Rakyat

Anda Dengar ‘Yanny’ Atau ‘Laurel’? Ini Penjelasan Kepada Klip Audio Misteri Tersebut

1.2K
SHARES

Jika pada tahun 2015, netizen kecoh dengan isu dress biru hitam atau putih emas, baru-baru ini, timbul pula isu misteri sebuah klip suara berdurasi 3 saat.

Yang menariknya tentang klip suara ini, ada sesetengah orang yang mendengar ‘Yanny’ dengan begitu jelas, ada sebahagian pula yang mendengar ‘Laurel’. Ada juga yang boleh dengar kedua-duanya dengan jelas. Seperti kes dress biru hitam atau putih emas, pasti ada penjelasan saintifik di sebaliknya.

Isu dress biru atau emas yang pernah menjadi perdebatan hangat

Misteri Ilusi Audio

Pakar psikologi, Prof David Alais berpendapat bahawa ilusi audio ini merupakan rangsangan persepsi yang samar seperti ilusi visual muka / pasu yang popular di bawah ini.

Ia boleh dilihat dengan dua cara, dan minda kita sering berbalik di antara dua tafsiran tersebut. Hal ini terjadi kerana minda yang tidak dapat memutuskan antara kedua-dua informasi tersebut.

Dalam kes ‘Yanny / Laurel’ ini, klip suara tersebut bersifat samar kerana kedua-dua bunyi mempunyai ‘timing’ dan kadar tenaga yang sama. Sebab itulah ia kedengaran sungguh mengelirukan. Tak percaya, cuba dengar klip audio di bawah.

Faktor Usia & Frekuensi

Ada sesetengah yang mendengar satu perkataan secara jelas 100%. Pendengaran yang jelas tanpa samar pula mungkin terjadi kerana beberapa faktor.

Faktor pertama ialah faktor usia. Kesan penuaan pada kebolehan seseorang mendengar mengurangkan sensitiviti pada bunyi berfrekuensi tinggi. Menurut sumber, frekuensi yang lebih rendah akan menyebabkan anda mendengar perkataan ‘Laurel’ manakala frekuensi yang lebih tinggi membuatkan seseorang cenderung mendengar sebutan ‘Yanny’.

Ada pakar juga yang berpendapat bahawa apa yang anda dapat dengar bergantung kepada jenis peranti, ‘earphone’ dan ‘speaker’ yang digunakan. Ia bergantung kepada tahap frekuensi, amplitud, dan jenis ‘speaker’ yang digunakan semasa klip tersebut dimainkan.

Professor Brad Story menganalisis sifat akustik daripada perkataan ‘yanny’ dan ‘laurel’ dan membandingkannya dengan suara daripada klip tersebut dan suara beliau sendiri. / Foto Kredit: Brad Story

Jawapan Sebenar Adalah ‘Laurel’

Jadi, apa jawapan sebenarnya? Mengikut pemuat naik video asal tersebut, klip tersebut sebenarnya menyebut ‘Laurel’. Macam mana pula tu?

Kisahnya bermula apabila Katie Hetzel, seorang pelajar Flowery Branch High School di Georgia sedang mencari maksud ‘Laurel’ di laman web Vocabulary.com. Semasa menekan butang audio bagi perkataan tersebut, dia terkejut kerana mendengar perkataan ‘Yanny’ dan bukannya ‘Laurel’.

Oleh kerana tak puas hati, dia memainkan audio tersebut di dalam kelas dan masing-masing juga memberi reaksi yang bercampur. Ada yang kata ‘Laurel’, dan ada yang kata ‘Yanny’. Atas rasa ingin tahu, Katie memuatnaik post tersebut di Instagram Story dan selepas itu ia mula menjadi viral di laman sosial yang lain.

Apapun, anda tak perlu risau dengan tahap pendengaran anda kerana audio tersebut tidak begitu jelas kualitinya dan ia bukanlah sesuatu yang kita biasa dengar sebelum ini.

Yang pasti, ia sememangnya begitu ajaib dan cukup menghairankan kerana ‘Yanny’ dan ‘Laurel’ bukanlah perkataan yang hampir sama bunyinya. Tak percaya, dah banyak video ‘pergaduhan’ yang tular seperti video di bawah ini. Semuanya gara-gara ‘Laurel’ atau ‘Yanny’ ini!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×