Dapur

Resepi Sup Tauhu Telur Yang Sihat & Berkhasiat. Anak Mesti Suka!

1.9K
SHARES

“Anak aku ni asyik-asyik nak makan sup aje… Aku pulak yang naik bosan. Balik-balik sup ayam, sup daging, sup fishball. Apa lagi resepi sup yang lain sikit ya?”

Anak-anak memang sukakan sup. Mungkin kerana rasanya yang simple dan tak pedas, ia menjadi pilihan untuk dimakan pada bila-bila masa. Sesekali, cuba variasikan masakan anda dengan sup tauhu telur ini. Cara membuatnya sangat mudah.

Menurut tuan punya resepi, Puan Siti Zanariah Khalit, inilah lauk kegemaran anak-anaknya. Bukan saja sedap, tapi ia juga dapat disediakan dengan cepat.

Jom kita ikuti resepi beliau ini selengkapnya di bawah.

Resepi Sup Tauhu Telur

Berikut adalah bahan-bahannya:

Bahan-bahan

  • Tauhu telur
  • Bawang putih – cincang
  • Serbuk lada hitam
  • Udang / isi ayam
  • Sos tiram – anggaran 2 sudu besar
  • Cendawan shimeji / fresh shitake
  • Lobak merah – hiris halus memanjang
  • Daun sup – hiris
  • Tepung ubi – bancuh dengan sedikit air (kalau nak ganti dengan tepung jagung pun boleh)
  • 2 biji telur – pukul dengan garfu
  • Garam
  • Serbuk perasa (kalau suka)

Bagi yang tak tahu, beginilah rupa tauhu telur tu. Di paketnya tulis egg tofu. / Foto Kredit: vietworldkitchen.com

Cara-cara

1. Goreng Tauhu

Sebelum membuat sup, potong dulu tauhu untuk digoreng. Pastikan minyak betul-betul panas baru masukkan tauhu.

Bila dah kekuningan baru terbalikkan supaya tak hancur. Bila dah siap goreng, angkat, tos dan ketepikan.

2. Tumis Bahan

Sekarang sediakan periuk untuk memasak supnya pula.

Mula-mula tumis bawang putih dengan sedikit minyak. Seterusnya masukkan udang / ayam dan serbuk lada hitam.

3. Tunggu Mendidih

Seterusnya masukkan sos tiram, air dan cendawan. Tunggu hingga mendidih.

4. Perasakan

Bila dah mendidih, masukkan lobak merah dan perasakan dengan garam.

5. Tuang Bancuhan Tepung Ubi

Sambil kacau kuah sup, tuang bancuhan tepung ubi. Jangan sampai bergentel ya.

Sekiranya guna tepung ubi, jangan terlalu banyak sebab bila makan nanti akan membuatkan lidah seperti ‘bergam’.

6. Masukkan Tauhu

Selepas itu, masukkan tauhu telur yang sudah digoreng tadi.

7. Tuangkan Telur

Kemudian, perlahankan api dan tuangkan telur yang sudah dipukul tadi secara lingkaran (maksudnya jangan tuang setempat). Biarkan dalam dalam beberapa saat. Tutup api kemudian baru dikacau.

Tujuannya supaya telur tu nampak seperti ‘bertali’.

8. Tabur Daun Bawang

Akhir sekali baru tabur daun bawang dan kacau rata. Siap!

Boleh Dinikmati Seisi Keluarga

Wah, mudahkan? Nampak begitu menyelerakan. Kombinasi bahan-bahannya pula sangat menyihatkan.

Sebab itulah ia memang sesuai untuk dinikmati oleh seisi keluarga – dari peringkat bayi hinggalah yang dah tak ada gigi. Boleh ubahsuai ikut citarasa sendiri. Memang lazat dimakan, terutamanya bila cuaca sejuk.

Selamat mencuba!

 

*Resepi sup tauhu telur ini dikongsikan oleh Puan Siti Zanariah Khalit dan ia diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×