Sihat

AWAS! Strok Haba Boleh Membawa Maut, Doktor Kongsi Cara ‘Emergency’ Nak Turunkan Suhu

15
SHARES
strok haba

Baru-baru ini seluruh rakyat Malaysia digemparkan dengan berita mengenai peningkatan suhu sehingga 40 darjah celsius. Menjadi dugaan juga buat orang ramai dengan peningkatan suhu panas ini kerana kita berada di dalam bulan Ramadan di mana semua umat Muslim sedang berpuasa. Oleh kerana kurangnya pengambilan cecair dalam seharian, anda sebenarnya sangat berisiko terkena strok haba!

Mungkin ada yang beranggapan bahawa strok haba hanya gejala yang ringan namun sebenarnya jika tidak ditangani dengan betul, gejala strok haba ini boleh meragut nyawa. Seperti kisah yang dikongsikan oleh Doktor Muhamad Na’im Ab Razak di lama Facebooknya, ada kes kecemasan melibatkan strok haba yang teruk! Risau juga…

Baca juga: Jom Amalkan Omega 3 Fish Oil, Ada 9 Kebaikan Anda Boleh Dapat Khususnya Wanita

DOKTOR KONGSI KES KECEMASAN LETIH PANAS ATAU STROK HABA BOLEH MEMBAWA MAUT

strok haba

Memandangkan cuaca sedikit panas dan lembap sejak kebelakangan ini, (ditambah dengan faktor berpuasa) anda dinasihatkan untuk berhati-hati dengan risiko berlakunya ‘letih panas’ dan strok haba kerana ia boleh membunuh.

Seorang pesakit saya secara tiba-tiba membuat keputusan untuk bekerja di bawah terik mentari sekalipun sudah lama tidak berbuat sedemikian. Setelah lebih 4 jam bekerja tanpa henti, dia mula terasa pening, mahu pitam, kejang otot dan terasa lemah.

Rakan sekerjanya cuba memberi minum air, membasahkan kepala dan membawa dia berehat di bilik yang mempunyai penghawa dingin. Tetapi, dia tetap terasa lesu dan semakin tidak bermaya. Dia bernasib baik kerana ahli keluarga segera membawa dia ke Jabatan Kecemasan.

Ketika itu, suhu badannya lebih dari 41 darjah selsius. Ia adalah suhu yang sangat berbahaya kerana organ badan boleh mengalami kegagalan, darah menjadi cair, otak mengalami kerosakan hingga menyebabkan sawan, tubuh mengalami dehidrasi dan kekurangan garam serta pelbagai komplikasi lain. Kesemua ini boleh berlaku seawal 15-20 minit suhu badan mencecah 41 darjah selsius.

Kadar kematian boleh mencecah sehingga 80% sekiranya strok haba lambat diberi rawatan. Syukurlah pesakit kami tiba pada waktu yang tepat walaupun sudah mengalami kelesuan dan jantungnya juga sedikit laju. Kami segera mengambil tindakan menyejukkan mangsa.

Pakaiannya mangsa dibuang dan diganti dengan kain basah. Pek ais diletak di celah ketiak, kain basah di atas badan disembur pula dengan air dan disejukkan lagi menggunakan angin dari kipas dan penghawa dingin. Rawatan terapi menggunakan cecair bergaram diberi dan begitu juga ubat penahan sakit.

Setelah hampir satu jam, suhu tubuhnya mula turun ke 38 darjah selsius dan akhirnya menjadi 37.2 darjah selsius. Pesakit mula merasai perubahan dan boleh bercakap dengan lancar. Keadaannya semakin membaik dan kami merujuk pesakit untuk dimasukkan ke dalam wad bagi pemerhatian. Ini kerana, risiko kegagalan organ masih boleh berlaku sekalipun tindakan awal telah berjaya mencapai target untuk menurunkan suhu tubuh.

SIAPA YANG BERISIKO?

strok haba

Tahukah anda, penyakit haba ini sebenarnya terdiri daripada pelbagai spektrum iaitu pada tahap biasa, menyebabkan bengkak pada kaki diikuti dengan pembentukan ruam, rasa panas terbakar dan gatal-gatal, kejang otot, pengsan dan pada peringkat ekstrimnya menyebabkan ‘letih panas’ dan strok haba.

Orang yang berada di usia ekstrim (kanak-kanak dan orang tua), mempunyai masalah kesihatan, menggunakan ubat-ubatan jenis tertentu yang merangsang penghasilan haba dalam tubuh dan tidak melakukan penyesuaian dengan haba melampau adalah lebih berisiko untuk mendapat strok haba.

Oleh itu, elakkan dari melakukan aktiviti berpanjangan di bawah terik mentari. Jika perlu, pastikan anda berehat di antara aktiviti, minum minuman air bergaram yang disarankan WHO dan kerap membasahkan tubuh. Jika anda sudah mula berasa kejang, lesu atau kebas anggota badan, maka cepat-cepat cari tempat berteduh dan sejukkan tubuh anda selain meminum cecair bergaram.

Sekiranya gejala tidak membaik, cepat-cepat datang ke Jabatan Kecemasan. Hubungi ambulan dalam kadar yang segera jika mangsa disyaki mengalami letih panas atau strok haba.

Sumber: Dr Muhamad Na’im Ab Razak, Doktor Perubatan Wilderness & Kecemasan.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×