Riadah/Relax

8 Perkara Tentang Piala AFF Suzuki Yang Anda Mungkin Tak Tahu

1.5K
SHARES

Menjelang perlawanan akhir Piala AFF Suzuki malam antara Harimau Malaya dan pasukan Vietnam, dah tentu ramai rakyat Malaysia yang bersemangat nak menyaksikannya beramai-ramai. Ada yang dapat beli tiket ke stadium, nak tengok siaran live di skrin besar dengan kawan-kawan, atau sambil bersantai di rumah bersama keluarga.

Seperti yang kita sedia maklum, Kejuaraan AFF (Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN) adalah kejohanan bola sepak persatuan antarabangsa dwitahunan yang dipertandingkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) melibatkan 11 buah negara di Asia Tenggara.

Berikut adalah 8 fakta menarik tentang Kejuaraan Piala AFF yang mungkin anda belum tahu.

8 Fakta Menarik Tentang Piala AFF Suzuki Yang Anda Mungkin Tak Tahu

1. Mula Dikenali Sebagai Tiger Cup

Pada awalnya ia dikenali sebagai sebagai Piala Tiger selepas Asia Pacific Breweries yang berpangkalan di Singapura menjadi penaja sejak tahun 1996 hingga edisi 2004.

Selepas Asia Pacific Breweries menarik diri sebagai penaja, pertandingan tersebut dikenali sebagai Kejohanan AFF bermula tahun 2007. Mulai tahun 2008, ia dinamakan Piala AFF Suzuki setelah penajaan diambil alih oleh pihak tersebut.

Tiger Cup pertama tahun 1996 yang dimenangi oleh Thailand. / Foto Kredit: affsuzukicup.com

2. Penganjuran Pertama 1996

Kejohanan ini pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 1996 di Singapura dan gelaran juara berpihak kepada Thailand.

Apa yang menariknya, penjaring gol pertama yang membuka tirai dalam kejohanan tersebut adalah daripada pasukan Malaysia, iaitu K.Sanbagaraman.

Piala AFF Suzuki 2018 ini merupakan edisi yang ke-12.

3. Pasukan Paling Berjaya

Setakat ini, Thailand dilihat sebagai pasukan yang paling berjaya kerana telah membolot gelaran 5 kali kejuaraan iaitu pada tahun 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.

Ini diikuti dengan Singapura yang pernah memenangi 4 kejuaraan, manakala Vietnam dan Malaysia masing-masing pernah menjuarainya sebanyak 1 kali.

Foto kredit: AFF Suzuki Cup 2014

4. Indonesia 5 Kali Ke Final Tapi Kurang Bernasib Baik

Walaupun pernah berjaya ke perlawanan akhir sebanyak 5 kali, Indonesia telah kalah dalam setiap perlawanan tersebut.

Mereka paling hampir dengan kemenangan apabila pasukan Garuda tewas kepada Thailand menerusi sepakan penalti setelah seri 2-2.

5. Penjaring Gol Terbanyak

Noh Alam Shah dari Singapura adalah pemegang rekod gol terbanyak sepanjang tahun dengan 17 gol, di mana gol tersebut telah membantu menyumbangkan kemenangan mereka dalam Piala AFF Suzuki pada tahun 2004 dan 2007.

Dalam sebuah perlawanan sensasi menentang Laos pada tahun 2007, beliau telah menyumbat 7 gol yang mengejutkan penonton dengan keputusan 11-0.

Noh Alam Shah, pemegang rekod penjaring terbanyak setakat ini dengan 17 gol.

6. Parti Gol Terbesar

Bercakap tentang bilangan gol, kemenangan terbesar dalam sejarah Piala AFF ini adalah pada tahun 2002 dengan keputusan 13-1. Pertemuan antara Indonesia dengan Filipina itu menyaksikan kemenangan di tangan Indonesia.

Legenda Garuda Bambang Pamungkas dan Zaenal Arief masing-masing menjaringkan empat gol dalam perlawanan tersebut, lalu melayakkan mereka ke peringkat akhir namun akhirnya kalah di tangan Thailand.

7. Kiatisuk Menang 5 Kali!

Kiatisuk Senamuang boleh dikatakan sebagai individu yang paling sukses dalam kejohanan ini kerana telah memenangi 5 kali Piala AFF Suzuki sebagai pemain (pada tahun 1996, 2000 dan 2002) dan sebagai pengurus (pada tahun 2014 dan 2016).

Kiatisuk Senamuang atau pun Zico sebenarnya bukanlah asing dalam arena bolasepak saingan Liga Malaysia kerana beliau pernah menyarung jersi pasukan Perlis pada tahun 1998.

Kiatisuk pernah beraksi dalam Liga Malaysia dengan pasukan Perlis.

8. Prestasi Malaysia

Malaysia pernah melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam 3 edisi Piala AFF Suzuki iaitu pada tahun 1996, 2010 dan 2014.

Pada tahun 2000 dan 2004/2005 Malaysia berjaya menduduki tempat ketiga manakala pada tahun 1996 dan 2014 pasukan negara menyandang gelaran naib juara setelah tewas di pentas final.

Pada tahun 2010, buat pertama kalinya Harimau Malaya memenangi kejohanan ini, sementara penyerang kebangsaan, Safee Sali turut dianugerahkan Golden Boot dengan 5 gol dalam kejohanan tersebut.

Malaysia menjuarai kejohanan ini buat pertama kalinya pada tahun 2010. / Foto Kredit: The Star

Bahang Kian Terasa!

Menjelang perlawanan akhir pasukan negara menentang Vietnam ini, dah tentu rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi terhadap pasukan kebangsaan agar berjaya mengulangi sejarah yang terlakar pada tahun 2010 yang lalu.

Semoga kemenangan berpihak pada Harimau Malaya!

 

*Sumber: Wikipedia, AFF Suzuki Championship Official Website

 

To Top
SKIP THIS AD ×