Makanan taska menjadi antara perkara yang sering diberi perhatian ibu bapa ketika memilih pusat penjagaan atau pendidikan awal untuk anak-anak.
Namun, seorang ibu meluahkan rasa terkilan selepas mendakwa menu yang disediakan di playschool anaknya tidak seperti yang diharapkan walaupun yuran bulanan yang dibayar agak tinggi.
Baca juga: Lagi 3 Hari Nak Bertunang, Wanita Reda Majlis Bertukar Jadi Tahlil… “Semua Persiapan Sudah Siap”
MAKANAN TASKA SEDIAKAN TAK SETIMPAL DENGAN HARGA YURAN

Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, pengguna dikenali sebagai @naily_nxjwa mendakwa yuran bulanan playschool anaknya boleh dikatakan agak mahal, namun dia mempersoalkan hidangan yang diberikan kepada anak.
“Hantar anak ke playschool yang bulanannya boleh kata mahal juga, tetapi bagi makan ini sahaja ke kepada anak saya? Saya masak lagi berkhasiat rasanya.
“Bila saya kata mahu bawa makanan yang dimasak sendiri ke sekolah, cikgu tidak galakkan. Cikgu galakkan anak makan makanan yang sekolah sediakan. Tetapi macam tidak cukup zat ini. Taska anak korang makanan cukup zat tak?” tulisnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada ibu bapa lain yang turut berkongsi pengalaman masing-masing mengenai penyediaan makanan di taska dan tadika.
Seorang pengguna yang bekerja sebagai guru taska berkata, pihak pengurusan perlu lebih peka terhadap makanan yang diberikan kepada kanak-kanak kerana mereka juga mempunyai anak.
“Tak serba salah ke cikgu itu kemas kini perkara seperti ini? Kami juga guru taska, tetapi tidak sanggup memberi anak makan seperti itu sebab tahu kami pun ada anak.
“Ini menu taska kami. Kadang-kadang guru buat menu yang berbeza seperti soto dan lontong. Anak-anak taska berselera sahaja makan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna berkongsi pengalaman selepas pernah membuat aduan kepada pihak tadika berikutan menu makanan yang disediakan tidak seperti diharapkan.
RAMAI LUAH PERKARA SAMA!

“Dulu saya pernah mengadu kepada tadika anak. Sudahlah bayar mahal, tetapi anak diberikan makan biskut kering sahaja dicicah milo. Setiap kali balik rumah, anak kelaparan sampai tidak sempat buka kasut. Bila pindah ke Taski, anak balik siap bercerita makanan sedap-sedap seperti soto, nasi ayam, spaghetti dan mi kari,” ujarnya.
Turut berkongsi pengalaman, seorang bekas pekerja tadika mendakwa pernah berdepan situasi sama sehingga mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Saya ada pengalaman bekerja di tadika yang menyediakan makanan seperti ini. Saya berhenti sebab rasa seperti bersubahat. Bayaran mahal, tetapi banyak perkara yang ditipu,” luahnya.
Rata-rata ibu bapa bersetuju aspek pemakanan di taska dan playschool perlu diberi perhatian kerana ia memainkan peranan penting dalam tumbesaran serta perkembangan kanak-kanak.
Baca juga: Tular Celah Dinding Tandas OKU Di R&R Nampak CCTV! Risau..Pengguna Harap Isu Privasi Ini Disiasat
Sumber: Threads Naily Nxjwa
