfolio pelaburan luar negara memberi kelebihan dari segi kestabilan pulangan, sekali gus menyokong prospek dividen yang lebih baik bagi tahun kewangan 2025.
Baca juga: Doa Bertahun-Tahun Dimakbulkan, Lelaki Asnaf Akhirnya Jejak Pusara Ibu Bapa di Mekah…
Sumber: Utusan Malaysia
