Nur

Ustaz Azhar Idrus Jelas Hukum & Waktu Ziarah Kubur Pada Bulan Syawal

21
SHARES

Sudah menjadi sebagai satu amalan umat Islam di Malaysia apabila menjelang bulan Syawal, terutamanya pada 1 hari raya untuk menziarahi kubur kaum kerabat yang telah pergi menghadap Ilahi.

Menurut perkongsian Ustaz Azhar Idrus, tiada ketetapan waktu untuk pergi menziarah apabila seseorang itu berkelapangan pada bila-bila masa sahaja. Disunatkan juga untuk mengucapkan salam kepada penghuni kubur yang diziarahi itu dan berdoa baginya dengan kebaikkan.

Baca juga: Perjuangan Rasulullah SAW Dalam Bulan Ramadan, Dr.Ahmad Sanusi Kongsi Pengajaran Perang Badar

USTAZ AZHAR IDRUS JELAS HUKUM & WAKTU ZIARAH KUBUR PADA BULAN SYAWAL

FIQAH PUASA – Bahagian 34

ZIARAH KUBUR HARI RAYA

HUKUM ZIARAH KUBUR

Hukum ziarah kubur adalah sunat dan sangat dianjurkan oleh syarak.

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sendiri melakukan ziarah kubur ketika hayatnya dan dan demikian juga para sahabat r.a. dan Rasulullah adalah sollalahu alaihi wasallam menyuruh pula umatnya supaya ziarah akan kubur.

FAEDAH ZIARAH KUBUR

Gambar hiasan – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Bermula ziarah kubur itu ada baginya faedah bagi yang ziarah dan yang diziarahi. Antara faedahnya bagi orang yang ziarah itu ialah ianya dapat mengingatkannya tentang kematian dan hari akhirat.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Tholib r.a. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمِ الْآخِرَةَ

Artinya : “Sungguhnya dulu aku melarang kamu sekelian daripada ziarah akan kubur. Maka sekarang ziarahlah kamu sekelian akan kubur. Maka sunguhnya ziarah kubur itu bolih mengingatkan kamu sekelian akan akhirat. “ (Hadith riwayat Imam Ahmad)

Dan pada riwayat yang lain Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

فَزُورُوَا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكّركُمُ الـمَوتَ

Artinya : “Maka ziarahlah kamu sekelian akan kubur maka sungguhnya ia dapat mengingatkan akan kamu kepada kematian.” (Hadith Ibnu Hibban)

WAKTU ZIARAH KUBUR

Sungguhnya tidak ditetapkan waktu untuk ziarah tanah perkuburan itu dengan bulan atau minggu atau hari yang tertentu. Seorang itu harus melakukan ziarah bila sahaja dia berkelapangan pada mana-mana bulan dan pada mana-mana hari yang dia suka.

Sungguh pun ada setengah pendapat yang mengatakan afdhal ziarah pada masa yang tertentu tetapi mereka tidak melarang ziarah pada hari-hari tertentu.

Siapa yang ziarah kubur pada hari apa yang dia suka maka sungguhnya dia telah menunaikan satu perintah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam dan dapat baginya kelebihan ziarah kubur.

HUKUM ZIARAH KUBUR HARI RAYA

Gambar hiasan – Sinar Harian/BERNAMA

Tidak ada perintah daripada agama menyuruh ziarah kubur pada hari-hari yang tertentu seperti pada hari raya atau hari-hari kebesaran yang lain maka kembalilah hukum ziarah kubur pada hari raya ke dalam perintah ziarah kubur yang umum iaitu sunat ziarah kubur sama ada pada hari raya atau lainnya.

Diriwayatkan daripada Atha’ bin Saib berkata ia:

صَلَّيْتُ الْفَجْرَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ فِي يَوْمِ الْفِطْرِ فَإِذَا أَبُوْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَعَبْدُ اللهِ بْنُ مَعْقِلٍ فَلَمَّا قَضَيْنَا الصَّلَاةَ خَرَجَا وَخَرَجْتُ مَعَهُمَا إِلَى الْجَبَانَةِ.

