“Apakah jenis makanan yang perlu saya makan untuk meningkatkan hemoglobin saya?’’
Ramai yang sering tertanya-tanya apakah antara variasi makanan berzat besi yang perlu diambil untuk mengatasi masalah hemoglobin rendah, terutamanya bagi ibu mengandung, pesakit anemia atau mereka yang ingin menderma darah.
Dalam post ini, Pusat Darah Negara berkongsikan tentang variasi makanan yang boleh diambil untuk meningkatkan hemoglobin atau singkatannya, hB.
Senarai Makanan Tambah Darah, Naikkan hB Dengan Berkesan
Secara ringkasnya, makanan yang dapat membantu meningkatkan hB adalah terdiri daripada kombinasi makanan tinggi zat besi, vitamin C, vitamin B12 dan asid folik.
Berikut adalah contoh makanan yang terdiri daripada setiap jenis nutrien tersebut.
1. Makanan yang mengandungi kandungan zat besi yang tinggi
Makanan dengan kandungan zat besi yang lebih baik adalah daripada haiwan seperti
- daging
- hati
- ayam
- limpa
- kerang
- ikan bilis dll
Terdapat juga sayur-sayuran yang mengandungi zat besi, antaranya
- pegaga
- bayam
- kangkung
- kailan
- peria
- pucuk paku
- ulam raja
- bawang besar
- taugeh
Untuk mengatasi masalah anemia, ambil sekurang-kurangnya satu jenis makanan dari sumber haiwan yang kaya dengan zat besi setiap hari.
Petua
Makanan yang tinggi dengan zat besi heme (sumber haiwan) lebih mudah diserap oleh tubuh berbanding dengan yang bukan heme (kebanyakan sumber tumbuh-tumbuhan).
2. Makanan yang meningkatkan penyerapan zat besi di dalam hidangan kita
Selain memakan makanan yang mengandungi zat besi, kita juga amat digalakkan untuk mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C.
Ini kerana, vitamin C dapat meningkatkan penyerapan zat besi ke dalam darah.
Buah dan sayuran yang kaya dengan vitamin C adalah seperti
- jambu batu (*antara buah paling tinggi vitamin C)
- limau
- betik
- mangga
- sayuran hijau seperti pegaga, sawi, kailan, pucuk ubi, bayam dan kangkung.
Petua
Cara lain mengambil makanan-makanan adalah begini:
– minum jus buah buahan (seeloknya yang dikisar sendiri tanpa gula)
– makan bersama pencecah buah buahan seperti sambal manga, tomato, atau limau kasturi
– gunakan perencah daripada sumber haiwan seperti ikan bilis, udang, isi ayam dan isi daging
3. Makanan yang kaya dengan vitamin B12 dan asid folik
Pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin B12 dan asid folik dapat membantu dalam menghasilkan DNA untuk menghasilkan sel darah merah dan juga membantu kandungan besi dalam badan untuk berfungsi dengan baik.
Contoh Makanan Kaya Asid folik
- Sayuran berdaun hijau
- asparagus
- bendi
- hati
- legume (bijian & kekacang)
Contoh Makanan Kaya Vitamin B12
- Ayam
- daging
- ikan
- telur
- susu dan produk tenusu
- organ dalaman
Banyak Pilihan, Tak Semestinya Makanan Mahal
Banyak pilihan sebenarnya untuk kita di Malaysia mendapatkan semua makanan ini kan?
Tak semestinya pilih yang mahal, ulam-ulaman dan buah-buahan tempatan pun ada pelbagai pilihan yang murah tapi tetap berkhasiat.
Jadi, cubalah amalkan petua dan makanan tambah darah ini. Mudah-mudahan ibu yang anemia atau low hB boleh naikkan bacaan hB dan sentiasa kekalkan agar berada pada paras optimum demi kesihatan diri dan bayi.
*Sumber: Pusat Darah Negara