Makanan Tambah Darah Ketika Hamil
Pernahkah anda dengar tentang anemia semasa hamil?
Ibu yang baru hamil dan hamil kali pertama mungkin masih belum mengetahui tentang anemia semasa hamil. Akan tetapi, kepada yang lebih senior atau dengan kata lain sudah mengandung lebih dari sekali biasanya lebih arif dengan perkataan anemia, haemoglobin, zat besi, dan yang seangkatan dengannya.
Apa itu anemia atau kurang darah?
Anemia boleh didefinisikan sebagai satu keadaan yang berlaku apabila sel darah merah iaitu jumlah haemoglobin (Hb) di dalam darah berkurangan. Jumlah haemoglobin normal bagi lelaki ialah 13.5-18.0 gram/dL dan bagi wanita ialah 12-16 gram/dL. Manakala bagi wanita hamil, jumlah haemoglobin adalah berbeza iaitu 10-15 gram/dL. Biasanya jumlah haemoglobin sebelum hamil dan semasa hamil akan berubah. Namun begitu, jika jumlah haemoglobin adalah kurang daripada 10, ibu akan berisiko menghidapi anemia.
Risiko kehamilan pramatang
Kepada ibu hamil, sila ambil perhatian kerana anemia boleh menyebabkan kelahiran pramatang. Ibu hamil yang menghidap anemia sering berasa letih dan lemah. Kekurangan zat besi, folat dan vitamin B12 menjadi alasan utama berlakunya anemia. Bayi di dalam kandungan akan menyerap nutrien yang diambil oleh ibunya.
Oleh yang demikian, ibu hamil perlulah mengambil makanan yang mengandungi zat besi, folat dan vitamin B12 dalan jumlah yang lebih berbanding sebelum hamil untuk mengekalkan jumlah haemoglobin dalam darah. Jika kurang darah, banyak kesan kurang baik. Oleh itu, hindari simptom dan tanda penyakit kurang darah lebih awal.
Risiko keguguran
Menurut Kementerian Kesihatan, ibu turun darah sebelum minggu ke-20 kandungan. Semasa keguguran, janin atau kandungan di dalam rahim boleh gagal untuk terus hidup. Keguguran berlaku kepada 8-20% ibu mengandung. Kebanyakan kes (80%) berlaku sebelum minggu ke 13 manakala 20% berlaku pada ibu yang kurang dari 20 minggu mengandung.
Mari kita lihat senarai makanan yang dicadangkan untuk penghidap anemia.
1. Daging Merah
Daging merah mengandungi kadar zat besi yang tinggi untuk membantu memerangi anemia semasa hamil. Anda perlu tahu bahawa kandungan zat besi dari sumber haiwan mudah diserap berbanding sumber lain. Barulah boleh tambah darah!
2. Brokoli
Sayur hijau ini mengandungi vitamin, zat besi dan folat. Brokoli sangat bagus dimakan ketika hamil kerana ia juga mengandungi antioksidan yang mmapu melawan penyakit dan jangkitan. Walaupun rasanya tidak sedap, pejam sahaja mata. Bukannya apa, untuk tambah darah juga bukan?
3. Pisang
Pengambilan dua biji pisang setiap hari sangat baik untuk wanita hamil. Ini adalah kerana folat yang terkandung di dalam pisang boleh membantu dalam pertumbuhan janin dan peghasilan sel-sel baru.
4. Kekacang
Kekacang adalah salah satu sumber untuk mencegah anemia dan bagus untuk tambah darah. Ambillah kekacang sebagai snek menggantikan makanan ringan.
5. Hati
Hati ayam dipercayai dapat menambah kepekatan darah. Walaubagaimanapun, pengambilan hati terlalu kerap tidak digalakkan kerana ia merupakan organ dalaman yang tidak elok untuk otak.
