Euforia Bola 2026
Inspirasi

Siapa Lim You? Kaki Kiri ‘Berbisa’ Pemain Umur 14 Tahun Ini Meledak 7 Gol, Mimpi Ngeri Buat Arab Saudi!

lim you

Usianya baru 14 tahun, namun aksi Lim You ketika membantu Malaysia membelasah Arab Saudi 9-0 dalam Piala Srikandi Merdeka 2026 mencuri perhatian apabila pemain muda itu meledak tujuh gol dalam satu perlawanan.

Baca juga: Dulu Iring Penumpang Di Awan Biru, Kini ‘Abang Belon’ Cipta Gubahan 3D Luar Biasa Hingga Jadi Rujukan Artis Dunia

LIM YOU LEDAK 7 GOL, DEDAH PUNCA BISA KAKI KIRINYA

lim you

Gambar IG @srikandimerdekacup

Lebih mengagumkan, hampir kesemua jaringannya hadir menerusi penyudah berkualiti, termasuk beberapa percubaan dari luar kotak penalti yang mempamerkan ketepatan serta kekuatan kaki kirinya.

Pemain kacukan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) itu tampil bertenaga sepanjang 90 minit di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia, sekali gus menjadi mimpi ngeri buat barisan pertahanan Arab Saudi.

7 gol, satu persembahan luar biasa

Lim You membuka akaun jaringannya seawal minit kelapan sebelum menggandakan kelebihan pada minit ke-22 dan 27. Ketajamannya tidak terhenti selepas rehat apabila dia kembali mencetak gol pada minit ke-57.

Dia kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75 sebelum melengkapkan pesta gol peribadi menerusi jaringan pada minit ke-83 dan 85.

Secara keseluruhan, tujuh gol daripada pemain berusia 14 tahun itu menyumbang sebahagian besar daripada kemenangan besar 9-0 Malaysia ke atas Arab Saudi.

Lebih istimewa, pencapaian itu dilaporkan mencipta sejarah apabila Lim You menjadi pemain bola sepak wanita Malaysia pertama yang menjaringkan tujuh gol dalam satu perlawanan rasmi antarabangsa.

Prestasi berkenaan turut menyerlahkan kelebihan kaki kirinya yang menjadi antara senjata utama pemain muda tersebut.

Baca juga: “Wow, Macam Filem Transformers!”- Murid PPKI Hasilkan Video VFX Hebat, Cikgu Jadi Pembimbing Serlahkan Bakat

Ayah latih kaki kiri sejak kecil

lim you

Gambar IG @srikandimerdekacup (1) (2)

Di sebalik kehebatan itu, Lim You mendedahkan kemahirannya menggunakan kaki kiri bukan hadir secara kebetulan.

Sebaliknya, ayahnya sudah melatih kaki kiri pemain muda itu sejak kecil kerana menganggap kelebihan tersebut sebagai satu keistimewaan dalam bola sepak.

Menurut Lim You, tidak ramai pemain yang berkaki kiri menyebabkan dia bersyukur memiliki kelebihan tersebut.

Namun, dia tidak menganggap tujuh gol yang dijaringkan ketika menentang Arab Saudi sebagai kejayaan dirinya seorang. Sebaliknya, pemain itu memberikan kredit kepada rakan sepasukan yang membantu mencipta peluang sebelum dia menyempurnakannya.

“Mengenai tujuh gol itu, ia bukanlah kredit untuk saya seorang kerana rakan sepasukan yang menghantar bola kepada saya dan saya cuma membantu menyempurnakannya,” katanya.

Kemenangan besar itu turut membantu Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua dengan empat mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan Hong Kong tetapi memiliki kelebihan dari segi jaringan.

Lebih menarik, Malaysia berjaya mara ke separuh akhir walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Dishanna Nagarajan Pillay dilayangkan kad merah.

Baca juga: Hebat! Atasi 131 Peserta Dari 24 Negara, Pegawai PASKAL Ini Raih Anugerah Tertinggi Kursus ‘Sniper’ Di China

Bakal uji kemampuan lawan thailand

Selepas mencuri tumpuan di peringkat kumpulan, Lim You kini berdepan cabaran lebih besar apabila Malaysia dijadualkan bertemu Thailand pada aksi separuh akhir Piala Srikandi Merdeka 2026.

Pemain muda itu mengakui ada sedikit tekanan menjelang perlawanan tersebut, namun memilih untuk menjadikan tekanan berkenaan sebagai pembakar semangat.

Baginya, bola sepak ialah permainan yang dinikmati dan dia sentiasa teruja untuk turun ke padang tanpa mengira siapa lawan yang bakal ditemui. Lim You juga berharap dapat membantu pasukan negara melangkah ke final dan membawa pulang trofi untuk Malaysia.

Dengan usia yang masih muda, persembahan tujuh gol itu pastinya menjadi antara detik penting dalam perkembangan kariernya.

Lebih daripada sekadar mencipta rekod, aksi tersebut turut memberi gambaran bahawa Malaysia mempunyai prospek baharu yang wajar diberi perhatian dalam pembangunan bola sepak wanita negara.

Sumber: Harian Metro / Berita Harian

FT Image: IG @srikandimerdekacup

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×