Asuh

Kanak-kanak Yang ‘Melawan’ Akan Menjadi Orang Dewasa yang Lebih Berjaya

76
reads
Anak suka melawan

Semasa kecil, ibu-bapa kita selalu ingatkan, “Jangan melawan cakap orang tua!”. Sebaliknya, artikel ini mempunyai perspektif yang berbeza pula.

Anak suka melawan

Semestinya, sangat sukar untuk kekal tenang apabila anak-anak kita melawan cakap kita, walaupun dalam teori, respon yang tenang adalah yang terbaik untuk semua yang terlibat (dan juga tekanan darah). Jika tidak tahan sangat, ada beberapa cara efektif yang boleh digunakan bila anak suka melawan cakap orang tua.

Tapi bagaimana (layan sahaja firasat saya untuk seketika) apabila anak anda melawan’ semula, adakah ia benar-benar baik untuk perkembangan dan tumbesaran mereka?

Memarahi anak

Foto Kredit: melissanorthway.com

Pakar bersetuju bahawa sikap ini sebenarnya sihat untuk kanak-kanak. Pakar psikologi klinikal, Kelly, M. Flanagan menerangkan bahawa ketidakupayaan untuk mengatakan ‘Tidak’ , yakni keupayaan untuk meletakkan sempadan peribadi adalah antara punca utama manusia mengalami kesukaran hidup.

Pakar psikologi Joseph P. Allen, yang mengetuai kajian untuk University of Virginia, menyatakan: “Kami memberitahu para ibu bapa untuk menganggap perbalahan-perbalahan itu, bukan sebagai sesuatu yang menyusahkan, tetapi sebagai asas latihan kritikal.”

Pada asasnya, apabila seorang kanak-kanak melawan semula autoriti anda, mereka sedang cuba menguatkuasakan sifat kawalan mereka terhadap hidup sendiri. Mereka sedang melatih kemahiran tersebut, dan mereka sedang cuba melatih diri bersama anda.

Tidakkah anda lebih suka jika anak-anak anda belajar untuk berbincang dengan anda dahulu, daripada mengikut langkah budak-budak lain hanya kerana salah satu rakannya mendesak dengan mengatakan, “Semua orang melakukannya”,atau ikut secara membuta tuli arahan seorang dewasa yang bersikap tidak senonoh terhadap anak anda?

Fokus Pada BAGAIMANA Mereka Melawan Balik

Cara mendidik anak tanpa memukul

Foto Kredit: huffingtonpost.com

Kita semua terdesak untuk anak-anak kita menguasai kemahiran yang mereka perlukan untuk berdikari dan berdiri teguh  apabila menghadapi desakan rakan-rakan atau risiko saat berhadapan dengan dilema membuat keputusan hidup yang sukar.

Bagaimana jika keupayaan anda untuk menerima (mendidik dan bantu menguruskan) sifat berdikari anak anda yang sedang membangun adalah kunci untuk mengajar kemahiran berunding yang kritikal itu? Kemahiran yang membolehkan anak anda berkata ‘Tidak‘ kepada dadah dan menangguh eksperimentasi seksual sehingga usia yang lebih sesuai?

Sebenarnya, ia BUKAN sama ada mereka melawan balik terhadap authoriti anda atau tidak. Mereka masih kanak-kanak, justeru mereka akan melawan balik. Itu tugas mereka. Autoriti anda terletak pada BAGAIMANA mereka melawan balik, bukan BAGAIMANA anda respon terhadap mereka.

Adakah anda mengajar anak-anak anda untuk mencabar anda secara berhemah? Adakah anda meletakkan harapan (dan contoh yang positif) untuk cara komunikasi yang bersesuaian? Adakah anda membantu mereka memahami dan mengambil tanggungjawab akan kesan tingkahlaku dan perbuatan mereka?

Kemahiran anak anda untuk berunding dalam situasi yang berisiko akan meningkat apabila anda mengajar mereka untuk melatih kawalan disertai dengan kesedaran, hormat, hemah dan tenang.

Lagipun, Siapa Yang Berkuasa Sebenarnya?

Tips Handle Anak Masa Raya

Foto Kredit: Screencap youtube.com

Kita mahu menjadi dan merasa diri sebagai ibu bapa yang baik, namun apabila seorang anak berusia 2 tahun mengatakan, “TIDAK!”, seorang 9 tahun mengatakan  “Kenapa pula saya yang kena buat?”, atau seorang 14 tahun mengatakan, “Ini tidak adil!” ia boleh mencetuskan rasa kurang yakin mengenai keupayaan kita sebagai ibu bapa.

