Pernahkah anda berada dalam situasi di mana balik sahaja rumah selepas penat bekerja atau penat mengemas rumah seharian, tengok anak-anak masih melekat depan TV atau telefon? Muka masing-masing dah nampak ‘lemau’, mata cengkung tapi bila disuruh tutup terus mengamuk.
Akhirnya, suara mak-mak juga yang terpaksa naik ‘octave’ tinggi semata-mata nak suruh tutup skrin. Akhirnya, seluruh rumah menjadi stres.
Sebenarnya, ketagihan skrin atau screen time dalam kalangan anak-anak zaman sekarang memang cabaran besar.
Dalam pada itu, takkanlah setiap hari kita nak kena bertekak dan bertempur emosi dengan anak?
Ayuh cuba 5 cara mesra psikologi ini untuk kawal screen time anak tanpa perlu anda terjerit-jerit lagi!
1. Pakai ‘timer’ visual, bukan ‘timer’ suara ibu
Bila kita cakap, “Lagi 5 minit tutup TV!”, anak-anak kecil sebenarnya tak faham konsep masa. 5 minit bagi mereka rasa macam 5 saat!
Caranya: Gunakan alarm telefon atau kitchen timer yang ada paparan visual/bunyi yang jelas. Beritahu anak:
“Bila jam ni bunyi ‘tring!’, maksudnya TV kena rehat. Jam yang cakap, bukan ibu tau!”
Bila bunyi alarm kedengaran, alihkan ‘kesalahan’ itu kepada jam. Ini mengelakkan anda kelihatan seperti ‘penjahat’ di mata anak.
2. Beri ‘tanda amaran’ mengikut transisi aktiviti

Jangan secara tiba-tiba tekan butang off remote TV sewaktu anak tengah syok layan kartun kegemaran mereka. Memang mengamuklah jawabnya!
Bina ransangan transisi dengan beri amaran secara berperingkat:
Amaran 1: “Habis episod ni, kita tutup ya.”
Amaran 2: “Lagi 2 minit kartun ni nak habis, bersedia nak tutup.”
Bila anak sudah bersedia secara mental, proses transisi daripada skrin ke aktiviti lain akan jadi jauh lebih lancar.
3. Cipta ‘zon bebas skrin’ dan peraturan yang jelas
Sukar untuk minta anak berdisiplin kalau peraturan berubah-ubah. Hari ini bagi tengok 3 jam sebab mak sibuk, esok marah pula bila anak tengok 1 jam.
Tetapkan peraturan asas yang konsisten di rumah:
- Tiada skrin semasa makan.
- Tiada skrin 1 jam sebelum tidur.
- Tiada skrin dalam bilik tidur.
Bila peraturan ini jadi rutin harian, anak tidak akan bertanya atau meminta-minta lagi sebab mereka dah tahu julat masa yang dibenarkan.
4. Sediakan ‘tukaran aktiviti’ yang menarik
Anak jadi ‘lemau’ dan tak mahu lepas gajet sebab mereka tak tahu nak buat apa bila skrin ditutup. Rasa bosan adalah musuh utama mereka.
Sebelum suruh tutup TV, pastikan anda sudah ada alternatif sedia ada:
Ajak buat aktiviti fizikal ringkas contohnya membuat kerja rumah atau sekadar bermain lego bersama.
Sediakan bahan mewarna atau kraf di atas meja sebelum TV ditutup.
Bawa keluar bermain di halaman rumah untuk dapatkan udara segar.
5. Ibu bapa perlu ‘lead by example’
Ini bahagian paling pedih tapi jujur. Anak-anak adalah cermin kita. Kalau kita sendiri asyik memegang telefon sambil bercakap dengan anak, sukar untuk kita suruh mereka lepaskan gajet.
Cuba wujudkan waktu untuk satu keluarga contohnya dari jam 7.00 malam hingga 9.00 malam yang membolehkan anak-anak melihat ibu dan ayah tanpa memegang telefon. Mereka akan rasa tindakan itu adil dan lebih mudah bekerjasama.
Mendidik anak dalam era digital memang memerlukan kesabaran yang tinggi.
Jangan rasa bersalah kalau sesekali ‘terbabas’ bagi anak tengok TV, tapi pastikan kita sentiasa ada kawalan.
Cuba amalkan trik di atas secara perlahan-lahan. Semoga rumah anda makin tenang tanpa ada lagi drama terjerit-jerit hanya disebabkan sebuah ˆ TV!
