Pernah tertanya-tanya kenapa azan kedengaran lebih awal daripada waktu Subuh? Persoalan itu turut menarik perhatian pelakon Remy Ishak apabila dia hairan mendengar azan 2 kali sekitar jam 5 pagi di kawasan Jalan Ampang.
Menerusi hantaran di Threads, Remy berkata dia sering terdengar azan pada waktu berkenaan sedangkan waktu Subuh di kawasan tersebut ditetapkan sekitar jam 6.01 pagi.
Baca juga: Pantau Proses Sertu Sebelum Buka Restoran, Adam Corrie Fikir Kebajikan Solat Pekerja Raih Pujian
PENJELASAN SUBUH ADA AZAN 2 KALI

Gambar mubi.com: Remy Ishak
“Saya selalu terdengar bunyi azan tepat jam 5 pagi walaupun waktu Subuh di Jalan Ampang jam 6:01am. Adakah perkara ini normal atau saya seorang X-Men?” tulisnya secara berseloroh, tetapi ingin tahu.
Persoalan tersebut kemudian dijawab seorang pengguna Threads yang menjelaskan bahawa laungan azan sebelum masuk waktu Subuh mempunyai tujuan tertentu.
Rupanya azan pertama sebagai peringatan
Menurut pengguna @fakhrimamat, amalan melaungkan azan Subuh sebanyak dua kali merupakan sunnah Nabi SAW.
Katanya, azan pertama dilaungkan sebelum masuk waktu Subuh sebagai peringatan bahawa waktu tersebut semakin hampir. Ia juga menjadi tanda kepada umat Islam bahawa waktu sahur hampir berakhir, khususnya ketika bulan Ramadan.
Sementara itu, azan kedua dilaungkan apabila masuk waktu Subuh dan menandakan bermulanya waktu untuk menunaikan solat fardu berkenaan.
Penjelasan itu turut mendapat perhatian ramai dengan lebih 3,300 tanda suka. Remy kemudian mengucapkan terima kasih atas penerangan tersebut sambil mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
Baca juga: Boleh Berjimak Walaupun Tiada Air Untuk Mandi Wajib? Tapi..Sebelum Bersetubuh Ada Syaratnya!

Ramai turut baru tahu perkara sama
Persoalan Remy ternyata turut mewakili rasa ingin tahu orang lain apabila beberapa pengguna Threads mengakui mereka juga pernah tertanya-tanya apabila terdengar dua laungan azan pada awal pagi.
Ada yang menyangka bunyi azan pertama mungkin disebabkan kesilapan pendengaran sebelum mengetahui ia mempunyai tujuan tersendiri.
“Laaa patutlah saya pun pernah dengar, ingat telinga salah dengar,” komen seorang pengguna.
Seorang lagi menyifatkan perkongsian tersebut sebagai satu contoh baik kerana soalan yang diajukan akhirnya membuka ruang untuk orang ramai memperoleh ilmu.
“Alhamdulillah, pahala Remy bertanya, jawapan dapat ilmu dapat dikongsi bersama,” katanya.
Ada juga pengguna berkongsi pengalaman mendengar dua azan di kawasan perumahan masing-masing, terutama ketika berada di rumah yang baru diduduki.
Perbincangan itu secara tidak langsung memberi penjelasan kepada mereka yang sebelum ini mungkin tertanya-tanya mengenai perbezaan antara laungan azan pertama dan kedua.
Sumber: Threads @remyishak
FT Image: mubi.com