6. Bayam
Untuk pengetahuan penghidap anemia, bayam merupakan makanan paling baik di dalam kalangan sayuran untuk ibu hamil. Bayam merah ataupun hijau, menyerap zat besi dan folat untuk memerangi anemia.
7. Kerang
Kerang juga terkenal dalam mencegah anemia. Masukkan kerang ke dalam menu harian anda dengan cara masakan yang berlainan agar tidak bosan.
8. Telur
Telur bahagian kuningnya sahaja yang mengandungi nutrien termasuk zat besi yang diperlukan penghidap anemia. Mengambil kuning telur dapat mengekalkan jumlah haemoglobin dalam darah. Bagus untuk tambah darah.
9. Oat
Oat yang boleh melawan anemia semasa hamil memberikan mineral yang diperlukan tubuh badan berserta zat besi. Oat juga mudah dicerna. Ibu hamil sangat sesuai mengambil oat. Walaupun tidak sesuai dengan tekak kita, cubalah telan sedikit untuk kebaikan kita sendiri. Mahu tambah darah kan? Kenalah makan sesuatu!
10. Buah delima
Makanan tambah darah yang seterusnya ialah buah delima. Buah delima dapat mempertahankan jumlah sel darah merah, kandungan zat besi yang terdapat dalam buah delima dapat mengurangkan gejala anemia.
11. Madu
Pastikan anda mengambil madu di dalam menu harian anda jika anda mengalami anemia. Madu boleh juga menggantikan gula di dalam minuman dan makanan. Untuk tambah darah, pastikan madu yang asli, bukan yang tiruan dan diletakkan gula.
12. Kurma
Makanan tambah darah yang menepati sunnah ialah kurma. Khasiat kurma tidak dapat disangkal lagi. Ini termasuk meningkatkan penghasilan sel darah merah. Kurma yang sedap dan manis ini turut memberi tenaga kepada anda.
13. Kismis
Untuk tambah darah, sambil-sambil duduk berehat, boleh kunyah buah kismis. Untuk pengetahuan, buah anggur yang dikeringkan dipanggil kismis. Kismis dapat membantu melawan anemia semasa kehamilan. Buat kismis sebagai snek harian dan didiklah juga anak-anak makan kismis sejak kecil.
Elakkan kafein
Menjaga jumlah haemoglobin dalam darah sangat penting kerana ia melibatkan janin yang dikandung. Perbanyakkan makan makanan yang kaya dengan vitamin C untuk membantu penyerapan zat besi. Di samping itu, hindarilah makanan dan minuman yang berkafein kerana boleh mengganggu menyerap zat besi. Kalsium juga boleh menganggu penyerapan zat besi. Ibu hamil disarankan untuk mengambil kalsium sebelum tidur agar dapat tambah darah.
Makan zat tambahan
Ibu hamil yang mengalami anemia biasanya akan diberi pil zat besi dan juga obimin oleh pihak klinik semasa pemeriksaan antenatal untuk tambah darah. Anda dinasihatkan untuk mengambil ubat-ubatan ini berserta vitamin C agar lebih mudah diserap. Contohnya makan pil zat besi bersama dengan air jus buah-buahan. Elakkan dari minum susu sejam sebelum dan selepas makan ubat atau ia akan menjadi sesuatu yang sia-sia.
Harapan saya
Semoga ibu hamil dapat menjaga diri dan kandungan agar terhindar dari gejala anemia. Amalkan gaya hidup yang sihat serta pemakanan yang seimbang. Rujuklah kepada pakar sekiranya berasa letih dan tidak bermaya. Dengarlah nasihat doktor dan misi di klinik kesihatan dalam membantu anda untuk melawan gejala anemia ini. Yang penting, elakkan makanan yang dilarang semasa mengandung.
Makan ubat yang diberi mengikut jadual serta boleh mencuba makanan untuk mencegah anemia seperti yang telah disenaraikan. Fikirkan tentang kesihatan anda dan bayi anda. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Semoga berjaya!