Asuh

Rupanya Ini 9 Tabiat Ibu Bapa Yang Jadi Punca Anak Manja

655
reads
anak manja

“Eh, kenapa manja sangat ni Arissa, sikit-sikit nangis! Kalau asyik nak berkepit je, peninglah ibu.”

Walaupun susah untuk kita akui, sebenarnya terdapat beberapa tabiat yang selalu kita lakukan (kebanyakan masa tanpa disedari) membawa kesan buruk kepada si anak.

Apa Tanda Anak Manja?

Menurut Harvey Karp, penulis buku ‘The Happiest Toddler’ menerusi WebMD anak manja adalah seseorang yang kuat mendesak, pentingkan diri, dan tidak mahu bertolak ansur.

Menurut pakar psikologi, walaupun kita cenderung untuk mengalah dan memenuhi permintaan mereka, hal ini hanya akan menyusahkan mereka di kemudian hari.

Ini dibuktikan dengan analisis mereka yang mendapati anak manja secara amnya akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan 3 perkara dalam kehidupan dewasa nanti, iaitu: kerjaya, hubungan cinta suami isteri, dan persahabatan.

Bahayanya! Jadi, bagaimana nak tahu jika kita mempunyai tabiat tertentu yang sebenarnya memanjakan anak? Mari lihat senarai di bawah. Tapi, jangan risau kerana masih belum terlambat untuk kita berubah.

Foto Kredit: www.madisonmft.com

Anak manja sukar berdikari dan sentiasa mengharapkan ibu bapa di sisi. / Foto Kredit: www.madisonmft.com

9 Tabiat Ibu Bapa Yang Jadi Punca Anak Manja

1. ‘Anak Adalah Segalanya’

Ya, kita sering meletakkan anak sebagai keutamaan dalam segala perkara. Diulang. Segala perkara.

Apabila anak kecil sudah mula memahami perkataan yang mudah, sekurang-kurangnya mereka perlu tahu bagaimana untuk bertolak ansur, iaitu proses memberi dan menerima. Jika mereka tidak diajar untuk memberi, mereka akan mudah berasa marah dan kecewa, lalu menyebabkan mereka ‘buat perangai’.

Contohnya. apabila mereka ajak bermain, tidak salah kita menyuruh mereka ‘tunggu sekejap’ kerana kita sedang memasak.

2. Tidak Memuji Perlakuan Baik Si Anak

Kita hanya tahu melenting apabila anak buat perangai. Tapi, kita lupa untuk memuji dan memberi kata-kata positif apabila si anak bermain dengan senyap atau tidak menyepahkan permainannya.

Oleh kerana anak kecil memahami konsep sebab-akibat, jadi kita tidak menunjukkan ‘akibat’ perbuatan baik yang dilakukan. Maka, terlepaslah peluang untuk mengukuhkan aura positif tersebut dalam diri mereka.

3. Menghentikan Tangisan Dengan ‘Hadiah’

Anak suka melawan

Foto Kredit: parenting.com

“Kadang-kadang dah tak tahan, asyik mengamuk saja. Kita pun ikutkan sajalah kemahuan dia… Kami masing-masing bekerja, satu hari sekejap saja dapat jumpa. Penatlah bila asyik nak layan anak yang menangis.”

Jika kita hanya akan memberi perhatian apabila mereka mengamuk, maka si anak akan mendapat mesej bahawa itulah saja cara ibu bapa akan mempedulikan mereka. Maka, berhati-hatilah dengan cara kita memujuk mereka.

4. ‘Cakap Tak Serupa Bikin’

“Kalau Abang kacau Adik lagi, nanti Mak tak akan bawa Abang ke taman petang ini!”

Abang masih mengganggu adik hingga menangis. Tiba-tiba bila dah petang, tak sampai hati pula nak ditinggalkan si abang. Lebih-lebih lagi bila dipujuk dan dirayu.

Aduhai, dalam hal ini memang kena keras hati. Masakan tidak, inilah antara punca anak manja yang paling biasa kita alami.

5. Tidak Konsisten

Cara makan sihat

Foto Kredit: rosarossaonline.org

Sampai bilakah anda akan terus menasihati anak agar memakan sayuran? Setiap hari?

Atau apabila anak cakap ‘tak nak’, kita terus diam dan lebih rela makan bahagian dia.

Sebagai alternatif, cuba berinya beberapa pilihan lain yang masih akan berpihak kepada anda. Contohnya, menukar sayuran jenis lain, atau menyediakan buah-buahan.

6. “Mari Sini Ibu Tolong Buatkan”

Tolong pakaikan kasut, pakaikan baju, kemaskan mainan, suapkan makan, bawa beg sekolah; serba-serbi ibu yang tolong. Sudahnya, anak kecil tadi akan mengharapkan pertolongan ibunya setiap masa.

Mungkin kita rasa sebenarnya kita mahu dia cepat sikit, tapi takkan setiap masa kita tak boleh tunggu?

7. Marah dan Membebel Depan Anak

Tanpa disedari, kita sedang membebel apabila seseorang memotong kita semasa memandu. Kemudian, kita marahkan pula seorang anak di hadapan anak yang lain. Sebelum tidur, kita ‘complaint’ pula tentang rumah bersepah.

Percayalah, semua emosi negatif ini perlu dilempiaskan secara positif kerana anak-anak sentiasa memerhatikan dan meniru tindak-tanduk kita.

mendidik anak

Foto Kredit: quotesgram.com

8. Tak Libatkan Anak Dalam Kerja Rumah

Tahukah anda, anak kecil seawal 2 tahun boleh mula disuruh untuk membuat kerja-kerja rumah yang mudah seperti mengemas dan memasukkan baju ke dalam bakul dobi. Walaupun ianya nampak remeh, ia mempunyai impak yang sangat besar kepada mentaliti mereka.

Sedikit demi sedikit, ia juga akan melatih mereka menjadi lebih berdikari dan bertanggungjawab.

9. Kurang Masa Kualiti Bersama Anak

Jangan ingat mereka yang selalu ada masa dengan anak saja yang punya anak manja. Ibu bapa yang tidak luangkan masa secukupnya juga cenderung memiliki anak jenis ini.

Nak tahu kenapa? Ianya lahir daripada rasa ‘bersalah’ kita yang sering tidak punya masa. Apabila kita rasa ‘bersalah’, kita akan membelikan permainan untuknya, mengikut kehendaknya, dan melayani sebaik mungkin hingga menjadi punca anak manja.

anak manja

Foto Kredit: popsugar.com

Sayang Biar Berpada-pada

Tidak salah sekali-sekala kita memberi kelonggaran atau memanjakan mereka. Tapi, biarlah ada keseimbangan.

Penat memang penat, tapi siapa kata jaga anak tu senang?

 

Yang Popular

To Top