Nur

“Tempat Saya Banjir, Boleh Ke Nak Jamak Solat?”- Ustazah Asma’ Harun Beri Jawapan

25
SHARES

Solat jamak ialah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu. Di mana, menghimpunkan solat Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua. Sementara, solat Subuh pula tidak boleh dijamakkan.

Antara syarat melakukan solat jamak adalah berada dalam keadaan musafir yang melebihi dua marhalah. Namun, bolehkan solat dijamakkan bagi mereka yang berhadapan dengan situasi banjir? Mari baca pencerahan dari Ustazah Asma’ Harun mengenai persoalan ini.

Baca juga: Ini 10 Jenis Dosa Perlu Dihindari Supaya Pahala Tak Hilang Di Akhirat

 

TEMPAT SAYA BANJIR, BOLEH KE NAK JAMAK SOLAT?

“Ustazah, boleh atau tidak solat jamak ketika banjir? Boleh ustazah jelaskan bilakah situasi yang boleh dijamakkan solat ketika banjir?”

Allahu Akbar, terbaik soalan yang diajukan, inilah perkara yang sering menjadi tanda tanya dalam kalangan saudara kita yang terlibat dengan musibah banjir, sama ada sebagai petugas mahupun mangsa banjir. InsyaAllah saya cuba jelaskan sebaiknya.

SEBAB YANG MENGHARUSKAN JAMAK SOLAT

Menurut Mazhab Syafie, keringanan yang membolehkan seseorang menjamakkan (menghimpunkan) solatnya itu ada dua iaitu ketika bermusafir dan ketika hujan.

Namun ada sebahagian ulama fiqh termasuklah sebahagian ulama Mazhab Syafie mereka berpandangan bahawa ada sebab lain lagi yang membolehkan seseorang jamak solat kerana banjir jika memang ada masyaqqah (darurat).

Antaranya adalah ketika tidak ada hujan dan tidak bermusafir, ini berdasarkan kepada hadis:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ ‏.‏ فِي حَدِيثِ وَكِيعٍ قَالَ قُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ قَالَ كَىْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ ‏.‏

Maksudnya:

“Daripada Ibni Abbas R.anhuma katanya: Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isya’ di Madinah bukan kerana takut dan tidak pula kerana hujan.

Lalu ada orang bertanya kepada Abdullah bin Abbas: Apakah yang Baginda SAW inginkan dengan hal tersebut?

Abdullah bin Abbas menjawab: Baginda SAW ingin supaya dia tidak membebankan seorang pun dari umatnya.”

(HR Muslim, hadis sahih)

SOLAT JAMAK KETIKA BANJIR

Sekadar gambar hiasan: AFP.

Menurut pandangan muktamad mazhab Syafie, TIDAK BOLEH melakukan jamak kerana banjir. Ini kerana banjir tidak termasuk dalam keuzuran yang mengharuskan jamak solat. Namun, sebahagian ulama fiqh berpendapat BOLEH jamak solat kerana banjir.

Maka dengan pandangan yang kedua ini MEMBOLEHKAN seseorang melakukan jamak dua solat kerana banjir. Tetapi apa yang lebih baik baginya adalah tidak melakukan jamak, kerana:

1. MELAKSANAKAN SOLAT DALAM WAKTU ASALNYA ADALAH LEBIH AFDHAL

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya:

“Sesungguhnya solat itu adalah suatu kefardhuan atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya.”
(Surah an-Nisa: 103)

2. UNTUK KELUAR DARI KHILAF ULAMA

Dalam kaedah fiqh menyebutkan:

مَنِ ابْتُلِيَ بِشَيْءٍ فَلْيُقَلِّدْ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:

“Sesiapa yang diberati dengan sesuatu maka dia boleh bertaqlid kepada ulamak yang mengharuskan.”

SOLAT JAMAK DIBOLEHKAN ATAS BEBERAPA FAKTOR SEPERTI BERIKUT:

  1. Perjalanan (musafir) yang melebihi 91 kilometer.
  2. Hujan lebat bagi orang yang biasa melazimi solat berjemaah di masjid.
  3. Sakit kuat.

DALAM SITUASI BANJIR MANGSA/PETUGAS DIBOLEHKAN SOLAT JAMAK SEKIRANYA…

Sekadar gambar hiasan: BERNAMA.

Dalam situasi BANJIR, mangsa atau petugas DIBOLEHKAN untuk melakukan solat jamak KETIKA SITUASI MENDESAK SEPERTI MENYELAMATKAN DIRI ATAU HARTA SEMASA BANJIR.

Di sini digalakkan untuk solat jamak secara taqdim. Sekiranya menjangkakan akan berlaku kesukaran yang darurat untuk menunaikan solat jamak taqdim, maka dibolehkan menunaikan solat jamak takhir.

SEWAKTU BERADA DI PUSAT PENEMPATAN SEMENTARA TIDAK DIBOLEHKAN SOLAT JAMAK KERANA…

Merujuk laman web Mufti Wilayah Persekutuan, apabila seseorang itu telah berada di pusat penempatan sementara yang disediakan, contohnya di dewan orang ramai, sekolah-sekolah dan sebagainya.

Maka, menunaikan solat secara jamak TIDAK DIBOLEHKAN, ini kerana pada situasi tersebut, mangsa banjir ditempatkan secara beramai-ramai dan kawasan penempatan tersebut kering dan lapang.

MENGHARUSKAN JAMAK DALAM KEADAAN UZUR & DARURAT SAHAJA

Menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Fatwa Mu’asiroh, beliau MENGHARUSKAN jamak dalam keadaan UZUR DAN DARURAT SAHAJA.

Contohnya, rumah dimasuki air, tiada tempat untuk solat, hujan masih turun, pakaian dan keperluan harian serba kurang, keperluan air pula terhad, dan situasi darurat ketika menunggu untuk dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sahaja.

KESIMPULANNYA

Sekadar gambar hiasan: Shutterstock.

Mereka yang terlibat dengan bencana banjir DIBOLEHKAN melaksanakan solat fardhu secara jamak SEKIRANYA:

1. Berada dalam SITUASI MENDESAK seperti ketika rumah sedang dinaiki air sehingga tiada tempat untuk solat.

2. Semasa sedang menyelamatkan diri dan harta semasa banjir.

3. Situasi darurat semasa menunggu untuk dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Bagi mangsa banjir yang telah ditempatkan secara beramai-ramai di kawasan penempatan yang kering dan lapang yang tidak ada darurat padanya, mereka hendaklah melakukan solat secara sempurna TANPA MENJAMAKNYA.

RUJUKAN:

1. FIBA (Fiqh Banjir), International Fatwa and Halal Centre, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

2. Maktabah al-Bakri, Soal Jawab Agama, Solat, #110 Solat Jamak Ketika Banjir dan Hujan.

3. Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fatwa Mu’asiroh.

Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×