Tempe merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada kacang soya yang diragikan. Makanan ini sangat popular di Malaysia, terutamanya dalam masakan orang Jawa.
Kebiasaannya, selepas digoreng garing tempe ini akan dijadikan ‘snack’ atau ‘side dish’ bersama nasi dan campuran lauk lain. Antaranya menu ayam penyet, pasti akan dihidangkan sekali bersama tempe dan tauhu. Jadinya, kalau anda sangat menggilai tempe boleh cuba resepi di bawah yang dikongsikan oleh Puan Ummu Ashraf. Jom belajar buat!
Baca juga: Tips Lembutkan Kacang Hijau Sebelum Dimasak, Pejam Mata Pun Boleh Buat!
ADA BEZA RUPANYA, INI RESEPI TEMPE & RAGI TEMPE. SENANG JE NAK BUAT!
Mari kita buat tempe di rumah. Update:
1. Ragi tempe dengan ragi Tapai berbeza ya? Bukan boleh diguna-ganti.
Ragi tapai menjadikan makanan manis dan basah. Ragi tempe sifatnya macam spora cendawan halus dan tak boleh basah, ia akan mereput dan busuk.
2. Pada gambar terakhir, saya terangkan di mana saya beli ragi tempe dan cara-cara membuat ragi tempe.
3. Step by step cara membuat tempe ada pada gambar, ya? Boleh klik satu persatu gambar, dan pada setiap gambar ada penerangannya. Terima kasih.
CARA MEMBUAT TEMPE!
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 kilo kacang soya
- Air suam
- 1/2 sudu teh ragi tempeh
- Beg plastik dibuat lubang
- Periuk & dulang
CARA-CARANYA:
LANGKAH PERTAMA
- Beli 1/2 kilo kacang soya. Rendam semalaman dalam air suam.
- Esoknya kita buang kulit kacang soya dengan menggesek-gesekkan kacang dengan tangan.
- Kalau boleh buangkan dalam 70% daripada kulit kacang soya. Kalau ada kacang yang masih bersalut sedikit-sedikit tu, tak apa.
- Kulit kacang soya tu saya jadikan baja di taman.
LANGKAH KEDUA
- Rebus kacang soya hingga 3/4 masak.
- Bergantung pada kacang itu, masa merebus antara 3/4 jam hingga 1 jam setengah.
LANGKAH KETIGA
- Apabila sudah lembut, toskan dan keringkan kacang. Saya jemur di luar seharian.
- Setelah kering, bawa masuk, biarkan sejuk sebentar.
- Taburkan ragi tempeh (1/2 sudu teh pun mencukupi).
- Gaul dengan tangan bersih atau gunakan sarung tangan plastik. Kebersihan amat penting, kalau tak tempeh akan busuk.
LANGKAH KEEMPAT
- Masukkan kacang dalam plastik yang sudah dibuatkan lubang bernafas sedikit. Saya cucuk guna lidi.
- Boleh juga guna bekas pyrex dan balut dengan cling film yang dibuat lubang.
LANGKAH KELIMA
- Biarkan di tempat yang bersuhu antara 27-32 darjah celsius yang mempunyai pengaliran udara yang baik.
- Selepas 6 jam, kita boleh rasa tempeh mula panas dan berpeluh.
- Selepas 24-36 jam dia akan mula memutih.
TADAAA! TEMPE DAH PUN SIAP!
Beginilah rupanya antara 36-48 jam setelah di buat.
TIPS BUAT INDIVIDU YANG MENETAP DI LUAR NEGARA
Bagi mereka yang tinggal di negara bersuhu rendah, jangan buat begini. Tak perlu letak dalam oven dengan lampu yang di on kan. Tiga kali saya buat begini dalam musim sejuk, memang tak jadi.
Lebih baik letak dalam bilik yang berheater pada suhu 27 darjah ke atas daripada letak dalam oven. Saya pernah juga letakkan tempe dalam linen closet, mati juga mungkin kerana kurang aliran udara.
KELIHATAN CANTIK TEMPE YANG DIBUAT DALAM BEKAS PYREX!
Tempeh pyrex sebab saya buat dalam bekas pyrex kaca, dan bukan dalam plastik.
RESEPI MEMBUAT RAGI TEMPE SENDIRI
Sebelum ke luar negara, Alhamdulillah saya beli ragi tempeh ini dari penjual tempeh di pasar borong Seri Kembangan. Kalau tak ada ragi, menurut kata ahli MAHN kita boleh buat sendiri.
CARA-CARANYA:
1. BELI TEMPE SEGAR YANG BELUM DISEJUKKAN
- Ambil tempe segar dari kedai yang menjual tempeh.
- Makna tempe segar ialah tempe yang belum pernah disejukkan dalam fridge / peti sejuk / icebox / peti ais.
2. TEMPE DIHIRIS NIPIS & DIJEMUR DIBAWAH MATAHARI
- Hiris tempe itu nipis-nipis.
- Letak kan dalam dulang dan jemur dibawah sinaran matahari sehingga hirisan-hirisan tempe itu kering.
3. KEMUDIAN KISAR TEMPE SEHINGGA KELIHATAN SEPERTI TEPUNG
- Ambil hirisan tempe yang kering itu dan kita kisarkan menggunakan pengisar atau blender kering (yang kita gunakan untuk mengisar rempah).
- Tempe yang dikisar akan kelihatan seperti tepung.
4. KELUARKAN TEMPE DARI PENGISAR
- Keluarkan tempe yang dikisar itu dari pengisar.
5. AYAKKAN TEMPE
- Tempe yang kini kelihatan seperti tepung itu kemudiannya diayak dengan pengayak yang kita biasa gunakan untuk mengayak tepung.
6. RAGI TEMPE DAH SIAP!
- Hasil ayakan itulah yang dinamakan “Ragi Tempe” yang boleh digunakan untuk membuat tempe di rumah.
Harap penjelasan ini sudah cukup jelas, ya? Terima kasih Kak Shimah Aziz atas perkongsian.