Raptai merdeka bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-69 kini memasuki fasa akhir apabila kira-kira 1,500 murid dari 36 sekolah di Selangor menjalani latihan bagi menjayakan persembahan human graphic di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.
Persembahan tahun ini dijangka tampil dengan kelainan menerusi gabungan 16 lagu daripada pelbagai genre, selain penggunaan beberapa peralatan dalam persembahan yang melibatkan ribuan murid.
1500 MURID SERTAI RAPTAI MERDEKA HUMAN GRAPHIC

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ithnin Mahadi berkata, kesemua peserta merupakan murid sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Menurut beliau, persiapan telah dimulakan sejak Julai lalu dengan murid menjalani latihan secara berasingan mengikut sekolah masing-masing sebelum dikumpulkan bagi sesi latihan di lokasi sambutan.
“Latihan sudah bermula sejak Julai lalu dengan murid dikenal pasti dan berlatih secara berasingan di sekolah masing-masing sebelum digabungkan untuk menjalani latihan di tapak pada fasa akhir ini,” katanya.
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, latihan kini memasuki peringkat terakhir dengan beberapa sesi raptai sedang dijalankan, termasuk raptai penuh membabitkan kesemua 16 lagu.
Ithnin berkata, senarai lagu yang dipilih merangkumi lagu patriotik, lagu etnik, lagu kenegerian serta karya yang lebih dekat dengan generasi muda atau Gen Z.
Jumlah peserta tahun ini bagaimanapun lebih kecil berbanding tahun lalu yang menyaksikan penyertaan kira-kira 2,000 murid.
Namun begitu, pengurangan jumlah peserta tidak bermakna persembahan kali ini kurang menarik kerana terdapat beberapa elemen baharu yang diketengahkan.
Antaranya ialah kepelbagaian genre lagu, penggunaan peralatan seperti kompang dan tamborin, selain pembentukan grafik Malaysia MADANI serta paparan elemen etnik yang mewakili kepelbagaian masyarakat di Malaysia.
“Kelainannya ada tiga. Pertamanya dari segi genre lagu, ada 16 lagu yang menggabungkan lagu-lagu terkini yang dekat dengan Gen Z, lagu asli dan sebagainya.
“Keduanya, kita selitkan penggunaan peralatan dalam persembahan seperti kompang, tamborin, plotting Malaysia MADANI serta grafik etnik-etnik di Malaysia,” katanya.
Kebajikan 1,500 murid turut diberi perhatian

Penglibatan peserta dari 36 sekolah memerlukan perancangan rapi, khususnya dari aspek pergerakan murid, pengangkutan serta penyediaan makanan dan minuman sepanjang tempoh latihan.
Ithnin menjelaskan, persiapan yang berlangsung selama beberapa bulan itu turut melibatkan kos yang tinggi kerana murid perlu digerakkan secara berperingkat dari sekolah ke lokasi latihan.
“Cabaran pertama tentulah untuk menggerakkan anak-anak ini. Kita pastikan kebajikan mereka dari segi makan minum dan pengangkutan.
“Bukan kita laksanakan sehari dua, tetapi berbulan-bulan. Jadi pergerakan dan sebagainya melibatkan kos yang agak tinggi,” ujarnya.
Dalam masa sama, aspek keselamatan dan keselesaan peserta turut diberi perhatian terutama ketika latihan mula dilakukan di tapak terbuka.
Bagi mengurangkan pendedahan murid kepada cuaca panas, sesi latihan di lokasi turut disusun mengikut masa yang bersesuaian.
Menurut Ithnin, sebelum pentas siap sepenuhnya, sebahagian latihan dijalankan di dalam dewan. Hanya beberapa hari terakhir sahaja peserta mula menjalani latihan secara langsung di tapak.
Persembahan Human Graphic 2026 nanti akan dibahagikan kepada lima segmen utama, iaitu Preshow, Pergendangan, Kemuncak Rentak MADANI Paluan Tradisi, Lagu Tema dan Sokongan.
Persembahan tersebut dikendalikan Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Rosmonaliza Ahmad, dengan dibantu seramai 23 jurulatih.
Baca juga: Geram Sangat Radio Jiran Terlalu Bising, Warga Emas 77 Tahun Didakwa Bakar Depan Rumah!
Sumber: UTUSAN
