“Leka betul di Aira main kinetic sand dekat indoor playground tu tadi. Kalau ada satu set dekat rumah mesti best. Ada ke cara buat kinetic sand sendiri ye?”
Kinetic sand atau pasir ajaib adalah antara permainan yang sangat baik untuk perkembangan motor halus anak.
Ketika pasir itu diramas, ditekan, atau dibentuk, begitu banyak perkara yang dapat dipelajari oleh si kecil.
Seperti juga blok binaan atau play dough, kinetic sand ini membuka imaginasi anak-anak untuk menstimulasi kreativiti tanpa batasan!
Malah, ia juga satu bentuk terapi untuk kanak-kanak. Menurut pengkaji, teksturnya yang halus dan mudah digenggam menjadikannya satu medium yang mampu menenangkan serta membantu kanak-kanak untuk fokus.
Tahukah ibu ayah bahawa ada cara buat kinetic sand sendiri di rumah dengan hanya menggunakan 2 bahan?
Jom kita tengok perkongsian DIY cara buat kinetic sand oleh Niram Munirah menerusi Facebook.
Memang mudah dan menjadi!
Cara Buat Kinetic Sand Guna Tepung & Minyak Masak Je. Lagi Selamat & Confirm Anak Suka
Messy time! DIY kinetic sand.
Sebelum ni ibu pernah buat DIY playdough je. Ni kali pertama nak cuba buat kinetic sand.
Hasilnya boleh tahan walaupun teksturnya mungkin taklah rasa ‘berpasir’ (sandy) macam yang jual kat kedai.
Yang penting still boleh capai tujuan bermain dia. Ia boleh di ‘stamp’ dan dibentukkan.
Memang seronok dan leka anak-anak dapat main kinetic sand ni.
Oh ya, kenapa ibu pilih buat sendiri?
Kan lagi senang kalau beli je?
Salah satu sebabnya ialah Adam masih dalam fasa masukkan benda dalam mulut.
Jadi bagi ibu, ini pilihan untuk bermain dengan lebih selamat.
Nak buat pun senang sangat!
Nah, ibu share resepi dan cara buat kinetic sand ni.
Bahan-bahan
- 2 cawan tepung (ibu guna tepung gandum)
- 1/4 cawan minyak masak + 1 sudu besar minyak masak (resepi asal hanya guna 1/4 cawan minyak masak, tapi saya tambah lagi 1 sudu besar)
Cara Nak Buat Kinetic Sand
Caranya mudah je. Campurkan kedua-dua bahan dan gaul sampai sebati.
Siap!
Beginilah hasilnya…
Boleh tahan juga kan?
Hanya guna 2 bahan pulak tu.
Dapatlah diorang main kereta, dinosaur, dan buat bentuk macam-macam guna kinetic sand ni.
Mudah kan?
Biasanya minyak masak dan tepung gandum tu ada dekat dapur… So, ibu-ibu bolehlah cuba buat kinetic sand ni dekat rumah untuk anak-anak nanti.
Sesekali buat kelainan aktiviti dekat rumah menarik juga, lebih-lebih lagi musim PKP ni.
Barulah mereka tak bosan dan dapat explore kreativiti masing-masing.
Selamat mencuba!
[Baca juga: DIY Kolam Renang Mini Di Rumah Guna Tangki Air Je. Jimat & Mudah, Anak Pun Seronok!]
*Cara buat kinetic sand ini dikongsikan oleh Niram Munirah menerusi Facebook. Ia telah disunting dan dikongsikan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan tentang DIY ini, bolehlah rujuk posting asal beliau di SINI.