Nur

8 Perkara Tentang Adab Anak Kecil Yang Ibu Bapa Selalu Terlepas Pandang

271
SHARES

Pernahkah kita terfikir bagaimana agaknya zaman remaja yang bakal anak-anak kita tempuhi? Lihat saja media yang memaparkan pelbagai kes disiplin, gaduh, rokok, pergaulan bebas, dan macam-macam lagi. Tentu ada yang fobia dan risau apabila mengenangkan begitu banyak elemen yang mampu menyumbangkan kepada kerosakan dan kecelaruan akhlak sejak kebelakangan ini.

Sebenarnya, semua ini berkait rapat dengan institusi keluarga dan didikan yang menjadi asas pegangan anak-anak sejak kecil lagi. Jangan tunggu mereka besar, baru nak ajarkan semua tentang adab dan akhlak. Sepatutnya, ia dimulakan sejak kecil agar dilazimi sebagai tabiat yang membentuk karakter mereka.

8 Perkara Tentang Adab Anak Kecil Yang Ibu Bapa Selalu Terlepas Pandang

Tidak dinafikan ibu bapa adalah pembimbing dan idola pertama yang akan menjadi ikutan dan memberi kesan besar sepanjang kehidupan mereka. Jadi, beri perhatian kepada 8 perkara ini.

1. Adab Berpakaian

Elakkan menukar pakaian di hadapan anak kecil seawal usia 2 tahun. Biasakan diri dengan sifat malu dan jangan anggap mereka ‘tak tahu apa-apa’.

Apabila anak semakin besar, galakkan anak memakai baju di tempat yang terlindung dan ajarkan mereka tentang aurat serta tekankan pentingnya mempunyai perasaan malu walaupun di dalam rumah.

Foto Kredit: chd.org

2. Pengasingan Tempat Tidur

Menurut buku ‘Berbicara Mengenai Kesihatan Reproduktif Remaja’, anak-anak sepatutnya sudah diasingkan tempat tidur menjelang usia 5-6 tahun. Malah, ada yang berpendapat mereka boleh diasingkan tempat tidur seawal 3-4 tahun.

Jadi, ibu bapa jangan mengambil mudah akan hal ini demi menjaga keharmonian dan maruah ahli keluarga agar tidak terdedah kepada perkara negatif seperti sumbang mahram dan pendedahan aurat yang berlaku tanpa disedari. Sikap anak kecil yang suka meniru tanpa mengetahui baik buruknya dapat mengundang bahaya, terutamanya jika mereka terlihat aktiviti intim ibu bapa mereka.

Foto Kredit: ofpof.com

3. Batas Pergaulan Dengan Orang Dewasa

Bukan mudah mengajarkan anak untuk tidak terlalu percaya kepada orang, terutamanya orang yang lebih dewasa. Tapi, apa yang boleh diusahakan adalah dengan menjaga batas pergaulan. Antaranya, ingatkan anak supaya tidak membiasakan diri duduk di riba orang lain walaupun kenalan rapat, saudara-mara, pakcik, atau datuk, atau sesiapa saja.

Beritahu pada anak bahawa mereka punya hak untuk tidak disentuh atau dipeluk oleh saudara-mara atau orang luar. Jangan paksa anak semata-mata kerana mahu menjaga hati mereka.

tips komunikasi dengan anak

Foto Kredit: understood.org

4. Penapisan Kartun / Gajet Mereka

Sebelum memberikan anak menonton kartun di TV, handphone atau apa-apa video dari internet, pastikan semuanya ditapis terlebih dahulu.

Kini, terlalu banyak ‘ruang’ yang dibolosi oleh anasir jahat untuk mempengaruhi anak-anak kita. Maka, kita pun kena belajar jadi celik IT untuk mengaktifkan mod parental control pada gajet, internet, atau peranti lain yang digunakan oleh anak. Bayangkan, kartun Frozen, Spiderman, bahkan Upin dan Ipin sekalipun ada versi lucahnya!

Peringatan untuk ibu bapa juga, pastikan juga tiada video lucah atau ‘merapu’ yang di download secara sengaja mahupun tidak dalam handphone anda. Anak kecil anda lebih bijak daripada apa yang anda sangkakan. Terlalu mudah bagi mereka untuk mencari dan menjumpai kesemua video ini walaupun anda menyembunyikannya!

Foto Kredit: youtube.com

5. Soal Bersuci

Apabila anak sudah mampu pergi ke tandas sendiri, ajarkan anak cara membersihkan kemaluannya dengan cermat dan betul.

Ingatkan mereka untuk belajar melakukannya sendiri dan jangan sesekali membiarkan orang lain menyentuh bahagian tersebut.

ajar anak ke tandas

Foto Kredit: muncheemoms.com

6. Rutin Makan & Tidur

Percaya tak, hanya dengan mengamalkan rutin makan dan tidur sejak kecil, anak sudah mampu ditanamkan dengan akhlak yang baik.

Walaupun sekecil usia setahun, anda sudah boleh mendidiknya mengangkat tangan dan membaca Bismillah dan duduk setiap kali hendak makan atau minum. Walaupun mereka tidak mampu menyebutnya dengan sempurna dan tidak memahami maksudnya, semua amalan ini akan menjadi tabiat yang membentuk disiplinnya.

Sebelum tidur, selain membacakan ‘bedtime stories’ untuk mereka, biasakan membaca doa, al-Fatihah, Surah 3 Qul, dan sebagainya.

cjglansingerland.nl

7. Sentuhan Tidak Selamat

Biasanya anak perempuan akan diajarkan untuk berkata TIDAK pada sentuhan-sentuhan yang mencurigakan atau sentuhan tidak selamat. Tetapi, ibu bapa yang mempunyai anak lelaki mungkin terlupa untuk mengingatkan atau menegah mereka daripada melakukan sentuhan sedemikian. Ada yang menganggapnya sebagai gurauan dan mengusik sekadar suka-suka, tetapi anak-anak lelaki perlu tahu bahawa ia adalah perbuatan yang sangat tidak bermoral.

Jika anak-anak mengadukan sesuatu berkaitan hal ini, ambil serius dan jangan teragak-agak untuk menyiasat dan ambil tindakan.

mendidik anak islam

8. Pengaruh Rakan Sebaya

Kebanyakan anak-anak berusia 2 hingga 6 tahun akan tinggal bersama kawan-kawan di taska, rumah pengasuh dan ke tadika. Walaupun masih kecil, pantaulah kawan-kawan mereka kerana pengaruh rakan sebaya adalah salah satu faktor yang mampu menentukan akhlak mereka.

Jika ada kesempatan, ambil peluang untuk mendengar jenis ‘bahasa’ mereka semasa berbicara, perhatikan apa yang dilakukan bersama, dan tabiat baru yang dipelajari daripada rakan-rakan tersebut.

Seminar Keibubapaan 2014, Anjuran Little Caliphs - Mendidik Anak Menurut Islam

Foto Kredit: rohaiziabdullah.blogspot.com

Tanamkan Adab & Sifat Malu Dalam Diri Anak Sejak Kecil

Pada usia kecil beginilah ibu bapa perlu berusaha menanamkan adab dan sifat malu dalam diri anak. Selain mendidik, luangkan masa untuk membina hubungan dan kepercayaan dengan anak.

Jika kita memanfaatkan waktu dengan anak semasa kecil ini, lebih mudahlah adab ini dilentur dan sebati dalam diri mereka.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×