Famili

Apakah Itu Inflasi? Ini Kesannya Kepada Rakyat Malaysia

1
SHARES

Secara umumnya, inflasi merupakan kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu. Kadar inflasi lazimnya diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa.

Ekonomi sesebuah negara yang mengalami inflasi semestinya akan memberikan kesan besar kepada perbelanjaan isi rumah pengguna. Namun, bagaimana pula inflasi boleh memberi kesan kepada rakyat Malaysia? Sama ada ia memberikan kesan positif atau sebaliknya.

Baca juga: PRU15: Cantik Bukan Sekadar Rupa, Ini 5 Calon Wanita Bertanding Kerusi Parlimen

KESAN POSITIF INFLASI

Sekadar gambar hiasan.

Kadar inflasi Malaysia pada bulan Ogos meningkat kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai lalu seperti dilaporkan Berita Harian, pada September. Hal ini kerana fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran serta harga bahan api.

Antara kesan positif inflasi kepada rakyat dan negara adalah menggalakkan orang ramai untuk banyak menyimpan duit simpanan di bank berbanding berbelanja. Hal ini berlaku kerana, inflasi menyebabkan kadar faedah simpanan yang ditawarkan oleh bank lebih tinggi daripada sebelum berlakunya inflasi.

Manakala bagi penghutang pula, inflasi memberi kelebihan kepada mereka kerana kadar faedah pinjaman tidak berubah disebabkan jumlah hutang benar yang perlu dibayar balik telah berkurang.

KESAN NEGATIF INFLASI

Sekadar gambar hiasan.

Dari sudut lain iaitu kesan negatif inflasi pula, sekiranya kadar inflasi tinggi ia akan menaikkan kos sara hidup serta mengurangkan taraf kebajikan masyarakat. Hal ini disebabkan oleh, kenaikan tingkat harga umum mengurangkan pendapatan masyarakat dan mengurangkan kuasa beli pengguna.

Bahkan, bagi individu yang memiliki pendapatan tetap serta penerima pencen, kos sara hidup menjadi semakin tinggi sekali gus akan membebankan taraf kebajikan mereka.

Selain itu, ia akan menurunkan nilai mata wang negara dan menyebabkan pengaliran modal jangka pendek ke luar negara. Keadaan ini juga secara tidak langsung akan memburukkan imbangan pembayaran negara.

EKONOMI MALAYSIA DISIFATKAN AGAK KETINGGALAN – DATUK JOHARI ABDUL GHANI

Gambar: Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dari tahun 2016 hingga 2018.

Sementara itu, Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pernah meluahkan rasa bimbang terhadap ekonomi Malaysia yang disifatkan agak ketinggalan berbanding negara-negara di rantau ASEAN seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada Mac lalu.

“Kedudukan ekonomi negara sungguh membimbangkan saya. Kalau kita lihat beberapa indikator (petunjuk) ekonomi, ia tidak menunjukkan kita berada dalam kedudukan yang selesa.

“Dari segi KDNK tahun 2021, ekonomi kita berkembang pa­ling corot jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain.”

Malah, Johari turut memaklumkan bahawa jumlah hutang negara telah meningkat pada tahun lalu. Daripada hutang negara berjumlah RM686 billion pada 2018 meningkat hingga mencecah lebih RM1 trillion pada tahun lalu, iaitu peningkatan RM320 billion.

“Dengan hutang-hutang yang begitu tinggi, pembayaran faedah juga makin bertambah sehingga mencecah lebih RM42 billion setahun. Sedangkan pendapatan negara tidak berkembang selari dengan pendapatan kerajaan.”

Katanya lagi, antara tiga perkara penting lain yang perlu diberi perhatian adalah kestabilan politik, pemimpin yang cekap, pemimpin yang berintegriti serta mempunyai pelan jangka pendak yang panjang yang berkesan.

Dalam pada itu, beliau kini merupakan ketua UMNO Wilayah Persekutuan dan bakal bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini, merupakan seorang akauntan mengikut profesion.

Johari memulakan kerjayanya di firma perakaunan antarabangsa Peat Marwick & Company. Sejak itu, beliau telah memegang beberapa jawatan kanan dalam arena korporat.

Malah, beliau lebih dikenali di kalangan ahli perniagaan sebagai strategis pemulih korporat berikutan kejayaan memulihkan beberapa syarikat terkenal berprofil tinggi yang sebelumnya mencatatkan kerugian.

STRUKTUR SEMULA EKONOMI, KURANGKAN KESAN INFLASI

Sekadar gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Azwardi)

Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata inflasi di Malaysia tidak mungkin dapat dihapuskan, namun kerajaan mampu mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat dan negara.

Ujarnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah meningkatkan penghasilan produk makanan khususnya makanan asas menerusi pelbagai kaedah lebih komprehensif.

“Rakyat kini sudah celik ekonomi, inflasi diperkatakan di mana-mana sahaja kerana ia menyebabkan harga barang naik dan sudah tentu keadaan itu perit bagi kebanyakan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ekonomi negara kita berdepan masalah kerana terlalu cepat beralih kepada sektor perkhidmatan tanpa mempunyai pelbagai produk buatan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Malah, Malaysia tidak mempunyai banyak produk yang dihasilkan sendiri dan terlalu bergantung kepada pelabur asing. Susulan daripada itu, pihak kerajaan perlu menggerakkan syarikat kerajaan (GLC) untuk melabur dalam sektor perkilangan produk dan juga sektor pembuatan.

“Malaysia terlalu cepat berubah dari negara pembuatan produk kepada perkhidmatan menyebabkan kita terlalu bergantung kepada eksport barangan buatan syarikat multinasional yang melabur di sini.

Contohnya, pengeluaran beras negara tidak mampu penuhi keperluan dalam negara. Hampir 40 peratus daripada keperluan beras negara diimport dari Thailand, Vietnam, Kemboja dan India,” ujarnya.

Menurutnya, jurang pendapatan semakin tinggi dan jika tidak ditangani, ia bakal memberi impak buruk kepada negara dalam jangka masa yang panjang.

“Wang rakyat perlu diuruskan dengan baik dan semestinya mengikut acuan dan cara kita,” katanya lagi.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×