Baru-baru ini, isu mengenai warga asing yang didakwa bekerja sebagai pemandu pelancong di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad telah mendapat perhatian ramai.
Isu tersebut mula menjadi perhatian selepas beberapa gambar pekerja warga asing yang memakai seragam merah tular di media sosial.
Baca juga: Daripada Duduk Rumah Je Cuti Sekolah, Apa Kata Bawa Seisi Keluarga Ke 10 Air Terjun Cantik Ini!
TULAR WARGA ASING DIDAKWA JADI PEMANDU PELANCONG

Tangkap layar dari video yang tular.
Dalam satu hantaran di Threads, seorang pengguna meluahkan rasa kurang senang selepas melihat pekerja berkenaan, termasuk seorang yang memakai selempang, yang disangka sedang menjalankan tugas sebagai pemandu pelancong.
Menerusi perkongsian tersebut, pemuda tersebut mempersoalkan kewajaran memberikan jawatan pemandu pelancong di Bangunan Sultan Abdul Samad kepada warga asing, sedangkan masih ramai anak tempatan yang memerlukan peluang itu.
“Kenapa sekarang jawatan sebagai pemandu pelancong di Bangunan Sultan Abdul Samad dibuka kepada warga asing? Dan tak ada rakyat Malaysia ke nak ditawarkan jawatan ini?” soalnya.
Dia turut meluahkan rasa kesal kerana ketika golongan muda negara sering dikritik tiada pekerjaan tetap dan terjebak dengan gejala merempit, peluang keemasan di tapak warisan negara sebaliknya dilihat seolah-olah lebih diutamakan kepada orang luar.
Baca juga: Ombak KLCC Bakal Jadi ‘Port’ Baru Warga KL… Selain Pokémon Center, Ini 50+ Kedai & Tarikan Menanti!
Penjelasan KL City Gallery

Tangkap layar dari video yang tular.
Bagaimanapun, persoalan yang timbul itu akhirnya mendapat penjelasan daripada pihak pengurusan KL City Gallery.
Menurut pihak pengurusan, pekerja warga asing yang muncul dalam gambar tular tersebut sebenarnya bukan pemandu pelancong dan tidak pernah dilantik oleh syarikat untuk menjalankan tugas berkenaan.
Sebaliknya, kekeliruan berlaku apabila salah seorang kakitangan berkenaan memakai selempang ketika sedang bertugas.
Pemakaian selempang itu dipercayai menyebabkan pengunjung menyangka individu terbabit merupakan pemandu pelancong rasmi yang sedang membawa pelawat di kawasan berkenaan.
Pemandu pelancong semuanya warga tempatan
Dalam pada itu, pihak pengurusan turut memberi jaminan bahawa kesemua pemandu pelancong yang bertugas membawa pelawat di KL City Gallery dan Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan warga tempatan.
“Kami memohon maaf atas kesalahfahaman yang timbul dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang,” jelas wakil pengurusan dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya lagi, pengalaman dan keyakinan pengunjung juga kekal menjadi antara keutamaan pihak pengurusan.
Penjelasan tersebut sekali gus menjawab persoalan yang timbul dalam kalangan warga maya berhubung dakwaan warga asing mengambil peranan sebagai pemandu pelancong di salah satu lokasi warisan terkenal negara.
Secara keseluruhannya, kontroversi yang tular ini mencerminkan sensitiviti dan rasa cinta yang mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap identiti warisan negara. Pujian juga harus diberikan kepada pihak pengurusan yang bertindak tangkas bagi meredakan keadaan daripada terus disalah erti.
Semoga dengan pencerahan penuh ini, masyarakat dapat kembali berkunjung serta menghayati keindahan sejarah di Bangunan Sultan Abdul Samad tanpa sebarang keraguan.
Lihat di Threads
Sumber: Threads @klcitygallery
