Sihat

Pernah Johan Taekwondo, Fateh Kini Perlu Belajar Berjalan Semula Selepas Tercekik Belon Ketika ‘Birthday’

TERCEKIK BELON

Kehidupan Uwais Al Fateh Muhammad Za’im berubah selepas insiden tercekik belon ketika menyambut hari lahirnya pada Mei tahun lalu.

Daripada seorang kanak-kanak aktif yang menguasai pelbagai aktiviti, Fateh kini perlu menjalani proses pemulihan secara berperingkat untuk belajar berdiri dan berjalan semula.

Baca juga: “Terima Kasih Sebab Pilih Mommy”- Ucapan Anak Bella Astillah Buat Ramai Tersentuh, Syukur Lihat Ibu Kembali Bahagia

TERCEKIK BELON KETIKA HARI JADI, KEHIDUPAN UWAIS BERUBAH

TERCEKIK BELON

Ibunya, Nurul Huda Zulkhairi berkata, anaknya sebelum ini aktif dalam sukan taekwondo, berenang dan seni lukisan. Namun, selepas melalui insiden yang hampir meragut nyawanya, Fateh memerlukan pelbagai rawatan dan terapi bagi membantu memulihkan keupayaan dirinya.

“Sebelum ini, Fateh pernah mewakili negeri dalam pertandingan taekwondo di Kelantan dan muncul johan meskipun baru menyandang tali pinggang putih.

“Dia juga pandai berenang, pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan sajak peringkat daerah, gemar memancing serta berbakat dalam seni lukisan.

“Sekarang Fateh terpaksa belajar balik semula dari awal. Belajar berdiri, belajar berjalan semua mula dari awal,” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian pada 25 Mei 2025, Fateh yang ketika itu berusia tujuh tahun mengalami kejadian cemas selepas tercekik belon ketika bermain di rumah semasa sambutan hari lahirnya pada 20 Mei tahun sama.

Nurul Huda sebelum ini berkongsi bahawa anaknya mengalami kesukaran bernafas sebelum wajahnya bertukar kebiruan dan jantungnya terhenti.

Bapanya bersama seorang rakan yang bertugas sebagai doktor segera memberikan bantuan kecemasan, termasuk bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR), sebelum Fateh dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kisah Fateh kembali mendapat perhatian selepas rakaman perjalanan pemulihannya tersebar di media sosial. Perkongsian itu memperlihatkan perubahan ketara dalam kehidupannya, khususnya apabila dia kini perlu mendapatkan bantuan untuk melakukan pergerakan yang sebelum ini mampu dilakukan sendiri.

Antara rakaman yang dikongsikan termasuklah Fateh menjalani fisioterapi menggunakan alat bantuan berjalan serta mengikuti terapi pertuturan sebagai sebahagian daripada usaha pemulihannya.

TERCEKIK BELON

Pelbagai rawatan dilakukan demi pemulihan Fateh

Dalam usaha membantu anaknya mendapatkan semula keupayaan tubuh, Nurul Huda berkata, keluarga telah mencuba pelbagai kaedah rawatan dan terapi.

Antaranya termasuk akupuntur, bekam, terapi hiperbarik, suntikan saraf, fisioterapi, terapi berkuda, terapi carakerja dan mandi ais.

Usaha berterusan itu turut memperlihatkan beberapa perkembangan positif apabila keupayaan Fateh untuk mengunyah semakin baik, selain terdapat peningkatan pada fungsi tubuhnya.

Walaupun proses pemulihan memerlukan masa dan komitmen yang tinggi, keluarga terus berusaha memberikan sokongan serta mendapatkan rawatan yang bersesuaian untuk membantu perkembangan Fateh.

Terbaharu, keluarga Fateh sedang berusaha mengumpulkan dana bagi membolehkan kanak-kanak itu menjalani rawatan lanjutan menerusi MuseCell Therapy di bawah program The Neorgana Advance Neuroregeneration Program di Yucatan, Mexico.

Rawatan yang menggunakan pendekatan regenerasi sel stem itu dianggarkan menelan kos sebanyak AS$20,500, bersamaan kira-kira RM85,000.

Baca juga: Wanita Kongsi Pengalaman Otak Gegar Akibat ‘Hair Clip’, Kepala Cedera & Masih Sakit Selepas 2 Tahun!

Sumber: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×