Hampir sahaja seorang wanita warga emas kehilangan RM10,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan cinta atau love scam, namun tindakan pantas seorang pemandu e-hailing yang mengesyaki sesuatu tidak kena berjaya menyelamatkan wang tersebut.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang pada Rabu kelmarin ketika wanita berusia 71 tahun itu dihantar ke sebuah cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Rembau.
Baca juga: Berjaya Bekukan Akaun Scammer Selepas Bengang Ditipu RM150, Lelaki Ini Dedah Taktik Mudahnya!
NENEK HAMPIR HILANG RM10,000 AKIBAT ‘LOVE SCAM’

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, pemandu e-hailing berkenaan mula berasa curiga dengan urusan yang ingin dilakukan mangsa sebelum mengambil keputusan menghubungi Balai Polis Rembau.
“Pemaklum yang mengesyaki transaksi tersebut mempunyai scammer kemudian menghubungi Balai Polis Rembau,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Polis tiba sebelum 10K sempat lesap
Susulan maklumat tersebut, Timbalan Ketua Polis Balai Rembau bersama beberapa anggota segera bergegas ke bank berkenaan.
Ketika polis tiba, warga emas tersebut sedang cuba memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam akaun yang dipercayai diberikan oleh pihak sindiket.
“Setibanya di lokasi, mangsa sedang cuba memasukkan wang sebanyak RM10,000 ke dalam akaun berkenaan. Transaksi tersebut berjaya dihentikan dan wang RM10,000 itu dimasukkan semula ke dalam akaun BSN milik mangsa,” katanya.
Baca juga: Dapat Panggilan Tapi Tiada Suara? Jangan Jawab, Itu Perangkap Terbaru Scammer!
Bukan pertama kali mangsa buat transaksi kepada sindiket

Namun, semakan awal polis mendapati wanita berkenaan dipercayai bukan kali pertama membuat transaksi kepada pihak sindiket.
Sebelum ini, mangsa dikatakan sudah membuat dua transaksi berjumlah RM4,950 dan RM4,900 kepada akaun milik pihak berkenaan. Jika dijumlahkan, mangsa dipercayai sudah menyerahkan RM9,850 sebelum hampir membuat satu lagi transaksi RM10,000.
Kes ini turut menjadi peringatan kepada orang ramai supaya lebih peka terhadap warga emas atau individu yang kelihatan mencurigakan ketika melakukan pengeluaran atau transaksi wang dalam jumlah besar.
Menerusi hantaran di Facebook Balai Polis Rembau, orang awam turut diseru supaya segera memaklumkan kepada balai polis berhampiran sekiranya melihat situasi yang mencurigakan.
Dalam kes ini, keprihatinan seorang pemandu e-hailing akhirnya menjadi titik penting yang menghalang seorang nenek daripada kehilangan RM10,000 lagi kepada scammer.
Sumber: Kosmo! / Facebook Balai Polis Rembau
FT Image: Balai Polis Rembau
