Nur

Beri Duit Raya Lebih Besar Pahalanya Pada Syawal Atau Ramadan? Ustazah Asma’ Harun Jelaskan…

7
SHARES
duit raya

Duit raya merupakan adat orang Melayu di Malaysia yang masih dikekalkan. Ia merupakan tanda pemberian ikhlas untuk membuat amalan sedekah. Namun, mungkin ada yang pernah terlintas di benak fikiran sama ada, duit raya lebih besar pahalanya jika diberikan pada bulan Syawal atau Ramadan?

Sekiranya anda ingin tahu, mari lihat perkongsian jawapan yang penuh jelas dari Ustazah Asma’ Harun di bawah. Semoga bermanfaat kepada semua.

Baca juga: Peguam Syarie Kongsi Ilmu & Prosedur Tuntutan Nusyuz (Derhaka) Orang Ramai Kena Cakna

DUIT RAYA LEBIH BESAR PAHALA PADA SYAWAL ATAU RAMADAN?

duit raya

NAK BAGI DUIT RAYA SEMASA SYAWAL ATAU RAMADAN ? MANA LEBIH BESAR PAHALANYA?

SubhanAllah, semakin hari.. semakin dekat Ramadan dengan penghujungnya. Sebak sedih hiba dan gembira semuanya berkumpul dalam satu rasa. Bila bicara tentang duit raya, pasti ramai yang sudah sediakan awal-awal untuk diberikan kepada anak-anak, ibu ayah, adik beradik, saudara-mara dan lain-lain.

Pemberian yang sedikit atau banyak bukanlah ukuran keikhlasan bagi seseorang, jangan sesekali pertikai apa yang diberikan. Tapi nilailah sejauh mana kesyukuran yang kita panjatkan. Penting bagi setiap ibu bapa untuk menasihati dan mengajari anak-anak tentang adab menerima pemberian duit raya. 

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah kepada orang miskin pahalanya satu sedekah, sedangkan sedekah kepada kaum kerabat(keluarga) pahalanya dua; pahala sedekah dan pahala silaturahim.” (HR an-Nasaie, hadis sahih)

SubhanAllah, hebatnya orang Melayu yang menjadikan pemberian duit raya sebagai satu adat dari dulu sehingga sekarang. Ia bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, bahkan di dalam kitab Fathul bari yang dikarang oleh Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani r.a menyebut bahawa;

“Menzahirkan perasaan bergembira pada hari-hari perayaan adalah di antara syiar Islam”.

Walaubagaimanapun, menjadi satu tanda tanya kepada masyarakat kini. Pemberian duit raya lebih baik diberikan semasa Syawal atau Ramadan? Adakah pahala kedua-duanya sama? Adakah salah jika menyalahi adat?

JAWAPANNYA…

duit raya

Sahabat, ganjaran pahala adalah milik Allah. Sebagai hamba-Nya, kita digalakkan bersedekah pada bila-bila masa namun Nabi Muhammad SAW menggandakan amalan sedekahnya apabila menjelang Ramadan.

Maka, disarankan jika ingin lakukan pemberian duit raya, berikanlah lebih awal iaitu dalam bulan Ramadan. Ibn ‘Abbas r.a. berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ، يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ ، فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام ، كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ.

Maksudnya: “Nabi SAW merupakan manusia yang paling pemurah dengan kebaikan. Baginda menjadi lebih pemurah dalam bulan Ramadan, apabila bertemu dengan malaikat Jibril. Jibril akan hadir berjumpa Nabi SAW setiap malam di bulan Ramadan sehingga tamatnya Ramadan. Nabi SAW akan membacakan al-Quran kepada Jibril. Apabila Jibril bertemu baginda, baginda menjadi lebih pemurah daripada angin yang bertiup.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Sheikh Muhammad Hasan al-Dedu al-Shanqiti menjelaskan:

“Sesungguhnya angin mursalah bertiup sangat laju dan akan mengenai seluruh apa yang dilalui. Demikianlah dengan pemberian Nabi Muhammad SAW, memberikan segala-galanya sehingga meliputi seluruh rumah. Ia juga ibarat lajunya pemberian Nabi sehingga baginda memberi sebelum orang meminta, dan baginda menghulurkan bantuan ke tempat yang jauh sebagaimana angin yang bergerak ke tempat yang jauh dalam waktu yang singkat.”

Moga ikhlas dan syukur terus terpahat dalam diri kita sama ada bagi yang memberi atau menerima. Bagi yang tidak mampu, janganlah bersedih hati.

Pemberian duit raya bukanlah satu kewajipan melainkan hanya satu adat yang diraikan. Masih banyak lagi amalan yang boleh dilakukan untuk mengeratkan silaturahim antara kita dan insan lain, insyaAllah.

KESIMPULAN

duit raya

Tidak menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang ingin memberikan duit raya ketika Syawal, akan tetapi amat digalakkan untuk memberikannya ketika Ramadan. Hal ini kerana, Nabi SAW akan menggandakan amalan sedekahnya apabila menjelang Ramadan.

Wallahua’lam.

Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×