Menerusi laman aplikasi X, seorang lelaki menjelaskan bahawa dia telah melakukan prosedur vasektomi iaitu ikat kilang telur untuk tujuan merancang keluarga.
Walau bagaimanapun, luahan tersebut mendapat perhatian Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai hukum prosedur vasektomi.
Baca juga: 15 Tanda Patut Minta Cerai Dengan Pasangan, Bertahan Demi Cinta Tetap Tak Ada Guna!
HUKUM LELAKI BUAT PROSEDUR VASEKTOMI UNTUK RANCANG KELUARGA
Prosedur vasektomi adalah satu bentuk kawalan kelahiran lelaki yang memotong bekalan sperma ke dalam air mani. Vasektomi mempunyai risiko yang rendah dan biasanya boleh dilakukan di bahagian pesakit luar di bawah anestesia setempat.
Sebelum melakukan vasektomi, seseorang itu perlu pasti bahawa dia tidak mahu menjadi bapa pada masa hadapan. Walaupun ada kemungkinan boleh untuk mengembalikannya semula, namun vasektomi harus dianggap sebagai satu bentuk kawalan kelahiran lelaki yang kekal.
Seterusnya, perancangan keluarga dapat dikategorikan kepada tanzim al-nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) dan tahdid al-nasl (تَحْدِيدُ النَّسْلِ).
Tanzim al-nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan ‘azl (ejakulasi luar rahim), mengeluarkan air mani daripada kemaluan isteri selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara.
Tahdid al-nasl (تَحْدِيدُ النَّسْلِ) pula adalah membataskan anak menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran.
Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin.
Jadi, kesimpulannya, prosedur vasektomi adalah haram dan tidak dibenarkan. Hal ini kerana tindakan tersebut dianggap sebagai satu bentuk kawalan kelahiran lelaki atau pemandulan yang kekal yang melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan.
Baca juga: Doa Untuk Suami Tersayang Daripada Seorang Isteri, Tak Ternilai Dengan Harta Benda
Sumber: Maktabah al Bakri & X