Sihat

5 Perkara Wanita Malu Nak Tanya Tentang Kesihatan Vagina. Perlukah ‘Meruang’?

243
SHARES
meruang

“Ish, memang tak selesa kalau ada keputihan ni. Ada kawan aku kata kena bersihkan. Tapi nak bersihkan macam mana? Patut jumpa doktor ke, kena makan jamu ke, atau ada rawatan khusus?”

Setiap wanita pasti mementingkan kesihatan terutamanya pada bahagian peranakan. Terdapat pelbagai tips dan petua turun-temurun bagi penjagaannya, dan antara petua yang hangat didebatkan sekarang ialah meruang.

Apakah meruang? Dan adakah ia perlu untuk kesihatan vagina wanita? Mari kita semak selanjutnya.

5 Perkara Wanita Malu Nak Tanya Tentang Kesihatan Vagina. Perlukah Meruang?

1. Apakah Maksud Meruang Faraj?

Meruang ialah memasukkan benda asing seperti jari, herba, ubatan, atau alatan khusus yang bertujuan membersihkan atau mengeluarkan lendiran dari dalam faraj.

Sesetengah menganggap meruang adalah tidak sama dengan vaginal douching, namun Dr Afida Sohana menegaskan bahawa kedua-dua aktiviti ini mempunyai konsep dan risiko yang sama – iaitu mampu mengganggu keseimbangan mikroflora di dalam faraj.

Ramai pengamal tegar kaedah ini mempertahankan bahawa meruang mampu meningkatkan kesihatan rahim, mengatasi keputihan, serta mengurangkan bau kurang pada kawasan tersebut. Namun begitu, tiada bukti secara perubatan yang kukuh tentang keberkesannya sehingga kini.

Salah satu cara meruang yang didapati di internet.

2. Perlukah Meruang Untuk Membersihkan Organ Intim Dalaman?

Ada yang merasakan lebih selesa dan bersih selepas meruang kerana kotoran dapat ditanggalkan. Namun hakikatnya menurut pakar, meruang dengan cara memasukkan benda asing ke dalam vagina menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan bakteria baik dan jahat di dalam persekitarannya. Jumlah bakteria yang seimbang seterusnya mewujudkan keasidan optimum bagi vagina yang sihat.

Sungguhpun begitu, bukanlah bermaksud kita tidak perlu mencuci vagina dengan teliti. Tidak dinafikan bahawa wanita perlu membersihkan antara lipatan bibir vagina semasa mencucinya, namun bukanlah hingga ‘menjolok’ ke dalam faraj. Dalam Islam juga, bahagian tubuh yang perlu dicuci semasa berhadas hanyalah bahagian tubuh yang zahir, tidak termasuk organ dalaman.

masalah faraj berbau

Foto Kredit: healthewomen.co.uk

3. Kenapa Ia Tidak Digalakkan Oleh Doktor & Petugas Kesihatan?

Sesetengah wanita berpendapat meruang memberi kesan baik kepada vagina kerana ia adalah cara untuk membersihkan dalaman daripada sisa darah selepas kitaran haid. Namun begitu, ramai pakar kesihatan menasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu persekitaran semulajadi vagina.

Sebarang masalah yang serius seperti keputihan yang teruk, lendiran berwarna atau berbau seharusnya dirujuk kepada doktor agar pemeriksaan lanjut dapat mengenalpasti puncanya. Jika anda sudah mempunyai masalah jangkitan bakteria, meruang boleh memburukkan lagi keadaan dengan menolak jangkitan jauh ke dalam uterus dan tiub fallopian. Penyakit keradangan pelvik juga dapat berlaku jika jangkitan pada vagina merebak sehingga ke organ peranakan.

Selain itu, meruang atau vaginal douching dikhuatiri boleh mendedahkan wanita kepada kehamilan luar rahim serta kesukaran untuk hamil.

Foto Kredit: onfertility.com

4. Jadi, Bagaimana Menjaga Kebersihan Vagina Yang Sepatutnya?

Sebenarnya vagina adalah anggota yang “self-cleaning” atau bersifat mencuci dengan sendirinya. Kotoran akan keluar dengan sendirinya daripada dalam dengan bentuk mukus atau hingus, bergantung kepada rutin harian seseorang. Namun ia adalah normal selagi rutin kebersihan dititikberatkan:

  • Amalkan pemakaian seluar dalam dan seluar yang selesa, tidak terlalu ketat.
  • Pilih material daripada fabrik kapas yang tidak panas.
  • Ganti seluar dalam dengan kerap, sekurang-kurangnya 4 jam sekali.
  • Cuba beralih kepada pemakaian pad organik atau panty liner yang diperbuat daripada kain kapas dan boleh dibasuh.
  • Elakkan memakai sabun pencuci kecuali ianya telah dilabel selamat untuk vagina.
  • Hentikan makanan tinggi gula, fast food, junk food, dan termasuklah jeruk yang tinggi bahan pengawet.
  • Banyakkan pengambilan sayuran hijau, probiotik, air mineral 1.5-2L sehari.
  • Boleh ambil air rebusan herba yang dibuat sendiri untuk tenaga atau khasiat dalaman. Tapi, elakkan keterlaluan dalam mengamalkannya.

Douching mungkin hanya dapat mengurangkan bau pada waktu yang singkat sahaja. Dr Hana Hadzrami mengingatkan jika douching dilakukan secara kerap, ia akan memusnahkan bakteria baik yang memelihara kesihatan faraj, malah menghakis lapisan perlindungan dinding faraj. Tanpa lapisan perlindungan ini, kuman dan bakteria mudah menjangkiti alat kelamin dan seterusnya merebak di kawasan peranakannya tanpa sebarang halangan. Oleh itu, jika anda risaukan vagina yang mengeluarkan bau yang kuat atau terasa gatal, dapatkan nasihat daripada pakar dengan segera.

meruang

5. Benarkah Meruang Dapat Memperbaiki Hubungan Intim?

Secara semulajadinya, douching atau meruang membuatkan cecair semulajadi di dalam vagina berkurangan. Cecair ini melekat pada dinding vagina dan bertindak sebagai pencuci semulajadi dalaman. Apabila cecair berkurangan, maka keadaan dalam vagina menjadi kering dan mengganggu persekitaran optimum vagina.

Meruang dengan cara memasukkan jari juga boleh menyebabkan risiko luka atau jangkitan ketika melakuan hubungan intim. Jika selalu melakukan meruang dan tidak kena pada caranya, dibimbangi lebih ‘longgar’ pula jadinya.

Cara selamat yang dianjurkan untuk menjaga keintiman organ wanita adalah dengan mengamalkan senaman lantai pelvik, iaitu senaman Kegel.

tips mudah bersalin

Foto Kredit: cosmopolitan.com

Pentingnya Mengetahui Cara Penjagaan Yang Betul

Semua wanita inginkan kecantikan dari segi luaran termasuklah dalaman. Namun, jangan keterlaluan mengamalkan petua yang tiada bukti saintifiknya.

Jangan malu-malu dan menganggap kesihatan bahagian intim tidak boleh dibincang secara terbuka kerana sesuatu yang taboo. Kerana sikap begini, kebanyakan wanita mengambil jalan pintas dengan mencari informasi sendiri di sumber-sumber yang tidak sahih di Internet. Akibatnya, maklumat yang diperoleh mungkin tidak tepat. Malah, wanita mungkin terpengaruh dengan produk tertentu yang tidak semestinya menangani punca masalah yang dihadapi, malah mungkin mengundang pula masalah kesihatan lain.

Akhir kata, jika ragu-ragu terhadap kesihatan vagina, jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×