Siapa sangka perkenalan secara atas talian membuatkan pasangan ini berjaya bergelar suami isteri. Azrien Aluwi, 30 dan suaminya Mohd Qaiyum,29 merupakan pemenang minggu pertama bagi peraduan yang dianjurkan menerusi Kempen Masam Masam Manis. Kisah si isteri bersalin normal di rumah dan suami menjadi bidan terjun membuatkan mereka dipilih kerana itu merupakan satu momen indah.
Perkenalan mereka pada 2019 bermula dari kawan dan lebih rapat apabila si lelaki mempunyai hajat yang serius untuk menghalalkan Azrien.
Baca juga: Hampir Putus Asa Cari Pasangan Hidup, Akhirnya Bertemu Jodoh Di Aplikasi. “Dia Lelaki Kiriman Tuhan”
BERSALIN NORMAL DI RUMAH, SUAMI JADI BIDAN TERJUN
“Kami berdua sama-sama jatuh cinta pada pandangan pertama, dia juga sangat serius untuk menghalalkan saya. Setiap hari kami berhubung bertanya khabar, sehinggalah keluarga saya bercuti ke Kedah dan singgah ke rumah dia.
“Selepas itu perbincangan menjadi lebih serius ke arah persiapan tunang dan berkahwin. 22/8/2020 kami bertunang dan tak pernah berjumpa langsung selepas tunang kerana PKP.
“Persiapan kahwin seperti baju sanding dan nikah saya sendiri agak sizenya dan Alhamdulilah muat. 9/10/2021 kami bernikah dan berlangsung di Selangor,” jelas wanita itu.
Setelah 7 bulan perkahwinan, mereka akhirnya dikurniakan cahaya mata dan pengalaman melahirkan pada tarikh 10/12/2022 itu tidak dapat dilupakan apabila suami sendiri yang menyambut anak mereka di dalam bilik.
“Masa itu situasi memang tidak dijangka, saya mengalami sakit perut macam salah makan. Saya sempat minum air segelas, kemudian kontraksi berlaku dan secara tiba-tiba kaki bayi saya keluar dulu.
“Saya meminta suami untuk tarik, Alhamdulilah suami tarik dengan berhati-hati dan berjaya keluarkan bayi perempuan dengan selamat walaupun keadaannya songsang ketika itu,” ujarnya.
Si suami dengan pantas menelefon ambulans dan menceritakan kejadian tersebut. Pihak hospital memberi arahan untuk mengikat tali pusat bayi mereka.
“Tiga-tiga saling berpandangan dan terkejut dengan apa yang terjadi. Kami tunggu nurse dan dokter sampai di rumah, dalam satu jam juga uri dan tali pusat masih di dalam perut tetapi bayi saya sudah membuka mata. Dia hanya nangis 3 saat sahaja dan mata memerhati sekeliling,” cerita Azrien kepada penulis.
Pengalaman melahirkan Nur Aisyah Inara sudah pastinya tidak dapat dilupakan sehingga kini namun itu adalah satu kebanggaan kerana mampu mengharunginya bersama suami tersayang.
“Saya berharap semoga kami kuat semangat dalam mengharungi alam rumah tangga dan menjadi pasangan sehati sejiwa hingga hujung nyawa kami,” ujarnya.
Baca juga: Ibu Tolong Carikan Pasangan Di Aplikasi TillJannah, Tak Sangka Akhirnya Bercinta Selepas Nikah
Amaran: Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman website yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.