Cantik

Ratu Cantik Malaysia Dedah Makan Nasi 5 Kali Setahun, Taanusiya Chetty Pernah Terima Tawaran Bollywood!

ratu cantik

Kejayaan Taanusiya Chetty mengharumkan nama Malaysia di pentas Miss World 2026 bukan sekadar tentang kecantikan dan penampilan menawan. Di sebalik gelaran yang diraih, ratu cantik berusia 25 tahun ini turut mencuri perhatian apabila mendedahkan rutin pemakanan yang diamalkannya, termasuk hanya mengambil nasi sebanyak lima kali dalam setahun.

Baca juga: Bukan Sekadar Cantik, Fasih 4 Bahasa! Ini Biodata Taanusiya Chetty, Guru Sekolah Menengah Yang Lakar Sejarah Di Miss World 2026

TAANUSIYA SI RATU CANTIK, MAKAN NASI 5 KALI SETAHUN

ratu cantik

Gambar Instagram @azmierhisyamuqris: Taanusiya meraih tempat ketiga dan gelaran Miss World Asia di pentas Miss World 2026.

Taanusiya Chetty Veerapandian atau lebih mesra disapa Taanu berjaya meraih tempat ketiga Miss World 2026, sekali gus dinobatkan sebagai Miss World Asia 2026. Lebih membanggakan, dia turut memenangi kategori Beauty With A Purpose menerusi projek kebajikan yang diusahakannya.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Malaysia kerana kali terakhir negara berada dalam kelompok lima teratas pertandingan berkenaan adalah pada 1998 menerusi Lina Teoh.

Taanusiya Chetty bangga harumkan nama Malaysia

Selepas pulang ke tanah air, jadual Taanu dipenuhi dengan pelbagai undangan media untuk berkongsi pengalaman dan pencapaiannya di pentas antarabangsa.

Walaupun masih belum mendapat rehat secukupnya, dia mengakui gembira apabila dapat berkongsi perjalanan yang dilaluinya sepanjang pertandingan tersebut.

“Saya belum dapat rehat secukupnya lagi sejak pulang ke Malaysia. Hampir setiap hari saya memenuhi undangan jemputan daripada pihak media sama ada untuk televisyen, radio, majalah dan surat khabar.

“Tetapi saya gembira kerana saya dapat berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan di pentas Miss World. Walaupun sudah lebih sebulan sejak pertandingan berakhir, tetapi sehingga hari ini saya masih dihujani dengan ucapan tahniah,” katanya membuka bicara.

Mengulas kejayaan berganda itu, Taanu mengakui tidak menyangka mampu membawa pulang lebih daripada satu pengiktirafan. Pada awalnya, sasaran utamanya hanyalah untuk memenangi gelaran Miss World Asia.

“Sasaran saya dalam pertandingan ini adalah untuk memenangi gelaran Miss World Asia. Tetapi tak sangka saya turut memenangi tempat ketiga dan juga pemenang untuk Beauty With A Purpose.

“Jadi saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini. Malaysia bukan negara ‘powerhouse’ dalam pertandingan ratu cantik dan dan pertandingan Miss World tidak mudah.

“Segala aspek akan diberi perhatian terutama kerja sosial untuk projek Beauty With A Purpose,” jelasnya.

Projek pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli

Di sebalik kejayaan dalam dunia ratu cantik, Taanu turut aktif menjalankan kerja kebajikan menerusi projek Be The Change Malaysia yang dimulakan pada 2022.

Sebagai seorang guru bahasa Inggeris, dia mahu membantu memastikan kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan sewajarnya, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Antara usaha yang dilakukannya ialah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan untuk membina sekolah di dalam hospital bagi anak-anak Orang Asli di Gombak.

“Saya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan untuk membina sekolah di dalam hospital untuk anak-anak orang Asli di Gombak. Ini yang pertama di Malaysia.

“Apabila saya bentangkan projek ini di Miss World, ramai yang tertarik kerana di negara mereka belum ada sekolah di dalam hospital.

