Menurut statistik yang dikeluarkan oleh LPPKN, kebanyakan wanita boleh disembuhkan daripada penyakit ini sekiranya ia melibatkan pengesanan awal dan rawatan kanser payudara selanjutnya.
Lebih tepat lagi, ‘survival rate’ 5- tahun untuk kanser payudara adalah 75%,manakala sekiranya dikesan pada peringkat awal, kebarangkalian untuk jangka hayat 5-tahun adalah 93%.
Jadi, kebanyakan pesakit kanser payudara boleh dirawati, dan peluang mereka bertambah cerah apabila ia dapat dikesan pada peringkat awal.
5 Jenis Rawatan Kanser Payudara
1. Jenis Pembedahan
Tujuan pembedahan ialah untuk membuang tisu kanser payudara yang juga disebut ‘lumpectomy’.
Rawatan pembedahan melibatkan pembuangan keseluruhan atau sebahagian daripada payudara dan kelenjar ketiak. Jadi, terapi konservatif ini tidak melibatkan pembuangan tisu normal.
Terdapat 5 Kategori Pembedahan:
- Pembuangan sebahagian payudara (Partial (segmental mastectomy): Pembedahan ini melibatkan pembuangan lebih tisu payudara berbanding dengan (lumpectomy). Ia biasanya diikuti dengan radioterapi.
- Pembuangan sebahagian atau seluruh payudara (simple or total mastectomy): Dalam pembedahan ini, keseluruhan payudara yang terlibat dibuang, tetapi kelenjar limfa di ketiak dan otot-otot di bawah payudara tidak dibuang.
- Pembuangan payudara radikal diubahsuai (Modified radical mastectomy): Pembedahan ini melibatkan pembuangan seluruh payudara yang terlibat dan sebahagian kelenjar limfa di ketiak.
- Pembuangan payudara radikal (Radical mastectomy): Pembuangan seluruh payudara, yang terlibat kelenjar limfa dan otot-otot bahagian bawah payudara.
- Pembedahan bahagian ketiak (Axillary dissection): Pembedahan ini dilakukan untuk memastikan sama ada kanser payudara telah merebak ke kelenjar limfa di ketiak atau tidak. Sebahagian kelenjar akan dikeluarkan dan diperiksa dibawah mikroskop.
Wanita yang telah kehilangan keseluruhan payudara boleh menjalani pembedahan membentuk semula payudara.
2. Kimoterapi
Kimoterapi bertindak sebagai ubat pembunuh sel kanser yang diberi melalui salur darah atau secara pil memakan.
Ubat kimoterapi memasuki salur darah ke seluruh badan. Sekiranya kimoterapi diberi selepas pembedahan ia dapat mengurangkan kemungkinan kanser berulang.
Kimoterapi adalah rawatan utama yang diberi sekiranya kanser telah merebak menjangkaui luar payudara dan di kawasan ketiak atau rebakan meluas selepas rawatan pertama.
Kimoterapi juga diberi sebelum pembedahan, biasanya untuk mengecilkan saiz bengkakan dan mudah dibuang.
Rawatan kanser payudara ini diberi dalam beberapa kitaran, setiap kitaran diikuti dengan tempoh rehat. Jumlah kitaran rawatan biasanya sehingga 3 – 6 bulan. Biasanya kombinasi beberapa ubat diberi.
Kesan sampingan kimoterapi bergantung kepada jenis, jumlah dan tempoh ubat-ubat diberi:
• Sangat letih kerana kekurangan sel darah merah
• Loya dan muntah
• Hilang selera makan
• Rambut gugur
• Kudis mulut
• Perubahan kitaran haid (mungkin berkekalan)
• Risiko jangkitan meningkat kerana kekurangan sel darah putih
• Lebam atau pendarahan dari luka kecil disebabkan oleh kekurangan sel pembeku darah
3. Terapi Radiasi
Rawatan kanser payudara jenis ini melibatkan penggunaan pancaran bertenaga tinggi (seperti x-ray) untuk membunuh atau mengecut sel-sel kanser. Radiasi mungkin dari luar badan (radiasi luaran) atau dari bahan radioaktif yang diletakkan pada ketumbuhan (brachytherapy). Ia juga dikenali sebagai proses radioterapi.
Rawatan bertujuan memusnahkan sel kanser yang masih tertinggal di dalam payudara, dinding dada atau bahagian ketiak selepas pembedahan. Kadang-kadang ianya digunakan untuk mengurangkan saiz ketumbuhan sebelum pembedahan.Setiap rawatan mengambil masa beberapa minit.
Rawatan ini biasanya diberi 5 hari seminggu sebagai pesakit luar, selama 6 atau 7 minggu. Ia bermula sebulan selepas pembedahan.
Kesan sampingan utama terapi radiasi ialah bengkak dan merasa berat pada payudara, kesan kemerahan pada kawasan berkenaan dan keletihan.
4. Terapi Hormon
Hormon estrogen menggalakkan pertumbuhan sel-sel kanser payu dara pada sesetengah wanita. Terapi hormon adalah sejenis kaedah untuk menghalang atau mengurangkan paras estrogen untuk merawat kanser payu dara.
Ubat tamoxifen bertindak untuk menghalang kesan estrogen. Ia diambil dalam bentuk pil, biasanya setiap hari selama 5 tahun selepas pembedahan. Ia mengurangkan risiko kanser daripada berulang.
‘Aromatase inhibitors’ ialah sejenis ubat yang menghalang tubuh membentuk estrogen. Ia hanya berkesan untuk wanita yang telah putus haid dan kanser yang dihidapinya positif hormon (reseptor estrogen positif).
5. Rawatan Anternatif
Terdapat beberapa jenis rawatan alternatif yang boleh sebagai tambahan kepada rawatan klinikal seperti acupressure, acupuncture, urutan, produk herba, vitamin atau diet khas, gambaran, meditasi dan rawatan rohaniah.
Ramai wanita yang berasa lebih tenang dan sihat dengan rawatan sedemikian. Walaubagaimanapun, sesetengah jenis rawatan ini mungkin berbahaya atau mengganggu rawatan doktor.
Oleh itu, sebelum mencuba cara rawatan ini, bincangkan terlebih dahulu dengan doktor anda.
Saringan Awal Dan Rawatan Kanser Payudara Di Malaysia
Menurut laman web LPPKN, selain menjalani saringan awal di hospital kerajaan atau swasta, perkhidmatan ini juga diberi oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur. Ianya percuma untuk kakitangan kerajaan dan pesara kerajaan di semua hospital kerajaan.
Untuk pesakit lain, kosnya adalah RM 100 di hospital kerajaan. Di hospital swasta pula, kosnya tidaklah begitu mahal, iaitu sekitar RM 120-200.
Pelan rawatan yang selanjutnya akan dibincang oleh doktor dengan anda. Kebiasaannya, jenis rawatan yang sesuai bergantung kepada umur, peringkat pertumbuhan kanser, jenis kanser, dan penilaian khusus oleh doktor.
Anda boleh mendapat perkhidmatan ini dari mana-mana klinik kesihatan, klinik LPPKN ( Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara), klinik FPA ( Persatuan Perancang Keluarga) dan klinik swasta.