Tragedi kebakaran rumah di Kampung Tok Jembal, Terengganu pagi tadi bertukar pilu apabila seorang bapa dan anak lelakinya ditemukan rentung dalam bilik tidur di tingkat atas rumah tersebut.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dan anaknya, Rehan Yusuf, 9.
BAPA & ANAK DITEMUI RENTUNG BERPELUKAN DALAM BILIK TIDUR

Gambar Kosmo!: Anggota bomba sedang mengangkat mayat Rehan Yusof yang maut dalam kebakaran di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan berpelukan di dalam bilik selepas anggota bomba berjaya memasuki tingkat atas rumah.
Jasad mereka dikeluarkan dari rumah berkenaan kira-kira pukul 8.40 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Seorang lagi mangsa iaitu ibu Amirul Fahmi, Maimunah Muda, 67, berjaya diselamatkan penduduk kampung yang menyedari kebakaran terbabit,” katanya di lokasi kejadian di Kampung Tok Jembal, di sini, hari ini.
Difahamkan, isteri Amirul Fahmi, Nur Izah Ahmad, yang berusia dalam lingkungan 30-an tidak berada di rumah ketika kejadian.
Dia yang baru selesai berpantang ketika itu berada di rumah ibunya di Paloh, Kuala Terengganu bersama dua lagi anak mereka yang masing-masing berusia tiga bulan dan tiga tahun.
Baca juga: Tragedi Awal Pagi…Demi Selamatkan Keluarga, Isteri Masuk Semula Rumah Sebelum Tiga Ditemui Rentung!

Allahyarham Amirul Fahmi dan anaknya Rehan Yusof.
Terdahulu, Shahrin Yusmar berkata, sepasukan 24 pegawai dan anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran pada pukul 2.49 pagi.
Beliau berkata, usaha untuk menyelamatkan Amirul Fahmi dan anaknya, Rehan Yusuf yang terperangkap di tingkat atas rumah menghadapi kesukaran ekoran api kebakaran terlalu marak.
“Kami hanya dapat menaiki tingkat atas dengan menaiki kerangka besi selepas tiga jam dan menemui mayat kedua-dua mangsa dalam keadaan berpelukan.
“Mayat mereka telah diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Baca juga: Puluhan Belut ‘Terlepas’ Atas Lantai Gerabak, Dengan Tenang…Penumpang Ramai-Ramai Cuba Tangkap!
Sumber: KOSMO!
FT Image: KOSMO!
