Selepas hampir tujuh bulan tidak menjamah makanan, seekor anakonda hijau bernama Diana mencuri perhatian apabila berjaya melahirkan 10 ekor anak di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka pada 5 Oktober lalu.
Ular sepanjang 2.74 meter itu melalui tempoh bunting kira-kira 190 hari sebelum melahirkan anak-anaknya di pusat konservasi berkenaan. Lebih menarik, kejayaan ini bukan sekadar menambah bilangan spesies tersebut, malah menjadi bukti kejayaan pembiakan generasi kedua anakonda hijau di Malaysia.
TUJUH BULAN ‘PUASA’, ANAKONDA HIJAU HADIAHKAN 10 ANAK

Gambar Danish Roseni: Pengarah Urusan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong (kanan) menunjukkan 10 anak spesis ular terbesar, Anakonda Hijau di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Ayer Keroh.
Pengarah Urusan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, pencapaian itu amat bermakna kerana Diana sendiri dilahirkan di taman berkenaan pada Ogos 2020.
“Kejayaan ini cukup bermakna kerana Diana sendiri antara anak anakonda yang dilahirkan di taman ini pada Ogos 2020.
“Kelahiran generasi kedua ini membuktikan usaha konservasi dan pembiakan spesies eksotik dari Amerika Selatan dapat dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia,” katanya pada sidang media kelahiran 10 ekor anak ular spesies ular terbesar di dunia di Taman Rama-Rama dan Reptilia di Ayer Keroh, pada Jumaat lepas.
Anakonda hijau perlukan penjagaan rapi
Menurut Gerard, kejayaan pembiakan spesies yang berasal dari Amerika Selatan itu turut menunjukkan kemampuan pihak taman dalam menyediakan kemudahan dan penjagaan yang diperlukan oleh reptilia eksotik.
Antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian ialah kawalan suhu, kebersihan air serta aliran arus yang menyerupai habitat semula jadi anakonda hijau di sekitar Sungai Amazon.
Penjagaan rapi ini penting bagi memastikan persekitaran yang sesuai untuk spesies berkenaan, sekali gus menyokong usaha pembiakan dan pemuliharaan hidupan liar.
“Selain menjadi tarikan pendidikan, kejayaan pembiakan Diana turut memberi peluang kepada pasukan kami untuk mendokumentasikan dan memahami dengan lebih dekat proses reproduktif anakonda hijau,” katanya.
Kejayaan itu juga mengukuhkan kedudukan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka sebagai pusat yang menempatkan populasi anakonda hijau terbesar di Malaysia, dengan jumlah keseluruhan melebihi 40 ekor.
23 Anak Buaya Kaiman Turut Berjaya Ditetaskan

Gambar Facebook Tourism Melaka.
Selain kelahiran 10 anak anakonda hijau, taman berkenaan turut mencatatkan satu lagi kejayaan apabila sebanyak 23 anak buaya kaiman berjaya ditetaskan daripada sekumpulan telur.
Seperti anakonda hijau, reptilia ini juga berasal dari Amerika Selatan, termasuk kawasan sekitar Lembangan Amazon.
Bagi meraikan kejayaan pembiakan kedua-dua spesies itu, pihak taman merancang menganjurkan karnival khas dalam masa terdekat untuk memberi peluang kepada orang ramai dan pencinta haiwan melihat anak-anak reptilia tersebut dengan lebih dekat.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk sesi menamakan anak haiwan, melukis muka dan pameran pendidikan.
Selain menjadi tarikan kepada pengunjung, inisiatif ini turut membuka peluang untuk orang ramai mengenali dengan lebih dekat spesies reptilia eksotik serta memahami kepentingan usaha konservasi hidupan liar.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Tourism Melaka
