Sihat

‘Check’lah Payudara Masing-masing Walaupun Sesibuk Mana. Jangan Buat Main Pasal Nyawa

408
SHARES

Berapa ramaikah di antara kita yang selalu membuat pemeriksaan sendiri payudara (PSP) setiap bulan? Sebenarnya, sejak wanita mencecah usia 18 tahun, pemeriksaan ini perlu dilakukan secara berkala. Pemeriksaan sendiri ini penting supaya anda akan mengenali payudara mereka dengan lebih terperinci, sekaligus mampu mengesan sebarang kelainan pada payudara dengan cepat.

Jika anda merasakan sebarang kelainan, jangan panik dulu. Ini kerana, 8 daripada 10 benjolan adalah bukan kanser. Ia mungkin merupakan gumpalan kelenjar payudara normal atau hiperaktif, atau cyst yang berisi cecair.

Perkongsian kali ini adalah tentang fibroadenoma, iaitu sejenis ketumbuhan yang berlaku pada payudara wanita. Mari ikuti pengalaman Cikpuan Salmima Azmi yang mula mengesannya seawal usia 18 tahun lagi.

Menangis Bila Tahu Ada Benjolan Di Payudara

Kisah ini tak ramai yang tahu. Rakan Facebook kebanyakannya tak tahu yang saya ada fibroadenoma. Bukan tak mahu share, tapi belum berkesempatan untuk berkongsi.

Sebenarnya, saya sendiri pun tak tahu yang saya ada mengalami ‘penyakit’ ini. Sehinggalah suatu hari, waktu usia saya 18 tahun dan masih belajar di PTPL Shah Alam, saya rasa macam ada benjolan kecil di kedua belah payudara bila sedang berbaring. Satu sebelah kanan, dua sebelah kiri. Saya hairan. Dalam hati waktu tu dah fikir bukan-bukan. Kanser ke ni?

Doktor Sahkan Ada Ketulan

Ketika kejadian, saya berada di Penang. Jadi, Mak suruh sya pergi check di klinik. Saya pun naik moto dengan adik pergi klinik.

Bila doktor periksa, sah memang ada ketulan. Doktor cakap dia buat surat untuk pemeriksaan lanjut di PPUM sebab saya belajar di Shah Alam. Waktu ni saya tak menangis lagi. Relaks je sebab saya tak percaya. Tapi bila balik rumah beritahu Mak, menangislah kami bersama-sama.

Orang kampung gelarkan ketulan ni sebagai ‘risa’.  Arwah kawan mak bawa pergi check merata tempat untuk sahkan betul ke saya ade sakit ni. Dan ternyata jawapannya tetap sama. ‘Yes, u have fibroadenoma’.

Tak Merbahaya, Tapi Mesti Dibedah

Apapun, saya berasa sedikit lega bila doktor cakap ia bukan kanser dan tak merbahaya. Nak ikutkan, ia pun tidaklah terasa sakit, cuma kurang selesa bila ia berada dalam payudara. Tapi dalam kelegaan tu, saya jadi risau. Bukan risau apa, risau berparut lah. Dahlah belum kawin lagi… Bukan satu parut, tapi tiga.

Ketulan fibroadenoma ini perlu dibedah untuk dibuang. Kalo jenis air, senang sedut je. Yang jenis mimi ni kena operate juga sebab ia berupa daging.

Hari Pembedahan

Nak dipendekkan cerita, lepas prosedur demi prosedur di PPUM, tibalah hari yang nak dibedah. Memang gementar sangat. Muka pucat lesi. Ketika ini Abah yang temankan saya. Mak dengan adik ada di Penang dan sedang dalam perjalanan menuju ke sini.

Lepas salin pakaian, doktor bagi sejenis ubat. Katanya, kalau tak muntah, boleh mulakan pembedahan. Kalau muntah, kena tangguh dulu pembedahannya. Kalau boleh memang tak nak tangguhlah sebab nak dapatkan tarikh ni pun makan berbulan baru dapat. Alhamdulillah saya tak muntah, jadi masuklah dewan bedah.

Baring atas katil bedah tu, saya pandang lampu ala disko doktor tu. Mengucap tak tahu dah berapa kali. Jururawat bagi oksigen dan terus saya pengsan. Rupanya tu ubat bius jenis sedut dan tidur. Saya sedar bila dikejutkan oleh jururawat, dah siap katanya. Rupanya saya dah tidur selama dua jam. Rasa macam baru 5 minit je! 

Lepas dah jaga lebih kurang setengah jam, doktor pun bagi balik. Tak adalah tidur dalam wad. Saya berpantang di rumah arwah Maksu. Hari-hari Mak yang rawat luka pembedahan. Lebih kurang seminggu rasanya dah baik. Alhamdulillah.

Gejala Fibroadenoma

Di sini kami kongsikan sedikit gejala atau petanda fibroadenoma yang dirujuk melalui portal MyHealth:

  • Ketulan terasa kenyal, licin, bulat dan boleh bergerak.
  • Ketulan fibroadenoma tidak melekat pada tisu di sekeliling dan boleh bergerak  apabila di periksa dengan jari.
  • Ketulan fibroadenoam mungkin terasa sakit, terutama sebelum waktu kedatangan haid.
  • Ketulan fibroadenaoma boleh membengkak akibat daripada perubahan hormon.
  • Fibroadenoma biasanya ditemui di kalangan wanita muda yang berumur 15 hingga 30 tahun dan wanita hamil.

Punca Fibroadenoma

Secara umumnya, punca berlakunya fibroadenoma ini tidak dapat dikenalpasti. Namun, ia boleh dipengaruhi oleh hormon estrogen. Oleh sebab itu, ketulan fibroadenoma boleh ada dan hilang semasa kitaran haid, iaitu apabila tahap hormon anda berubah.

Tapi masa saya tanya pada doktor tempoh hari, doktor cakap sebab payudara tak membesar dengan baik dan ada ruang yang buat ketulan tu terjadi. Fibroadenoma boleh jadi banyak dalam suatu masa tau.

Jangan lupa lakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) setiap bulan untuk mengesan sebarang kelainan pada struktur payudara

Ia Boleh Berulang Lagi

Lepas buang, doktor tak jamin ia takkan tumbuh lagi. Jadi, kalau ia berulang, kenalah jumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.

Dalam kes saya contohnya, sekarang ia dah tumbuh yang baru dan masih di tempat yang sama. Parut lama baru nak hilang, kena buat parut yang baru pula. Tapi nampaknya ketulan yang baru tumbuh ni dah banyak berkurang berbanding dulu. Saya ada juga berikhtiar dengan amalkan biji aprikot.

Moga-moga kali ni tetap sakit yang sama bukan yang lain. Nauzubillah.

Jadi saranan saya, setiap hari ‘check‘lah payudara masing-masing walau sesibuk mana pun. Jangan buat main pasal nyawa.

 

*Pengalaman fibroadenoma ini dikongsikan oleh Cikpuan Salmima Azmi pertama kalinya melalui Facebook. Ia disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan beliau di SINI.

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×