Kita rasa seolah-olah kita harus mengekalkan standard minima dalam autoriti sebagai ibu bapa. Sebahagiannya adalah kerana kita membesar dengan contoh sebegitu (seperti “Saya TIDAK pernah bercakap dengan ibu bapa saya begitu!”), dan sebahagiannya kerana kita mahu berasa seperti kita mempunyai kuasa ke atas anak-anak kita.

Hidup adalah lebih mudah, dalam jangka masa pendek, apabila mereka sentiasa melakukan apa sahaja yang kita arahkan. Namun pada pengakhirannya, kita tetap tidak akan mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap anak kita.

Anak-anak hadir dalam dunia ini bersama jalan-jalan yang harus mereka ikuti sendiri. Daripada usia awal, mereka telah mengajar kita perkara ini, dengan menjerit kepada kita, “Ia bukan pasal awak; ia pasal saya!”

Malangnya, ia mengambil masa yang lama untuk kita memahami mesej tersebut, dan kadang kala kita tidak faham langsung.

Apa Yang Anak Anda Mahu Anda Tahu

Cara Disiplin Anak

Foto Kredit: blogcdn.com

Dalam cara yang berbeza, pada fasa perkembangan yang berbeza, mesejnya masih sama:

Mereka adalah manusia berdikari yang memiliki fikiran, perasaan dan idea tersendiri. Mereka berada pada jalan mereka sendiri. Dan biarpun ia adalah satu keistimewaan untuk menyelia mereka dalam perjalanan mereka, ia masih hak mereka sendiri, bukan anda.

Agar anak-anak kita membesar sebagai dewasa yang berdikari dan sihat, mereka perlu berlatih membuat keputusan untuk diri sendiri, dan berurusan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu, walau betapa pelik atau tidak bermakna perkara-perkara tersebut untuk anda. Hal ini kerana ia bukan mengenai anda.

Jika mereka boleh membuat perjanjian untuk memberi hamster makan pada pukul 7:00 pm berbanding 6:30 pm contohnya, mereka akan lebih bersedia untuk membuat urusan bersama professor kolej mereka, pengurus mereka di tempat kerja,dan bersama pasangan mereka di rumah, pada masa hadapan.

Ingat, Anda Mendidik Anak-anak Yang Bakal Dewasa

6 Tips Menahan Marah Bila Anak Buat Hal. Kawal & Atasi!

Foto Kredit: untoldentertainment.com

Mendidik anak ke arah sifat berdikari hampir bertentangan bunyinya. Namun kita harus ingat bahawa kita bukan mendidik anak-anak yang kekal kecil, tetapi mereka yang bakal dewasa.

Jadi, lain kali anda mendengar diri anda berkata, “Berani kamu melawan cakap saya?” atau , “Dah saya kata begitu” ataupun, “Saya berikan kamu arahan dan saya mahu anda mengikutinya”. Fikirkan mesej yang sedang anda berikan kepada anak anda, dan tanya diri anda bagaimana anda boleh memperkasakan mereka pula.

Bagaimana anda boleh mengekalkan autoriti anda tanpa perlu menekankan kekuasaan?

Sebagai contoh, antara respons mudah kepada tona dan bahasa mereka yang tidak elok, anda boleh cuba: “Bolehkah anda menggunakan cara yang lain untuk menyatakannya?”

Minta mereka menghabiskan satu tugasan, tapi lakukannya dengan menawarkan mereka peluang untuk memilih bila mereka boleh melakukannya: “Saya mahu pinggan mangkuk habis dicuci sebelum makan malam dan giliran awak hari ini. Pukul berapa anda ingin lakukannya, dan mahukah anda untuk diingatkan?”

Ingat, ini merupakan satu proses, dan ia akan mengambil masa untuk mengubah haluan. Soalan-soalan yang bersesuaian belum tentu terus dapat mengubah perhubungan yang sedia ada. Tetapi dengan mengubah ke arah baru yang lebih bersifat memberi sokongan dan lebih memahami adalah langkah yang besar dalam membina sifat berdikari anak-anak anda, dan itu adalah keutamaannya dalam menjalani peranan sebagai ibu bapa.

Anak suka melawan

Foto Kredit: funbuses.com

Cubalah guna positive parenting dalam mendidik anak-anak. In Shaa Allah, dipermudahkan.

Sumber: Yahoo! Parenting

 

Yang Popular

To Top