Pelbagai jenis hiburan dari dari Korea Selatan telah mendapat tempat peminat dari seluruh Negara Malaysia. Memang tidak dapat disangkal lagi drama, nyanyian dan rancangan realitinya menarik-menarik belaka. Walaupun anda bukan salah seorang mangsa demam K-Pop, rancangan ‘The Return of Superman’ memang wajar ditonton oleh ibu bapa muda sebagai bimbingan untuk pendidikan anak-anak.
8 Ilmu Mendidik Ansk Yang Boleh Dipelajari Dalam ‘The Return Of Superman’
Rancangan ‘The Return Of Superman’ ini berkisar tentang selebriti lelaki Korea yang berpangkat bapa menerima cabaran untuk menjaga anak tanpa si ibu selama dua hari.
Ada banyak pengajaran yang kita boleh belajar melalui episod-episod yang ditayangkan, terutamanya dalam hal mendidik anak atau parenting.
1. Tatap Wajah Anak Semasa Bercakap
Ketika ingin melakukan sesuatu, pakar mengesyorkan bahawa kita perlu mengambil masa untuk menatap wajah anak, terutamanya pada matanya, sekalipun hal dilakukan nampak remeh bagi kita. Ini penting supaya kita boleh mengagak reaksinya. Lama-kelamaan kita akan tahu apa yang ada pada hatinya hanya dengan sekali imbas pada wajah comelnya.
Dalam salah sebuah episod, Uhm Taewoong diberitahu oleh pakar bahawa beliau tidak merenung pada mata anaknya, Ji-on, semasa mewarnakan kukunya. Beliau begitu nekad menyiapkan aktiviti itu secepat mungkin sehingga lupa menatap wajah anak kecil tersebut untuk mengetahui perasaannya. Dengan cara ini, anak akan rasa dihargai kerana perasaannya difahami dan ia menggalakkan anak untuk bersikap lebih terbuka dengan ibu bapa.
2. Menjelaskan Lebih Baik Daripada Melarang
Menjelaskan tentang kesan buruk daripada perbuatan memakan masa dan agak memenatkan tetapi sangat berbaloi. Dengan cara melarang, anak tidak akan faham kesannya dan hanya akan berhenti sehingga terkena pada diri sendiri. Selalunya, hal ini akan berkesudahan dengan tangisan dan marah.
Shin Ae-ra muncul dalam sebuah episod ‘The Return Of Superman’ bersama anak kembar beliau, Seojun dan Seoun. Beliau kelihatan mudah mengawal perlakuan anak-anak beliau kerana mengamalkan prinsip yang satu ini. Beliau tidak asyik melarang anak-anaknya untuk melakukan sesuatu yang mereka inginkan. Sebaliknya, beliau akan mencari cara agar kedua-dua anaknya boleh melakukan apa yang mereka mahu dalam keadaan yang selamat.
Jika ianya terlalu merbahaya, berikan alternatif lain yang lebih selamat. Contohnya, apanila anak-anaknya ingin berlari, mereka dibiarkan berlari. Namun, mereka dijelaskan bahawa permukaan konkrit adalah keras dan boleh menyebabkan luka. Maka, beliau mengajak mereka untuk lari di padang rumput supaya lebih selamat.
3. Galakkan Anak Bercakap Walaupun Kita Tahu Apa Yang Mereka Mahu
Kemahiran berkomunikasi dapat dilatih dengan bergaul dengan anak sekerap mungkin. Bila anak tidak tahu caranya, ajarnya cara terbaik untuk meminta tolong daripada orang sekeliling. Kemahiran ini amat penting untuk anak ekspresikan perasaan dan keinginannya dengan tepat.
Dalam kes Uhm Taewoong contohnya, beliau diberitahu oleh pakar bahawa salah satu sebab anaknya lambat bercakap kerana mereka bersikap terlalu cepat merespon terhadap keperluan anaknya. Sebaik saja nampak ada yang tak kena, mereka cepat-cepat memberikan apa yang diminta tanpa menyedari kepentingan anak untuk belajar berkomunikasi secara verbal.
Pengajarannya di sini, walaupun kita sudah tahu apa yang anak mahukan, beri peluang padanya untuk beritahu anda apa yang dia mahukan. Hal ini dapat membantu anak faham kepentingan untuk meluahkan perasaan serta apa yang difikirkannya dengan kata-kata.
4. Jangan ‘Lambakkan’ Anak Dengan Mainan
Kembar tiga Song Il Kook adalah antara selebriti yang paling popular dalam rancangan realiti ini. Song Il Kook, bapa mereka dilihat sangat bijak menguruskan mereka tanpa sebarang bantuan teknologi mahupun permainan. Jika dilihat, rumah beliau begitu lapang dengan susunan perabot yang begitu minimalis. Bukan saja anak-anak ini tidak diberi tablet, malah TV pun tak ada!