Artinya : “Aku pernah sembahyang subuh pada masjid ini pada hari raya fitrah. Maka bertemu aku dengan Abu Abdul Rahman dan Abdullah bin Ma’qil. Maka selepas kami menunaikan sembahyang keduanya keluar dan aku pun keluar bersama keduanya pergi ke tanah perkuburan Al-Jabanah.” (Musonnaf Ibnu Abi Syaibah)

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

تُسْتَحَبُّ فِي الْعِيدِ زِيَارَةُ الْقُبُورِ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَهْلِهَا وَالدُّعَاءُ لَهُمْ، لِحَدِيثِ: نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا

Artinya : “Disunatkan ziarah kubur pada hari raya dan memberi salam ke atas penghuninya dan berdoa pagi mereka kerana hadith : Dulu aku telah melarang kamu sekelian dari ziarah akan kuburan maka sekarang kamu sekelian ziarahlah akan kuburan.” (Juzuk 31 m.s. 118)

Tersebut pada himpunan fatwa Universiti Al-Azhar:

وَمِنْ هُنَا نَعْلَمُ أَنَّ زِيَارَةَ النَّاسِ لِلْمَقَابِرِ عَقِبَ صَلَاةِ الْعِيْدِ إِنْ كَانَتْ لِلْمَوْعِظَةِ وَتَذَكُّرِ مَنْ مَاتُوْا وَكَانُوْا مَعَهُمْ فِى الْأَعْيَادِ يُنَعَّمُوْنَ بِحَيَاتِهِمْ ، وَطَلَبِ الرَّحْمَةِ لَهُمْ بِالدُّعَاءِ فَلَا بَأْسَ بِذَلِكَ أَبَدًا

Artinya : “Disini dapat kita ketahui sungguhnya ziarah manusia akan kuburan selepas sembahyang hari raya jika adalah bertujuan mendapat pengajaran dan mengingati akan orang-orang yang telah mati yang adalah dahulu mereka hidup bersama orang yang ziarah itu pada hari-hari perayaan merasai kesenangan hidup dan kerana menuntut rahmat Allah dan berdoa bagi mereka maka hukumnya tidak menjadi kesalahan dengan demikian itu selama-lamanya.” (Fatawa Al-Azhar Juzuk 8 m.s. 391)

Dan berkata Dr Syauqi Allam Mufti Neger Mesir:

إن زيارة المقابر مندوب إليها في جميع الأوقات؛ لأن الأمر بها جاء مطلقًا، فشمل ذلك جميع الأوقات، وتزيد أفضلية زيارتها في الأيام المباركة التي يُلتمس فيها مزيد العطاء من الله تعالى، ومنها أيام العيدين

Artinya : “Sungguhnya ziarah tanah perkuburan adalah disunatkan pada sekelian waktu kerana sungguhnya perintah ziarah kubur itu datang secara umum maka termasuklah sekelian waktu dan bertambah kelebihan ziarah kubur itu pada hari-hari yang diberkati yang dituntut padanya kelebihan kurnia Allah Taala. Dan setengah dari hari-hari tersebut ialah hari-hari perayaan.” (Kitab Makarim Al-Akhlak Fi Baiti An-Nubuwwah)

Dan menyebut oleh Ahli Majlis Fatwa Mesir Syeikh Mahmud Syalabi:

إن زيارة المقابر جائزة ومستحبة في أصلها، ويجوز ان تكون الزيارة في يوم العيد وفي غير يوم العيد

Artinya : “Bahawasanya ziarah segala tanah perkuburan itu ialah harus dan disunatkan pada asalnya. Dan harus bahawa adalah ziarah kubur itu pada hari raya dan pada selain hari raya.”

Kemudian hendaklah orang yang ziarah kubur pada hari raya itu tidak melupakan tujuan dianjurkan ziarah kubur iaitu mengingatkan kepada kehidupan akhirat bukan semata-mata ziarah kerana ikut-ikutan sekadar adat.

Dan hendaklah yang ziarah itu mengucapkan salam kepada penghuni kubur yang diziarahi itu dan berdoa baginya dengan kebaikkan dan berfikir tentang kehidupan selepas kematian.

Berkata Imam Al-Imrani As-Syafie:

ويستحب أن يسلم عليهم، ويدعو لهم

Artinya : “Dan disunatkan orang yang ziarah itu ucap salam ke atas penghuni kubur dan berdoa bagi mereka.” (Kitab Al-Bayan)

Sekurang-kurang lafaz salam ialah:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ

Dan yang afdhal ialah ucapan salam yang datang dalam hadith-hadith Nabi sollallahu alaihi wasallam.

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah mengajar para sahabat yang datang ke kubur supaya membaca ucapan:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ

Artinya : Semuga selamat sejahtera atas kamu sekelian wahai ahli kubur dari orang-orang beriman lelaki dan perempuan. Dan sungguhnya kami insyaAllah dengan kamu sekelian pasti akan bertemu. Aku mohon akan Allah bagi kami dan bagi kamu sekelian akan keselamatan.” (Hadith Muslim)

Wallahua’lam

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×