Sekarang ini Malaysia sering dilanda hujan pada setiap hari dan ini bermakna suhu acap kali menjadi sejuk. Secara tak langsung, tekak pun teringin makanan yang panas-panas supaya dapat mengawal suhu badan juga.
Justeru itu, jika anda berkesempatan apa kata cuba resepi jacket potato atau ubi bakar yang dikongsikan oleh Puan Siti Hazneza Abdul Hamid. Difahamkan, makanan ini diterbangkan dari United Kingdom (UK) dan telah diubah menjadi makanan lebih berat dan kelihatan mewah yang bercampur keju, menjadi kegilaan ramai. Jom cuba!
Baca juga: Tips Basuh Pulut Kuning & Kaedah Kukus Beras Pulut, Cantik Kuning Berkilat!
DIKENALI SEBAGAI JACKET POTATO ATAU BAKED POTATO
Jom kita ke United Kingdom (UK).
Jacket potato atau baked potato ialah makanan jalanan di Britain semasa musim luruh dan musim sejuk. Ubi yang dibakar ialah jenis Russet kerana isinya yang gebu apabila masak dan saiznya yang besar.
Biasanya ubi yang telah dibakar dibelah tengah dan isinya ‘digaru-garu’ (fluffed) sebelum diletakkan kacang panggang atau tuna atasnya. Saya kira apabila sampai ke Amerika, mereka jadikannya lebih berat dan mewah dengan tambahan keju dan sebagainya.
Jika ditanya sayur apa yang dimakan oleh semua kanak-kanak, ubilah jawapannya. Walaupun dalam keluarga sayur-sayuran, ubi berkanji dan kaya dengan karbohidrat. Lebih kurang nasilah maknanya.
Ubi jika dibakar sahaja dikatakan makanan yang sihat. Apabila dibakar dan diletak keju macam ni, saya rasa jatuh kategori ‘sihat’ haha.
Selamat mencuba makanan kegemaran En. Anuar (ubi). Penerangan pada setiap gambar.
Siti Hazneza binti Abdul Hamid.
RESEPI JACKET/BAKED POTATO DARI UK
BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAANNYA:
Ubi kentang dibersihkan dan dicucuk-cucuk dengan garfu. Kemudian lumur dengan minyak dan garam.
Bakar dalam oven 180°C/ 350°F selama ~1 jam api atas dan bawah.
Siap dibakar.
Guna penyepit untuk pegang ubi kerana sangat panas dan belah dua setiap ubi. Pastikan belah arah lebar supaya nanti ubi yang separuh senang hendak ‘duduk’.
Dengan sudu, korek bahagian tengah ubi dan ambil kesempatan ini untuk susun ubi atas dulang. Pastikan ada isi ditinggalkan ~¼ inci pada kulit ubi.
Begini isi ubi. Ada dua biji ubi yang kurang comel jadi saya guna kesemua isinya.
Pada isi ubi tambah:
- 1 labu bawang besar saiz kecil – dicincang halus.
- 1 sudu makan oregano.
- 1 sudu teh serbuk lada hitam.
- 1 sudu teh serbuk stok ayam.
- 3 ulas bawang putih – dicincang halus.
Tambah:
- 1 biji telur (nampak tak sebelah kiri tu?).
- 3 sudu makan mayonis.
- 2 sudu makan cuka.
- 2 sudu makan marjerin.
- 2 sudu makan susu suam.
Lecek sehingga halus. Jika hendak nampak hijau dan merah, boleh tambah hirisan daun bawang dan cili benggala merah yang dicincang.
Sudukan kentang lecek ke dalam kulit ubi yang disusun tadi. Letak bumbun.
Lapiskan keju cheddar dan keju sandwich/ mozarella.
Hiris keju. Akan dapat berbelang begini. Kemudian potong memendek pula.
Taburkan keju atas ubi lecek dalam kulit ubi atas dulang tadi.
Bakar kembali dalam oven ~15 minit.
Rasa keju berbeza pada tahap yang berbeza. Jika mahu garing sedikit sehingga ada tompok-tompok perang pun sedap. Begini hanya cair dan meleleh sahaja. Rasanya lebih berkrim.
MENU SAMPINGAN!
Untuk sampingan, saya cuma masak hot dog yang dikelar-kelar. Jika mahu, boleh hiris nipis-nipis dan goreng, kemudian hancurkan dan tabur atas ubi. Rangup!
Begini rupanya. Lebih berselera hendak makan.
Selamat mencuba!
Sumber: Facebook Siti Hazneza Abdul Hamid via Masak Apa Hari Ni..(MAHN)