Menurut Sing Il Kook, beliau mahu kembar tiganya ini belajar untuk bermain bersama menggunakan apa saja yang ada di sekitar mereka, termasuklah tubuh badan sendiri. Dengan cara ini, mereka bukan saja belajar untuk merapatkan hubungan sesama adik-beradik, tetapi juga dapat menjana idea agar lebih kreatif, aktif, dan boleh beradaptasi serta pandai menghiburkan diri sendiri tanpa bergantung kepada mainan.
5. Walaupun Anak Sulung Lebih Matang, Mereka Tetap Seorang Kanak-kanak
Jika anda mengikuti rancangan bersiri ‘The Return Of Superman’ ini, tentu anda kenal dengan adik beradik Jung, iaitu Juno dan Junseo. Sebagai anak sulung, Juno dianggap lebih berdikari dan sering diberikan tanggungjawab berbanding adiknya, Junseo. Ibu bapa mereka juga konfiden bahawa Juno boleh melakukan banyak perkara dengan kebolehannya sendiri memandangkan usianya yang lebih matang.
Apa yang mengejutkan, ketika menghadiri sebuah ujian perkembangan, Juno mengakui bahawa walaupun usianya lebih matang berbanding si adik, dia tetap seorang kanak-kanak. Dia berharap agar mendapat sedikit perhatian daripada ibu bapanya tetapi tidak tahu meluahkannya. Pakar menyatakan bahawa sekiranya Juno berterusan menerima layanan seperti ini, dia mungkin akan berasa terasing dan membina ‘tembok’ daripada ibu bapanya.
6. Beri Anak Peluang Untuk Menghadapi Ketakutan Sendiri
Adalah lumrah ibu bapa untuk melindungi anak daripada ketakutan dan situasi yang tidak selesa. Namun begitu, jika anak diberi lebih peluang untuk menghadapinya sendiri, anda pasti akan terkejut dengan betapa beraninya anak anda. Hal ini sangat berguna bila anak membesar nanti.
Terdapat sebuah scene ‘The Return Of Superman’ ini, ada sebuah situasi di mana si kecil Seojun bergaduh dengan Daehan kerana berebutkan air. Seojun hampir saja menangis tetapi Lee Hwi Jae, bapanya tidak terus membantu Seojun. Sebaliknya, beliau memerhatikan dahulu tindakannya dan memberi peluang kepada si kecil tersebut untuk menghadapi situasi tersebut tanpanya.
Kita tidak akan selamanya dengan anak untuk melindunginya. Oleh itu, selepas ini, berikan kata-kata semangat pada anak dan beri peluang padanya untuk berhadapan dengan situasi yang sukar. Mahal pengalamannya!
7. Disiplinkan Anak Secara Tertutup
Semua orang tidak suka dimarahi. Lebih-lebih lagi jika ditengking di hadapan orang lain walaupun di kalangan ahli keluarga. Ingatlah bahawa anak kecil juga seperti orang lain yang mempunyai perasaan malu dan sedih apabila dimarah atau ditegur di khalayak ramai. Prinsip ini paling jelas dilihat dalam didikan anak kembar tiga Song Il Kook yang tidak akan memarahi salah seorang anaknya di hadapan saudara kembarnya, apatah lagi di hadapan orang luar.
Dengan berbincang dengannya mata ke mata, anak lebih mudah terbuka untuk mengekspresikan perasaannya kepada anda. Song Il Kook juga mempunyai ‘thinking chair’ atau ‘kerusi berfikir’ di mana anak-anaknya akan bertenang dan memikirkan kesilapan yang mereka lakukan. Mereka ditegur secara lembut dan tegas serta didakapi sesudah itu. Ini adalah teknik genius yang digunakan beliau agar anak-anaknya lebih mudah faham kesalahannya dan belajar menyayangi antara satu sama lain.
8. Ulang, Ulang, Dan Ulang
Seperti orang dewasa, anak kecil lebih lagi memerlukan masa untuk belajar melakukan sesuatu. Ingatkan diri bahawa otak mereka masih belum matang dan kebanyakan perkara yang dilalui adalah yang pertama kali buat mereka.
Oleh itu, bukan mudah untuk memastikan si kecil mempraktikkan adab serta tabiat tertentu tanpa melalui kesukaran atau melakukan kesalahan. Dalam siri tersebut, Song Il Kook berulang kali mengingatkan si kembarnya agar menunggu orang yang dewasa untuk menjamah makanan terlebih dahulu apabila makan bersama. Walaupun susah pada awalnya, lama-kelamaan tabiat ini dilihat menjadi automatik apabila dilatih dengan konsisten dan sabar.
Rancangan Realiti Yang Membuka Mata Masyarakat
Rancangan ‘The Return Of Superman’ ini bukan sahaja seronok ditonton kerana telatah comel anak-anak peserta, malah pelbagai nilai dapat dipelajari untuk rujukan ibu bapa. Walaupun bergelar selebriti, tanggungjawab sebagai ibu bapa telah dikupas sebaiknya oleh pihak produksi agar ia dapat dijadikan pengajaran kepada semua penonton.