Percutian

5 Air Terjun Yang Menarik Di Malaysia. Pemandangan Cantik!

2.9K
reads
Air Terjun Yang Menarik di Malaysia

Air Terjun Yang Menarik di Malaysia

Dengan cuaca panas yang melanda negara kita, tentu anda inginkan tempat yang sejuk untuk berendam kan? Apa kata kita bawa seisi keluarga berkelah ke tempat di bawah iaitu senarai air terjun yang menarik di Malaysia. Anda pasti menyukainya.

1. Air Terjun Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor

Air Terjun Yang Menarik di Malaysia

Foto Kredit: http://pitoorestes.blogspot.com

Sungai Chiling adalah antara air terjun yang menarik di Malaysia. Boleh dikatakan, antara yang popular di Selangor. Ia terkenal dengan kecantikannya. Namun, mungkin tidak beberapa sesuai untuk mereka yang mempunyai anak kecil atau bayi. Ini kerana anda perlu merentasi sungai sebanyak lima kali sebelum sampai ke destinasi.

Jika air pasang, air sungai boleh naik sehingga ke paras pinggang dan juga berdepan dengan air deras. Di sana juga, ada santuari ikan. Yang minat jungle trekking juga boleh menikmati keindahan alam.

Baca sendiri pengalaman Hafidz yang meredah sungai dan memberi makan ikan. Cuma harus diingat, di sini tidak boleh lakukan aktiviti BBQ.

2. Air Terjun Ulu Geruntum, Gopeng, Perak

Air Terjun di Malaysia

Foto Kredit: Utusan

Seterusnya anda boleh ke Ulu Geruntum di mana terdapat beberapa air terjun di mana ada kawasan rendah yang senang untuk diakses dan kawasan tinggi di mana anda perlu merentasi sungan dan mendaki sedikit untuk sampai. Tetapi kedua-duanya adalah cantik dan disertai dengan air deras dan cantik.

Menurut Hanim Rahmat, kena bayar RM3 untuk ke kawasan yang lebih selamat. Kata beliau lagi, kawasan di sana sangat bersih dan tiada sampah makanan atau minuman. Sangat privacy!

Sumber dari Utusan Malaysia menyatakan, ada aktiviti ekstrim boleh dijalankan di sini seperti waterfall abseiling. Bagi yang meminati sukan lasak, Air Terjun Ulu Geruntum memang sangat sesuai dengan jiwa anda!

 

 3. Air Terjun Lata Kinjang, Tapah, Perak

Air Terjun di Malaysia

Foto Kredit: kosmo.com.my

 

Lata Kinjang boleh dilihat dari Lebuhraya Utara Selatan dan turut menyumbang kepada kepopularannya. Sesampainya anda di sini, anda perlu melalui sebatang jambatan gantung untuk ke kawasan air terjun. Ia merupakan di antara air terjun tertinggi di Malaysia. Juga antara air terjun yang menarik di Malaysia!

Anda perlu mendaki sedikit untuk sampai ke sini. Tetapi bila anda di atas, dengan air bersih dan pemandangan lebuhraya memberikan pengalaman yang agak berbeza berbanding tempat-tempat lain.

Sumber Kosmo mengatakan, Lata Kinjang terkenal dengan mitos Sang Kelembai. Kononnya, bekas tapak kaki, lesong menumbuk padi dan tapak semaian sayur sang kelembai yang telah disumpah menjadi batu masih boleh dilihat sehingga kini.

 

4. Air Terjun Giam Klimau, Miri, Sarawak

Air Terjun di Malaysia

Foto Kredit: expatgomalaysia.com

Pernahkah anda terbayang anda berada di sebalik air terjun dan melihatnya dari perspektif yang lain? Jika ya, keunikan tersebut boleh didapati di sini. Tidak jauh dari Gua Niah, anda perlu melalui beberapa pos keselamatan kerana ia adalah kawasan persendirian.

Tetapi setibanya di lokasi, anda tidak perlu berjalan jauh untuk sampai. Lagi satu keunikan adalah air terjun itu jatuh ke batu dan tidak membentuk takungan. Tidak berapa jauh dari air terjunnya barulah anda boleh berenang.

Untuk pengetahuan, dalam Bahasa Bidayuh, ‘giam‘ bermaksud air terjun. Sila cuci mata di sini untuk gambar Air Terjun Giam Klimau yang beresolusi tinggi. Jika ke Sarawak, jangan lupa singgah ke Giam Klimau, antara air terjun yang menarik di Malaysia!

 5. Air Terjun Sungai Kanching, Rawang, Selangor

air-terjun-kanching-selayang

Foto Kredit: http://unikversiti.blogspot.com/2010/10/air-terjun-kanching-selayang-baru.html

 

Akhir sekali, anda boleh ke kawasan Hutan Lipur Kanching berdekatan Taman Rimba Templer yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur. Dari tepi jalan besar, kebanyakan orang akan perasan signboard Hutan Lipur Kanching. Itu sahaja.

Tidak banyak diketahui apa yang ada di dalam. Bila sampai di tempat letak kereta, rupanya ramai pelancong asing yang singgah ke sini. Pelancong Arab ada, pelancong Eropah juga ada. Air terjun Sungai Kanching ini tersenarai antara tempat percutian menarik di Selangor.

Anda juga boleh menaiki pengangkutan awam dengan bas untuk ke sini. Amat popular dengan keluarga yang ingin berpiknik dan bersantai di hujung minggu bersama ahli keluarga. Yang lebih menakjubkan di sini adalah kerana terdapatnya tujuh buah air terjun.

Sambil mandi, anda perlu berhati-hati kerana terdapat banyak monyet liar di sini yang mungkin datang mengambil makanan yang anda bawa.

Cuma ambil masa dalam 10 minit sahaja untuk sampai ke air terjun. Kami pasti, selepas dengar deruan air terjun itu, hilang semua penat lelah.

Lupa nak beritahu, air terjun ini ada 7 tingkat. Kalau larat, dipersilakan naik!

Akhir kata

Demikianlah senarai air terjun yang menarik di Malaysia, ada yang senang untuk sampai ke destinasi; tidak kurang yang agak berliku.

Tetapi jika anda seseorang yang cintakan alam sekitar dan ingin berehat sebentar dari kesibukan bekerja, pastikan anda melawat air terjun yang berhampiran anda dalam masa terdekat.

Yang Popular

To Top