Seorang wanita berusia 60 tahun di China menjadi perhatian selepas selamat melahirkan anak kedua, bayi perempuan seberat 2.8 kilogram, dua tahun selepas melahirkan anak lelaki ketika berusia 58 tahun.
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) yang memetik Red Star News, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Zhang memilih untuk kembali mempunyai anak selepas kehilangan satu-satunya anaknya pada 2022.
Baca juga: “Janganlah Cakap Begitu Tun” – Ketua Jururawat Kongsi Kata-Kata Terakhir Tun Dr Hasmah…
WANITA 60 TAHUN LAHIRKAN ANAK KEDUA

Bayi perempuan itu dilahirkan pada 17 September lalu menerusi pembedahan di Hospital Pusat Zhumadian, wilayah Henan, China.
Kelahiran tersebut melengkapkan keluarga Zhang dengan sepasang cahaya mata, selepas dia sebelum ini dikurniakan seorang anak lelaki ketika berusia 58 tahun.
“Saya sangat gembira. Kini saya mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Saya rasa hidup saya sudah lengkap. Kedua-dua mereka boleh membesar bersama dan saling menemani supaya tidak berasa kesunyian,” katanya.
Zhang berkata, faktor usia tidak menghalangnya daripada membuat keputusan untuk mempunyai anak dan dia tidak terlalu memikirkan pandangan negatif orang sekeliling.
Malah, dia menganggap dirinya masih muda serta yakin dengan tahap kesihatannya.
“Pada pandangan saya, saya baru berusia 28 tahun. Saya percaya saya masih boleh hidup untuk tempoh yang panjang. Ayah saya meninggal dunia ketika berusia 100 tahun, manakala ibu saya kini berusia 94 tahun dan masih mempunyai penglihatan serta pendengaran yang baik.
“Mereka juga masih mampu menaiki tangga sendiri. Saya percaya keadaan kesihatan saya sama seperti mereka. Saya yakin apabila tiba masa saya meninggal dunia, anak-anak saya sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri,” jelasnya.
Sepanjang kehamilan, Zhang masih menjalani rutin harian seperti biasa, termasuk menyediakan makanan dan menguruskan kerja rumah.
Kehamilan usia lanjut jarang berlaku di China

Kredit: Magnific
Pakar obstetrik Hospital Pusat Zhumadian, Zhang Hualian, berkata kehamilan pada usia lanjut seperti dialami wanita itu merupakan sesuatu yang jarang berlaku di China.
Menurutnya, Zhang sebelum ini melahirkan anak lelaki ketika berusia 58 tahun sebelum kembali hamil dan melahirkan anak perempuan pada usia 60 tahun.
“Dia kelihatan lebih tenang berbanding ketika melalui kehamilan sebelumnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, suami Zhang pada mulanya tidak begitu yakin dengan keputusan isterinya untuk mempunyai anak sekali lagi kerana mengambil kira faktor usia.
Pasangan tersebut sebelum ini hanya mempunyai seorang anak, selaras dengan keadaan kebanyakan keluarga di China.
Bagaimanapun, anak tunggal mereka meninggal dunia secara tragis pada 2022. Punca kematian anak berkenaan tidak dinyatakan dalam laporan.
Baca juga: Ubat Susulan Kini Boleh Dihantar Ke Rumah Secara Percuma, Ini Cara Mohon Melalui MyUBAT
Sumber: South China Morning Post