“Selepas ini saya akan menjelajah mengelilingi dunia bersama organisasi Miss World selama setahun dan saya akan gunakan peluang ini untuk terus memperkasa projek yang saya lakukan,” kongsinya.

Bukan itu sahaja, Taanu turut merancang untuk membina jambatan di kawasan pedalaman Sabah bagi memudahkan kanak-kanak ke sekolah tanpa perlu bergantung pada laluan sungai.

Bagaimanapun, projek tersebut terpaksa ditangguhkan akibat faktor cuaca. Dia berharap pembinaan jambatan berkenaan dapat disiapkan pada Mac tahun depan dan masih memerlukan bantuan sukarelawan untuk menjayakannya.

Pernah terima tawaran berlakon di Bollywood

ratu cantik

Gambar Instagram @taanusiyaa_.

Selain kerja kebajikan, Taanu turut mempunyai peluang untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan. Malah, dia mengakui pernah menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Bollywood.

Pelakon terkenal India, Aishwarya Rai menjadi antara individu yang memberi inspirasi kepadanya untuk menyertai Miss World.

“Aishwarya Rai adalah idola saya. Saya sertai Miss World juga disebabkan terinspirasi dengannya. Jika ada rezeki untuk mengikut jejak langkah ya satu hari nanti, saya terbuka untuk mencuba.

“Sebenarnya sebelum ini pernah ada tawaran lakonan, tetapi saya terpaksa tolak kerana tak dapat berikan komitmen.

“Saya juga pernah mendapat tawaran dari Bollywood. Saya mengenali seorang pereka fesyen dari India. Suaminya merupakan seorang pengarah dan penerbit filem Bollywood. Dia tawarkan saya untuk berlakon di sana, tetapi saya kata, mungkin bukan sekarang.

“Bila saya sudah bersedia dah selesai menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ratu cantik, mungkin saya akan ke India dan intai peluang berlakon di sana,” ujarnya.

Buat masa ini, Taanu mahu memberikan sepenuh komitmen terhadap tanggungjawabnya bersama organisasi Miss World selama setahun sebelum mempertimbangkan peluang lain dalam dunia hiburan.

Rahsia diet Taanusiya, makan nasi lima kali setahun

Dalam pada itu, Taanu turut berkongsi rutin pemakanan yang diamalkannya untuk menjaga bentuk badan. Dia mendedahkan pernah mengalami masalah berat badan sehingga mencecah 70 kilogram sebelum mengubah corak pemakanannya.

Kini, dia mengurangkan pengambilan nasi dan lebih mengutamakan sumber protein, serat serta matcha dalam rutin hariannya.

“Sejak saya mengamalkan diet, saya kurangkan pengambilan nasi dan lebihkan protein. Dalam setahun saya hanya makan nasi lima kali. Itupun ketika musim perayaan. Kalau hari biasa saya akan ambil protein, fiber dan matcha.

“Bila kita lebihkan protein dalam pemakanan, ia membantu untuk membina otot berbanding karbohidrat. Bila kita berusia, kita akan cepat rasa penat kerana tak bina otot dengan cukup. Jadi pentingnya pengambilan protein dalam diet seharian.

“Untuk penjagaan kulit, saya akan pastikan pakai ‘mask’ yang mengandungi asid hyaluronik setiap hari kerana saya mempunyai masalah kulit kering. Doktor sarankan saya pakai ‘mask’ setiap hari dan sangat membantu untuk mengekalkan kelembapan kulit wajah,” kongsinya.

Walaupun sibuk dengan pelbagai komitmen selepas pertandingan, Taanu bakal memulakan siri jelajah dunia bersama organisasi Miss World pada bulan hadapan. Tanzania menjadi negara pertama yang akan dikunjunginya dalam usaha meneruskan tanggungjawab sebagai wakil Malaysia di pentas antarabangsa.

Sumber: Kosmo!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×