Teknologi

Anda Dah Boleh ‘Renew’ Pasport Guna Aplikasi MyGOV, Ikut 6 Langkah Mudah Ini!

aplikasi MyGOV

Urusan membaharui pasport kini lebih mudah apabila rakyat Malaysia boleh membuat permohonan secara digital tanpa perlu memulakan proses di kaunter. Menerusi aplikasi MyGOV, pengguna boleh mengisi permohonan, membuat bayaran dan memilih lokasi pengambilan pasport.

Kemudahan terbaharu ini diperkenalkan melalui kemas kini MyGOV Malaysia versi 2.1.4 yang diumumkan Kementerian Digital pada 24 November 2026.

Baca juga: MyDigital ID Hanya Boleh Guna Satu Telefon, Ini Cara Batalkan Akaun Lama Sebelum Tukar Peranti

PERBAHARUI PASPORT KINI BOLEH DILAKUKAN MELALUI APLIKASI MyGOV!

aplikasi MyGOV

Apa itu aplikasi MyGOV Malaysia?

MyGOV Malaysia merupakan aplikasi kerajaan yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan agensi awam dalam satu platform.

Selain pembaharuan pasport, pengguna turut boleh mengakses perkhidmatan seperti semakan saman JPJ, semakan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan urusan kesihatan kerajaan.

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery. Pengguna perlu mempunyai akaun MyDigital ID untuk log masuk dan menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Cara renew pasport melalui aplikasi MyGOV

Bagi yang ingin mencuba kemudahan ini, pastikan aplikasi MyGOV Malaysia sudah dikemas kini kepada versi 2.1.4 atau lebih baharu.

Berikut langkah permohonan pembaharuan pasport:

  1. Buka aplikasi MyGOV Malaysia dan log masuk menggunakan akaun MyDigital ID.
  2. Pada halaman utama, pilih menu Perkhidmatan, kemudian kategori Perjalanan dan Pelancongan sebelum klik Pasport.
  3. Pilih Pembaharuan Pasport, baca terma serta syarat dan sahkan maklumat peribadi.
  4. Muat naik gambar pasport digital mengikut spesifikasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
  5. Pilih lokasi pengambilan di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya.
  6. Pilih tempoh sah laku pasport dan buat pembayaran secara dalam talian.
  7. Simpan resit pembayaran dan hadir sendiri ke pejabat imigresen pada tarikh ditetapkan dengan membawa MyKad asal serta pasport lama.

Untuk gambar pasport, pastikan latar belakang berwarna putih, pakaian berwarna gelap dan wajah kelihatan jelas. Gambar swafoto serta imej yang dijana menggunakan AI tidak dibenarkan.

Selain itu, terdapat satu perkara penting yang perlu diketahui kerana bagi fasa awal, pengambilan pasport hanya disediakan di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya.

aplikasi MyGOV

Berapa bayaran renew pasport Malaysia?

Kadar bayaran pembaharuan pasport bergantung pada umur pemohon dan tempoh sah laku yang dipilih.

  • Tempoh 5 tahun: RM200 (umur 13–59 tahun) / RM100 (warga emas 60 tahun ke atas)
  • Tempoh 10 tahun: RM350 (umur 18–59 tahun)

Tinggal di luar Putrajaya? Ini alternatifnya

Bagi penduduk yang tinggal di negeri lain, lokasi pengambilan melalui aplikasi MyGOV mungkin kurang praktikal kerana masih terhad kepada Putrajaya.

Bagaimanapun, orang ramai boleh menggunakan portal MyOnline Pasport Jabatan Imigresen Malaysia untuk membuat pembaharuan secara dalam talian dan memilih pejabat pengambilan yang tersedia.

NOTA:

Hanya Untuk Pembaharuan Biasa: Tidak sesuai jika anda termasuk dalam kategori wajib hadir ke kaunter (seperti permohonan kali pertama, pasport hilang/rosak, bawah 13 tahun, pemegang kad OKU, atau permohonan kadar khas pelajar/jemaah haji).

Sumber: MyGOV

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×